Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Imam Hasan al-Banna tidak pernah menengahkan dan menampilkan tajuk-tajuk perbincangan yang boleh menimbulkan kesalahfahaman, perselisihan dan perpecahan. Baginya, kesepakatan umat dalam perkara-perkara asasi dan kaedah kulliyyah yakni kaedah-kaedah umum ajaran Islam sudah mencukupi, sehingga tidak perlu lagi memaksakan mereka untuk bersepakat dan bersependapat dalam perkara-perkara khilafiyyah furuiyah yakni perkara-perkara cabang yang masih diperselisihkan.
Imam Hasan al-Banna memulai dakwahnya dengan memberikan pengajian agama di sebuah surau yang telah dibangun oleh Tuan Haji Mustafa sebagai saranan ibadah kepada Allah Ta’ala. Di tempat tersebut beliau memberikan didikan dan pengajaran kepada beberapa orang murid mengenai ilmu-ilmu agama dan tafsir al-Quranul Karim dalam suasana yang mesra dan penuh rasa persaudaraan.
Beberapa waktu berselang, maka majlis pengajian yang bermula setelah solat fardhu Maghrib sampai dengan waktu Isya’ itu menjadi terkenal dan disukai orang ramai. Setelah solat fardhu Isya’ beliau akan meneruskan pengajiannya di salah sebuah kedai kopi yang terdekat. Cara yang dilakukan beliau cukup menarik minat orang ramai untuk ikut serta dalam perbincangan yang diadakan, dari kalangan mereka ada yang suka dengan masalah-masalah khilafiyah, gemar bersilat dan bertikam lidah dalam perselisihan yang sudah menjadi warisan dari generasi ke generasi tersebut.
Beliau berkata: “Pada suatu malam, aku dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena,ada perasaan permusuhan dan perpecahan di kalangan orang-orang yang hadir. Mereka yang hadir nampak berkelompok dan saling memisahkan diri antara satu dengan yang lain. Belum lagi aku memulai pengajian, sehingga aku dikejutkan dengan sebuah pertanyaan yang meluncur dari salah seorang hadirin, katanya: “Apakah pendapat Ustaz mengenai masalah tawassul?” Kemudian aku berkata kepadanya: “Wahai saudaraku, saya rasa saudara tidak hanya bertanya masalah ini sahaja kepada saya, namun saya yakin bahawa saudara akan bertanya masalah-masalah lain yang seumpamanya seperti: membaca selawat sebelum memulai azan, membaca surah al-Kahf pada hari Jumaat, membaca lafaz sayyidina dalam tasyahhud, mengenai kedua orang tua Nabi Muhammad s.a.w., di manakah tempat keduanya? Membaca al-quran, sampaikah pahalanya kepada si mati ataupun tidak? Halaqah(majlis) zikir yang dilakukan oleh orang-orang tareqat, apakah ia perbuatan maksiat atau ibadah kepada Allah? Kemudian aku sebutkan semua permasalahan yang termasuk ke dalam bab: khilafiyah dan furu’iiyah tersebut satu persatu yang merupakan asas perpecahan dan perselisihan yang berlaku sejak berpuluh tahun lamanya. Setelah itu saudara penanya tadi menjadi hairan dan terkejut, seraya berkata: Memang betul, permasalahan-permasalahan itulah yang saya hendak tanyakan kepada tuan guru,!”
Kemudian aku kata kepadanya: Wahai saudara, saya bukanlah seorang yang alim, namun sebagauseorang ustazdan guru biasa, saya ada menghafal beberapa ayat al-Quranul karim, hadith-hadith nabi Muhammad s.a.w. dan hukum-hakam syara’ yang telah saya kaji dan pelajari dari kitab-kitab agama dan kemudian saya ajarkan semula kepada orang awam. Persoalan-persoalan yang saudara kemukakan tadi diluar kemampuan saya dan saya tidak sanggup menjawabnya. Barangsiapa yang berkata “saya tidak mengetahui” bermakna juga telah berfatwa. Apabila saudara berpuas hari dengan apa yang akan saya katakana dan saudara menyetujuinya, maka dengarlah dan saya mengucapkan berbanyak terima kasih, namun apabila saudara ingin mengetahuinya lebih mendalam lagi, maka silakan bertanya lagi kepada yang lebih alim dan bijak dari kalangan para ulama yang pakar dalam bidang ini. Kerana merekalah yang mampu memberikan fatwa terhadap semua soalan saudara tadi. Kemampuan saya hanya sampai di sini sahaja, dan Allah Ta’ala tidak akan membebani hambaNya melainkan sekadar yang mereka mampu.
Maka orang yang bertanya tadi pun terus berdiam dan tidak dapat bercakap apa=apa lagi. Aku sengaja menggunakan cara seperti ini, agar para hadirin merasa lapang dada dan selesa, serta terlepas dari perasaan permusuhan dan perselisihan yang masih tersimpan di dalam dada. Memang, nampak semua yang hadir merasa lega.
Namun aku tidak akan melapaskan peluang yang baik tersebut begitu sahaja, maka aku pandang mereka lekat-lekat dan aku kata kepada mereka semua: Wahai saudara-saudaraku, saya menyedari betul bahawa saudara penanya inidan saudara-saudara yang lain di sini, dengan mengajukan pertanyaan tersebut, sebanarnya ingin mengetahui: siapakah ustaz baru ini dan memihak kepada golongan mana? Adakah dia dari kelompok Syeikh Musa atau kelompok Syeikh Abdul Sami?! Pengetahuan seperti ini tidak berfaedah sama sekali kepada saudara-saudara semuanya.
“Saudara-saudara telah tenggelam di dalam lautan fitnah permusuhan dan perpecahan selama lebih delapan tahun, sudah cukuplah derita dan kerugian yang dialami. Kaum muslimin memang berbeza pendapat dalam masalah-masalah (masalah khilafiyah dan furu’iyah) tersebut sejak beratus tahun dahulu dan mereka akan terus berbeza pendapat. Allah Ta’ala menyuruh kita untuk saling mengasihi dan menyayangi antara sesama dan membenci perpecahan dan permusuhan. Dengan itu, saya merayu kepada saudara semuauntuk berjanji kepada Allah Ta’ala meninggalkan perkara-perkara tersebut mulai sekarang, sebaliknya saudara-saudara berusaha untuk mempelajari asas-asas agama (usul al-Din) dan kaedah-kaedah utamanya. Beramal dengan akhlak dan ajaran-ajarannya yang utama, iaitu perkara-perkara yang disepakati bersama oleh para ulama; kita lakukan perintah-perintah fardhu dan sunnah dan kita jauhkan diri daripada mencari-cari perkara pelik dan mengada-ngada, sehingga jiwa kita menjadi bersih dan murni. Kita jadikan tujuan kita mencari kebenaran, bukan hanya mendukung sesebuah pandangan ataupun pendapat, dalam pada itu kita pelajari perkara-perkara tersebut di atas dalam suasana kekeluargaan, persaudaraan, perpaduan dan ikhlas. Inilah cadangan yang saya kemukakan kepada saudara-saudara semua, semoga mendapat perhatian dan ianya merupakan janji setia di antara kita semua.”
Begitulah adanya, sebelum bersurai, semua hadirin saling berjanji setia untuk saling tolong menolong dalam kebenaran dan dalam berkhidmat kepada agama Islam dan bekerjasama untuk menjayakannya serta berupaya melepaskan diri daripada pengaruh masalah khilafiyah yang mneyebabkan perselisihan dan memberikan ruang kepada mereka yang berlainan pendapat untuk beramal mengikut keyakinannya, sehingga dia mengetahui hakikat yang sebenarnya.
Maka, pengajian di surau tersebut terus berlanjutan dalam suasana yang harmoni dan penuh rasa persaudaraan dengan taufiq dan hidayah Allah Ta’ala dan aku sentiasa mencari tajuk-tajuk perbincangan yang berhubung dengan persatuan dan persaudaraan di antara sesama orang-orang beriman untuk memulai pengajian sebagai langkah awal untuk mempererat erti dan makna persaudaraan, di samping itu pula aku sentuh beberapa makna yang berhubungan dengan masalah khilafiyah yang tidak menjadi titik perselisihan antara mereka, bahkan setiap individu memberikan pandangan yang baik berkenaan dengan masalah tersebut. Kemudian aku mengambil satu contoh dari sikap bertolak ansur dan saling pengertian di antara para ulama salaf dalam berbeza pendapat.
Aku masih ingat pada ketika memberikan satu misalan praktikal dalam kehidupan kaum muslimin, aku kata pada mereka: Siapa di antara kamu yang bermazhab Hanafi, sila maju ke hadapan?! Maka datang salah seorang yang bermazhab Hanafi. Kemudian aku kata lagi: Siapa yang bermazhab Shafi’i, sila maju kehadapan?! Maka tampillah seorang yang bermazhab Shafi’i. Aku kata lagi: Saya akan menjadi imam bagi kedua orang saudara kita ini, kepada saudara dari mazhab Hanafi apakah saudara akan membaca surah al-Fatihah?! Jawabnya: Saya akan berdiam dan tidak membacanya. Kataku: Saudara dari mazhab Shafi’i, apakah saudara akan baca surah al-Fatihah? Jawabnya: Ya, pasti saya akan baca. Aku bertanya lagi: Apakah kita telah selesai menunaikan solat berjemaah tadi,bagaimanakah pendapatmu wahai saudaraku dari mazhab Syafi’i mengenai solat saudaramu dari mazhab Hanafi tadi? Jawabnya: Batal solatnya, kerana dia tidak membaca surah al-Fatihah yang termasuk salah satu rukun solat. Aku berkata lagi: Saudara dari mazhab Hanafi, apa pandangan kamu mengenai solat saudaramu dari mazhab Syafi’i tadi? Jawabnya: Dia telah melakukan satu perbuatan makruh tahriman, kerana membaca surah al-Fatihah bagi seorang makmum hukumnya makruh tahriman. Aku bertanya lagi: Kemudian apakah salah seorang dari kamu menafikan (persaudaraannya) dari yang lain? Mereka berkata: Tidak. Jawabku: Maha Suci Allah! Dalam perkara seperti ini kamu semua dapat saling pengertian dan menerima, iaitu perkara batal atau sahnya solat seseorang, kemudian kamu tidak mahu menerima apabila ada orang membaca dalam tashahhud: dengan mengucap sayyidina ataupun tidak, kemudian perkara tersebut kamu jadikan sebagai puncak pertelingkahan dan perpecahan.
Cara yang sayapergunakan ini ternyata banyak memberikan pengaruh positif bagi mereka, sehingga secara sedar mereka meninjau kembali sikap mereka selama ini terhadap sesama saudaranya sendiri dari kaum muslimin, dan tahulah mereka bahawa agama Allah Ta’ala itu sangat luas dan mudah, berbeza dengan pandangan akal, individu ataupun golongan, namun tempat kembali semua perkara sebenarnya kepada Allah, RasulNya, jemaah kaum muslimin dan imamnya, apabila mereka masih memiliki jemaah dan imam.(Imam Hasan al-Banna: Mudhakkirat al-Dawah wa al-Daiyah, hlm. 58-60)[1]
syukran...info yg sngt menarik... kisah beliau penuh dengan pengajaran dan hikmah...
BalasPadamyang penting...
walauapapun bentuk jemaah yang diikuti...
yang penting adalah matlamat yang satu...
yakni menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi...
syukran...