Memaparkan catatan dengan label muhasabah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label muhasabah. Papar semua catatan

Ahad, Julai 03, 2011

Cinta Kepada Allah

Pada satu musim haji, beberapa orang ahli sufi telah berkumpul di Mekkah termasuk Abu Bakar Al-Kattani dan Al-Junaid Al-Bagdadi. Waktu itu Junaid masih lagi muda tetapi merupakan ahli sufi, yang demikian beliau merupakan kalangan ahli sufi yang termuda di dalam majlis tersebut.


Mereka sedang membahaskan konsep cinta kepada Allah khususnya menurut ahli sufi. Masing-masing mengemukakan pendapat masing-masing di dalam majlis tersebut. Setelah itu mereka yang lain merasa ingin mendengar pula pendapat ahli sufi muda ini dalam hal tersebut.

"Sila kemukakan pendapatmu wahai pemuda Iraq." kata mereka kepada Al-Junaid. Maka tertunduklah kepala Al-Junaid dan bersertalah air matanya mengalir dipipinya yang kemudian mengangkat kembali kepalanya seraya berkata,

"Orang yang asyik Cinta kepada Allah ialah orang yang membebaskan dirinya dari segala nafsunya, dan sebagai akibat daripada itu, dia hanya menyibukkan dirinya berzikir kepada Allah subhanahu wa ta`ala. Dia sentiasa melaksanakan segala tugas-tugas yang Allah suruhkan kepadanya, dia melihat kebesaran Allah dengan mata hatinya. Nur Allah dan kebesaran-Nya menguasai dan menghiasi seluruh jiwanya, sehingga kosong hatinya dari apa saja melainkan Allah. Dia telah minum air cinta yang jernih daripada-Nya. Tersingkaplah segala Hijab sehingga jelas baginya. Maka jika ia bercakap, dia tidak bercakap melainkan bersama Allah. Dari mulutnya tidak keluar satu perkataan melainkan Allah. Demikian jua jika ia bergerak, maka gerak itu atas perintah Allah, dan jika ia mendiamkan diri, dia bersama Allah. Pokoknya segala apa saja gerakan, perkataan dan fikirannya hanyalah kerana Allah dan bersama Allah.
"

Mendengar keterangan yang sangat menakjubkan itu, maka menangislah kesemua ahli sufi yang hadir dan syeikh yang hadir, lalu berkata "Tidak ada penjelasan yang lebih baik dan terang selain itu." Mereka tersangat kagum kepada Junaid kerana masih terlalu muda dan berupaya mengeluarkan perkataan itu. "Semoga Allah tetap membimbingmu wahai mahkota kerohanian," kata mereka lagi.

Firman Allah kepada Nabi Daud;
"HambaKu yang aku cintai adalah mereka yang mencari Aku, bukan kerana takutkan hukumanKu atau hendakkan kurniaanKu, tetapi semata-mata Aku ini Tuhan"

"Tidak beriman seorang kamu sebelum Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya daripada yang lain-lain." (Bukhari & Muslim)

Tersebut dalam Kitab Zabur:
"Siapakah yang lebih zalim daripada orang yang beribadah kepadaKu kerana syurga atau neraka, kalaulah Aku tidak menciptakan syurga atau neraka, apakah aku tidak layak untuk ditaati?"

Abu Sulaiman berkata;
"Siapa yang hari ini (ketika hidup) sibuk dengan dirinya, maka dia itu nanti (setelah mati) akan sibuklah dengan dirinya sendiri. Siapa hari ini sibuk dengan Tuhannya, maka dia itu esok akan sibuk juga dengan Tuhannya."
Wahyu Allah s.w.t kepada Nabi Isa a.s.;
"Bahawasanya Aku apabila Aku lihat pada hati hambaKu, lantas Aku tidak mendapatkan dalam hatinya cinta pada dunia dan cinta pada akhirat, nescaya Aku penuhkan hatinya itu dari 'cintaKu' (padanya)."

Kata Junaid;
"Tanda cinta itu ialah berterusan rajin dan bersungguh-sungguh dengan kerinduan."

Antara bukti kecintaan hamba kepada Khaliq:

1. Cinta untuk bertemu Tuhannya
2. Membanyakkan sujud
3. Sanggup mencari syahid dan berjuang di jalan Allah
4. Tidak akan berbuat maksiat
5. Cinta untuk berzikir kepada-Nya
6. Cinta kepada Al Quran
7. Rajin bertahajjud
8. Berasa nikmat apabila mentaati perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya
9. Tidak terpengaruh dengan celaan orang.
10. Takut- iaitu takut pada tempatnya.
11. Menyembunyikan kecintaan.


Sumber: http://cahayamukmin.blogspot.com/

Isnin, April 18, 2011

Mengapa manusia di uji?




Manusia di uji untuk menyerlahkan nilai dirinya di sisi Tuhan. Khususnya bagi orang yang beriman, ujian didatangkan untuk menilai dan mengukur semula sejauh mana keimanan kita. Iman dan ujian saling berkaitan. Apabila di uji baruah diketahui apakah hati kita telah yakin (beriman) atau masih ragu-ragu.

Firman Allah S.W.T:
“Apakah manusia mengira, ia akan dibiarkan sahaja, mengatakan kami telah beriman, sedangkan mereka belum di uji?” (Al-Ankabut ayat 2)

Sungguhpun begitu Tuhan menguji manusia atas sebab-sebab yang berbeza. Berdasarkan sebab-sebab itulah letaknya kemuliaan atau kehinaan seseorang manusia. Dalam konteks ini Rasulullah s.a.w telah bersabda:
“Ujian yang berlaku kepada menusia sama ada memuliakannya atau menghinakannya.”



Tiga sebab mengapa Allah menguji manusia:


KIFARAH

Kifarah adalah ujian ke atas orang yang baik tetapi terlanjur melakukan kejahatan. Maka ketika itulah dia di uji. Allah jadikan kesusahan dalam ujian itu sebagai ‘tebusan’ untuk menghapuskan dosa dan keterlanjurannya. Ertinya, Allah membalas kesalahannya didunia untuk melepaskannya daripada balasan di akhirat(neraka). Ini adalah lebih baik kerana azab di dunia adalah lebih ringan berbading azab di akhirat. Dengan kifarah, ‘orang baik’ itu akan mendapat peringatan dan amaran atas kelalaian dan keterlanjurannya lalu bertaubat kepada Allah.

Firman Allah SWT;
“Dan Kami (Allah) timpakan kepada mereka azab supaya mereka kembali ke jalan yang benar.” (Az-Zukhruf ayat 48)


BALA

Yakni ujian ke atas orang jahat yang sedang melakukan kejahatan. Allah jadikan ujian itu sebagai hukuman di dunia sebelum dihukum di akhirat dengan hukuman yang lebih hebat dan dasyat. Dengan kemurkaan-Nya Allah turunkan kepedihan di dunia lagi sebelum di azab di neraka. Mereka akan di azab dua kali, pertama di dunia, kedua di akhirat. Ringkasnya, bala ialah bentuk ujian ke atas ‘orang jahat yang sedang melakukan kejahatan’. Umat Nabi Nuh ditenggelamkan banjir, Firaun yang ditelan laut Merah, Qarun ditelan bumi, kaum Add, Tsamud oleh hujan batu dan bencana alam yang lain.

Firman Allah SWT;
“Dan jika mereka berpaling, nescaya Allah akan mengazab mereka dengan azab yang pedih di dunia dan di akhirat.” (At-Taubah ayat 74)


IBTILA’

Ini ujian ke atas orang baik ketika mereka sedang melakukan kebaikan. Ia adalah tanda kasih sayang Allah kepada hamba-Nya yang taat. Justeru dengan ibtila’ hamba itu akan mendapat pahala dan di tinggikan pula darjatnya di sisi Allah. Jika tidak di uji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, redha, pemaaf, qanaah dari Allah? Maka dengan ujian bentuk inilah ada kalangan pada Ulul Azmi-yakni mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung ujian.

Ringkasnya, ibtila’ ialah ujian ke atas ‘orang baik yang sedang melakukan kebaikan’. Golongan para Nabi, siddiqin, syuhada’ dan solehin adalah mereka yang sentiasa di uji dalam bentuk ibtila’ ini.

Firman Allah SWT;
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). (Al-Baqarah ayat 214)



Penutup: Lihatlah dengan mata hati

"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." (Al-Baqarah ayat 155 dan 156)

Ujian Allah, hanya orang-orang beriman yang sempurna akal dan penelitiannya sahaja dapat menjangkau hikmah yang terkandung di sebalik ujian yang menimpa itu. Berkata seorang ahli hikmah, Ibnu Ataillah Askandari, “Barangsiapa yang menjangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdirNya, maka itu adalah kerana pendeknya penglihatan akal dan mata hati seseorang.”

Yakinlah ujian itu sebagai satu sunnatullah(peraturan Allah) yang tiada sesiapapun dapat menghindarkannya. Hidup ini hakikatnya adalah satu ujian. Firman Allah;
“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)” (Al-Mulk ayat 2)

Oleh itu, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negative kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebaliknya. Bila di uji, sedarlah, insaflah… sekurang, kurangnya kita mesti merasakan kita sedang di uji dengan kifarah. Dengan itu, kembalilah kepada Allah… segerakan taubat pada-Nya.

Lihat sikap Rasulullah SAW, walaupun Baginda tidak berdosa, tetapi oleh kerana gentarnya terhadap seksaan dari Allah, baginda akan bergegas ke masjid setiap kali hujan rebut atau angin kuat melanda. Di masjid Baginda akan bersembahyang dan berdoa untuk keselamatan diri dan umatnya daripada bala bencana yang mungkin datang bersama rebut dan angin kuat itu.

Bila di uji, sabarlah… renungkan… lihatlah dengan mata hati…

"Sesungguhnya sangat mengkagumkan seorang mukmin, sebab segala keadaannya
adalah baik, dan mungkin tidak terjadi yang demikiankecuali bagi seorang
mukminyang jika dia mendapat nikmat dia bersyukur, maka syukur itu sangat baik
baginya dan bila menderita kesusahan dia bersabar, maka sabar itu sangat baik
baginya". (Hadith riwayat Muslim)

Ujian Allah, bagi yang berdosa, ia merupakan kifarah untuk mengingatkan kelalaian. Bagi yang taat, mendapat ibtila’ itu meningkatkan darjat. Yang penting bukanlah apa yang telah berlaku, tetapi apa yang harus kita lakukan(bertindakbalas) terhadap ujian itu.

Allah sering mengingatkan manusia dengan ‘melontarkan’ batu-batu kecil, tetapi jika peringatan itu diabaikan, Allah akan mula ‘melontar’ dengan batu-betu besar. Dan jangan tunggu dihempap gunung, baru hendak berubah. Semoga takdir-Nya(ujian Allah) itu akan menyebabkan tadbir kita lebih bijaksana. 

Sabda Rasulullah SAW;
“Perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya(tahu besi) dan tinggallah yang baik sahaja.”

 moga hatimu semekar bunga itu...


Wallahua’lam…




* di sunting daripada artikel Ustaz Pahrol Mohamad Juoi dalam Majalah i Febuari 2005.

Sabtu, Mac 26, 2011

Bersangka baiklah...

 
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net

Hidup kita tidak lekang dari disangka buruk dan menyangka buruk. Jika diri terlibat, kunci menanganinya adalah   beristighfar dan taubat. Nabi s.a.w bersabda :-

كُلُّ بن آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ
Ertinya : "Setiap anak Adam itu ada kesilapan ( dosa) dan orang berdosa yang terbaik adalah mereka yang bertaubat" (Riwayat At-Tirmidzi, no 2499, 4/659)


Sangka buruk ini sering berkait rapat dengan rasa hasad, dengki atau cemburu. Ia amat-amat sukar dibuang namun wajiblah ia dimasukkan dalam senarai utama yang perlu kita usaha hindarinya sedaya upaya. Saya sendiri tidak bebas darinya. Namun atas dasar nasihat menasihati saya tuliskan artikel ini agar kita sama-sama mampu berusaha menjauhinya agar kehidupan kita akan lebih diredhai oleh Allah. 



Ia bertepatan dengan apa yang disebut di dalam sebuah hadis

ثلاث لازمات لأمتي : الطيرة ، والحسد ، وسوء الظن " . فقال رجل : ما يذهبهن يا رسول الله ! ممن هو فيه ؟ قال : " إذا حسدت فاستغفر الله ، وإذا ظننت فلا تحقق ، وإذا تطيرت فامضه
Ertinya : Tiga perkara lazim yang sukar dibuang oleh umatku : mengganggap sial, hasad dengki dan bersangka buruk" lalu seorang lelaki bertanya : "apakah yang boleh menghilangkannya wahai Rasulullah ?"
Jawab Nabi : Jika kamu datang perasaan hasad dengki beristighfar lah kamu kepada Allah, apabila kamu bersangka buruk, janganlah kamu membenarkan sangkaan itu, dan apabila kamu menganggap sial belaku, abaikan dan jangan endahkannya" ( At-Tabrani, no 3227, 3/228 ; Al-Haithami : Dhoif kerana perawi bernama Ismail Bin Qais)



Terdapat sebuah lagi hadis yang mempunyai erti yang sama dengannya iaitu :-

ثلاثة لا يسلم منهن أحد : الطيرة ، والظن ، والحسد ، فإذا تطيرت فلا ترجع ، وإذا حسدت فلا تبغ ، وإذا ظننت فلا تحقق
Ertinya : Tiga perkara yang tidak seorang Muslim pun dapat melepaskan diri darinya; sial menyial, sangka buruk, hasad dengki; maka apabila kamu berasa ada sial, jangan kamu pulang dan mengendahkannya, bila kamu hasad, jangan melampau (hingga bertindak) , dan bila kamu bersangka jangan kamu membenarkannya" ( Musannaf Abd Razzak : Ibn Hajar : hadis mursal, Albani : Dhoif)


Al-Qaradawi menerangkan maksud jangan kamu membenarkan sangkaan buruk itu adalah dengan tidak berubahnya sikap dan pandangan kamu terhadap orang yang disangka buruk itu. Jika itu tidak dikawal, bermakna kamu sudah membenarkannya


SANGKA BURUK YANG HARUS

Tidak dinafikan ada beberapa jenis sangka buruk yang diperlukan demi keselamatan diri. Ia juga dinamakan berhati-hati atau ‘hazar'. Mudahnya, seperti pemandu kereta dikehendaki ‘bersangka buruk' apabila melihat sebuah bas dan teksi di depan mereka akan bersangka buruk ada kemungkinan kenderaan itu berhenti mengejut kerana ingin mengambil penumpang atau menurunkan penumpang. Ia jelas sangka buruk yang tidak berdosa.


Demikian juga dalam proses majikan ingin mengambil kakitangan baru. Biasanya pihak majikan akan membuat survey rambang dengan menghubungi beberapa orang yang yang mengenali calon, bagi mendapatkan pandangan mereka berkenaan kemampuan dan lain-lain informasi berguna berkaitan calon. Saya masih ingat, saya pernah menerima Curriculum Vitae (CV) sewaktu bertugas di institusi kewangan dahulu, CV calon ini cukup menarik sekali. 


Namun mengikut prosedur, sebelum pihak kami memanggil interview, saya perlu menghubungi seseorang yang diyakini mengenali si calon untuk mendapatkan komen beliau, akhirnya kami tidak jadi memanggilnya interview kerana rupanya calon tersebut mempunyai masalah mental. Kami daptkan komen beberapa orang lagi demi memastikan info yang diberi benar serta tidak berniat jahat. Namun info yang sam a diperolehi.


SANGKA BURUK YANG HARAM

Sangka buruk jenis haram dan berdosa ini biasanya didasari oleh perasaan cemburu, hasad, dengki dan berniat ingin menjatuhkan individu yang dijadikan sasarannya.


Sangka buruk jenis ini juga hakikatnya lahir dari jiwa dan minda seseorang yang kotor. Ia adalah refleski dirinya yang kerap bergelumang dengan kejahatan dan dosa. Atau dari jiwa yang tiada ikhlas dalam membuat sesuatu perkara.  


Justeru, dalam mindanya kerap tergambar mustahil ada seseorang boleh berbuat atau bercakap baik kecuali mesti ada helah, agenda kepentingan diri dan muslihat di sebalik. Ia berfikiran demikian kerana demikianlah dirinya. Ia melihat orang lain sepertinya.


JENIS PERTAMA : KERANA ALIRAN POLITIK

Sangka buruk jenis pertama ini didasari oleh permusuhan politik kepartian. Sangka buruk ini juga sangat popular di masa ini terutamanya di zaman isu politik sentiasa hangat. 


Memang benar, setiap orang politik kerap mempunyai agenda disebalik segala tindakannya, biasanya adalah untuk kepentingan masa depan politiknya. Namun tidak wajar dinafikan ada antara mereka yang benar-benar berniat membantu dalam sesuatu tindakannya.


Hasilnya, apabila ada saja seorang ahli politik PAS melakukan satu tindakan yang patut dipuji pada zahirnya, akan wujud sebahagian kumpulan dalam UMNO yang mentakwil apa yang tersirat dan tujuan sebenar dari setiap tindakan baik yang dibuat, sehinggalah ia AKAN dilihat jahat dan tidak layak mendapat pujian, penghargaan dan terima kasih. 


Demikian juga sebaliknya, apa sahaja tindakan politik yang baik dibuat oleh pemimpin UMNO, akan sentiasa dilihat jahat oleh sebahagian pihak pembangkang. Saya tidak kata semua, namun saya kata ada sebahagian mereka.


Sebagai contoh apabila kerajaan Pak Lah mengumumkan pembayaran Ex-Gratia kepada bekas-bekas hakim yang terlibat dalam kes 20 tahun lepas, maka ada yang tetap tidak mahu menghargai tindakan itu lantas berkata :-

"Mengapa baru sekarang? Nampak sangat ia dibuat dengan agenda tertentu"

Individu dalam kategori ini biasanya akan merasakan diri mereka bijak, sukar diperdaya serta mampu melihat dari dimensi yang luar biasa (kononnya). 


Namun jika ada pimpinan mereka atau rakan mereka yang melakukan kesilapan yang terang-terang tersalah dan tidak boleh ditakwil lagi, mereka akan bersangka baik pula demi membela segala tindakan tersebut atas dasar maslahat katanya. Bagus, ia memang satu sifat yang baik, tetapi boleh menjadi buruk jika tidak betul cara kendaliannya.


Keadaan ini amat membimbangkan kerana ia seolah-olah menjadikan sangka buruk sebagai satu keperluan politik. Tatkala itu, dosa menjadi mainan diri. Sangka baik pula adakalanya digunakan bukan pada tempat yang sepatutnya sehingga menjadikan diri taksub kepada team mereka. 


JENIS KEDUA : KERANA ALIRAN PEMIKIRAN DAN ANUTAN

Kali ini ia didasari oleh aliran pemikiran pula. Manusia tidak boleh lari dari perbezaan aliran pemikiran. Tidak perlulah dikesali hal ini kerana ia satu hal yang normal. Namun yang dikesali adalah permusuhan dahsyat antara satu kumpulan dengan yang lain. 


Sebagai contohnya aliran Salafi, Wahabi, Khalafi, Pondok, Sufi, Syiah Malaysia, Hizb Tahrir, Ahbash, Liberal, Hadari dan lain-lain. Masing-masing kelihatan suka kalau pihak yang lain dibenci sehabis mungkin, malah mungkin wujud mereka yang akan sujud syukur jika pimpinan kumpulan sebelah sana meninggal dunia.


Tatkala itu sangka buruk sentiasa menjadi idaman dan ruh perjuangan masing-masing. Jika ada sahaja tindakan yang baik dilakukan oleh pimpinan atau ahli aliran yang bertentangan dengan mereka. Akan ditakwilkan sejahatnya. 


Sebagai contoh yang saya kira paling nyata adalah apa yang berlaku kepada Mufti Perlis. Tiba-tiba Mufti Perlis semakin berterus terang mengkritik beberapa dasar kerajaan yang kurang tepat sebagai contohnya ISA. Akhirnya, pelbagai sangka buruk timbul antaranya,
  • Kononnya ia bersifat demikian hanya selepas pilihanraya 8 Mac, iaitu setelah dilihat kerajaan lemah dan pakatan rakyat kuat, lalu barulah dia bersuara untuk ‘membodek' kerajaan pakatan rakyat untuk melantiknya pula.
  • Kononnya beliau berani kerana ingin memenangi hati pemimpin pakatan rakyat kerana tempoh sebagai mufti di Perlis sudah di penghujung.
  • "Mengapa sekarang baru nak kritik, mengapa tidak dari dulu lagi, nampak sangat ada udang di sebalik batu.?!!" Tempelak mereka.
Dan macam-macam lagi.

Saya kerap dengar komen "mengapa baru sekarang!!?" sebagai hujjah untuk membidas segala kebaikan orang lain. 

Wajarkah komen sebegini?
 
Saya dan rakan-rakan pembaca juga tentu ada penglaman masing-masing dalam hal ini.
 
Bila saya sebut masalah hukum di dalam ASB, syubhat dan keraguan aqad dalam MLM, pelaburan haram cepat kaya.. muncul orang marah lalu berkata:-
 
"Mengapa baru sekarang ustaz sibuk-sibuk, mengapa tak beritahu awal-awal dulu, ni kami dah join lama dan untung ribu-ribu baru nak sibuk kata haram, jangan dengki la ustaz. Mesti sebab ustaz ni ada join skim lain dan sekarang dah rugi kot" Katanya.
 
Saya menjadi pelik pula. Apa yang perlu dipertikaikan dengan sekarang atau dulu, bukankah kekuatan, hidayah, ilmu dan kemampuan itu baru tiba kini dan bukan dahulu. Justeru apa yang perlu dipertikaikan.?
 
Bersyukur sahajalah jika ia membawa kebaikan. Sama juga dengan keadaan kesihatan, dulu sihat, sekarang sakit, dulu kanak-kanak sekarang dewasa dan lain-lain. Jadi apakah wajar kita beteriak memarahi virus yang menghinggapi kita lalu berkata
"hei virus, mengapa sekarang mahu kacau, mengapa tidak dulu!!. Lucu juga memikirkannya.

Jawapan mengapa sekarang itu mudah saja, mungkin dahulu belum cukup kajian dan ilmu, sekarang sudah..kerana itu baru bersuara sekarang.

Mungkin dahulu ada gangguan, sekarang sudah berjaya diketepikan lalu kerana itu baru bersuara sekarang.
 
Dulu, mungkin belum terperasan kesilapan itu, sekarang baru sedar, kerana itu baru tegur.
 
Justeru, mengapa masih ada juga ingin sangka buruk dalam hal seperti ini?.
 

JENIS KETIGA : PERTIKAI KEBAIKAN & KEIKHLASAN ORANG LAIN
 
Jenis yang ketiga adalah hasil dari kesemua jenis di atas. Akibat sudah mendarah dagingnya perangai dan tabiat itu menyebabkan kehidupan seharian akan dipenuhi dengan sangka buruk dosa ini.
 
Saya masih ingat di waktu heboh isu pelaburan internet skim cepat kaya dahulu (Ketika itu, Majlis Fatwa Kebangsaan masih belum memfatwakan haramnya skim ini). Ada individu menghantar link satu forum kepada saya, forum itu membicarakan artikel saya yang menyebut hukum skim haram.
 
Tiba-tiba mucul seorang former yang berkata :"puas aku fikir dan cari di web zaharuddin ini, apakah niat sebenar si zaharuddin ini sibuk-sibuk menulis isu ini dan menyusahkan kitorang, apa yang dia hendak sebenarnya?"
"akhirnya aku jumpa, rupanya dia nak jual vcd dia!!, hem tak respeklah aku ust nak jual barang dia ni"
 
Begitulah lebih kurang ayatnya, demikian dahsyatnya manusia di zaman ini. Otak dan mindanya sentiasa memikirkan kejahatan dan muslihat di sebalik segala jenis kebaikan, baginya mustahil ada orang sanggup bersusah payah tanpa ganjaran dan agenda DUNIA.  
 
Ini bolehlah saya kelaskan sebagai kumpulan orang sangka buruk jenis ketiga yang wujud di dalam masyarakat kita.
 
Sebagai contoh lain.
 
Ada yang menghantar sms, email atau melalui system sms 33221 (sistem ini telah ditutup sementara waktu) bertanya sambil bersangka buruk berkenaan orang di sekitarnya:-

a- "Ustaz ada dengar tak slot Dr ..xxxxx pengasas ayam organik di radio ikim. Cara cakapnya macam dia sorang yang halal, dan semua yang tanda halal JAKIM tidak boleh pakai. Apa pandangan ustaz tentang dakwaan Dr ini dan perjuangannya memartabatkan makanan yang betul-betul halal kononnya tu?.. boleh caya ke. Nampak macam nak perkayakan diri sendiri jer"
 
b- "PPIM ni sebenarnya ustaz bukan nak perjuang isu kepenggunaan Islam, mereka nak jual nama persatuan mereka, lepas ni senang nak dapat budjet"
 
c- "Ustaz ni dah buat tebiat apa? Dalam banyak-banyak urusan umat yang begitu kritikal, sempat pula dia menulis buku cinta(n)!", simpul seorang pemerhati jarak jauh. (petikan dari web saifulislam.com)
 
d- "eleh ustaz-ustaz TV ni, hanya layak mendapat gelaran ‘pelawak' dari penceramah, asyik buat lawak aja. Depa ni sebenarnya sedang jual agamanya untuk popular di televisyen"
 
e- "Saya benci dengan ustaz yang tak jelas parti apa ni, bagi saya mereka ni munafiq dan hanya pentingkan perut mereka saja, kerana itu tidak berani berterus terang"
 
f- "Kecewa dengan ustaz. Mengapa ustaz tak aktif lagi dalam perjuangan jemaah Islam, ustaz dah futur dan tergelincir dari perjuangan dakwah ke?" Tanya seorang bersangka buruk kepada saya melalui ruang komentar.
 
g- Seorang isteri dinasihatkan oleh seorang penulis artikel bahawa : "jika suami anda tiba-tiba baik, spoting, romantik, ketahuilah sebenarnya ia ada benda jahat yang sedang disorokkan"
 

Banyak lagi contoh-contoh yang tidak larat saya kumpulkan, ia cuma beberapa contoh betapa budaya sangka buruk berbaur dengki dan hasad begitu meriah dalam masyarakat kita hari ini. Tidak bolehkah kita bersangka baik terlebih dahulu. Semua punyai peranannya, samada seseorang itu ikhlas atau tidak, itu bukan urusan kita untuk bersangka buruuk mereka tidak ikhlas atau punyai agenda lain.
 

Malah jika mereka memang punyai agenda tetapi agenda yang halal,  maka TIADA salahnya. Selagi mana zahir tindakan  mereka tadi adalah baik SERTA menghasilkan kesan yang baik kepada masyarakat umum. Kita wajar bersangka baik dan menyokongnya tanpa perlu menghentam sambil menambah dosa dan menyubur kebencian di hati.
 

Allah swt mengingatkan :-

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ
Ertinya : Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak tergelincir ke dalam sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa..." [Surah al-Hujurat, ayat 12]
 

Imam Fakhruddin Ar-Razi menghuraikan :

الظن ينبغي بعد اجتهاد تام ووثوق بالغ
Ertinya : "Sangkaan ini mestilah disokong oleh ijtihad ( usaha bersungguh memastikan kebenarannya, dan penyelidikan yang dalam" ( Tafsir Ar-Razi, 28/115 )

 
Justeru, dalam hal mencari keikhlasan seseorang dalam sesuatu teguran dan usaha baikknya, Islam tidak menyuruh kita menyelidik hati seseorang. Hanya hal berkaitan zahir seperti jenayah, kesalahan fizikal dan yang sepertinya sahaja memerlukan penyelidikan yang disebutkan oleh imam Ar-Razi tadi. 


Namun begitu, kepada para pendakwah, teruskan usaha anda dengan cara anda yang tersendiri. 

Jangan dipedulikan hasad dan sangka buruk manusia lain yang berhati busuk. Malah Nabi s.a.w sendiri juga pernah terkena sangka buruk seorang lelaki sebagaimana dicatatkan dalam hadis sohih berikut :-

قال فَقَامَ رَجُلٌ غَائِرُ الْعَيْنَيْنِ مُشْرِفُ الْوَجْنَتَيْنِ نَاشِزُ الْجَبْهَةِ كَثُّ اللِّحْيَةِ مَحْلُوقُ الرَّأْسِ مُشَمَّرُ الْإِزَارِ فقال يا رَسُولَ اللَّهِ اتَّقِ اللَّهَ قال وَيْلَكَ أو لست أَحَقَّ أَهْلِ الأرض أَنْ يَتَّقِيَ اللَّهَ قال ثُمَّ وَلَّى الرَّجُلُ قال خَالِدُ بن الْوَلِيدِ يا رَسُولَ اللَّهِ ألا أَضْرِبُ عُنُقَهُ قال لَا لَعَلَّهُ أَنْ يَكُونَ يُصَلِّي فقال خَالِدٌ وَكَمْ من مُصَلٍّ يقول بِلِسَانِهِ ما ليس في قَلْبِهِ قال رسول اللَّهِ إني لم أُومَرْ أَنْ أَنْقُبَ قُلُوبِ الناس ولا أَشُقَّ بُطُونَهُمْ
Ertinya : Berdiri seorang lelaki yang matanya ke dalam, lebat janggutnya, kepalanya tercukur lalu berkata :
"Wahai Rasulullah bersikap takutlah kepada Allah" ( Sebagai tanda tidak puas hati terhadap pembahagian yang dilakukan oleh Nabi), 

Baginda menjawab : "Bukankah aku sepatutnya ( sebagai Rasulullah ) orang yang paling takut kepada Allah."
 
Lelaki itu terus beredar dan Khalid Ibn Walid berkata
"Adakah perlu aku memenggal kepalanya (kerana tidak taat kepada pembahagian yang dilakukan oleh Nabi dan seolah-olah telah murtad) :
 
Baginda menjawab : "Tidak, mungkin ia orang yang masih menunaikan solat".
 
Khalid berkata : "Berapa ramaikah yang menunaikan solat dan lidahnya berkata seusatu yangtidak sama dengan apa yang di dalam hatinya (merujuk kepada orang munafiq)"
 
Baginda membalas :-
إني لم أُومَرْ أَنْ أَنْقُبَ قُلُوبِ الناس ولا أَشُقَّ بُطُونَهُمْ
Ertinya : "Aku tidak diperintahkan untuk meninjau hati manusia (menjangkakan niat manusia lain) dan mengorek perut mereka" ( Riwayat Al-Bukhari, no 4094, 4/1581 : Muslim, 2/742 )
 

Imam An-Nawawi dan Ibn Hajar mentafsirkan kata-kata baginda ini sebagai :- 

 إنما أمرت أن آخذ بظواهر أمورهم والله يتولى السرائر
Ertinya : Aku hanya diperintahkan untuk mengambil kira luaran urusan mereka sahaja manakala niat dan apa yang terselindung adalah urusannya dengan Allah) (Syarah Sohih Muslim, 7/163; Fath Al-Bari, 8/69 )
 

KESIMPULANNYA 
 
Akhirnya, jauhilah sangka buruk yang sebahagiannya membawa dosa. Dahulukan sangka baik di kalangan umat Islam selaras dengan arahan Allah. 

لَوْلَا إِذْ سَمِعْتُمُوهُ ظَنَّ الْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بِأَنفُسِهِمْ خَيْرًا وَقَالُوا هَذَا إِفْكٌ مُّبِينٌ
Ertinya : Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: ""Ini adalah suatu berita bohong yang nyata. ( An-Nur : 12 )

 
Banyakkanlah bersangka baik. Sebenarnya masih ada ramai orang baik yang berbuat baik hanya kerana agenda akhirat semata-mata. Janganlah dirasakan dunia ini sudah tiada yang ikhlas kerana Allah. Mulakan dengan diri sendiri lalu anda akan mampu mencari orang sepertinya. 


Namun, apa yang menyedihkan mereka yang kerap bersangka buruk kepada kebaikkan ini suka pula bersangka baik kepada penganjur skim-skim cepat kaya yang tumbuh dengan pelbagai nama dan lesen hari ini. Sepatutnya anda perlu bersangka buruk lebih sedikit dengan skim-skim sebegini. Ia dinamakan berhati-hati yang sebenar.


Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
12 Mei 2008

Selasa, Mac 08, 2011

Nasihat Ibnul Qayyim : Tentang Hati

 (ulangan)


Di dalam hati manusia ada kekusutan dan tidak akan terurai kecuali menerima kehendak Allah SWT.


Di dalam hati manusia ada keganasan dan tidak akan hilang kecuali berjinak dengan Allah SWT.


Di dalam hati manusia ada kesedihan dan tidak akan hilang kecuali seronok mengenali Allah SWT.


Di dalam hati manusia ada kegelisahan dan tidak akan tenang damai kecuali berlindung, bertemu dan berjumpa denganNya.


Di dalam hati manusia ada penyesalan dan tidak akan padam kecuali redha dengan suruhan dan laranganNya serta qadha dan qadarnya serta kesenantiasaan sabar hingga menemuiNya.


Di dalam hati manusia ada hajat dan tidak akan terbendung kecuali kecintaan kepadaNya dan bermohon kepadaNya.


Kesentiasaan berzikir kepadaNya adalah keikhlasan sebenar kepadaNya...andai dunia dan isinya diberikan kepada manusia masih tidak lagi dapat membendung hajat hati si hamba itu.





Ya Allah... ampuni kami...

Isnin, Februari 07, 2011

Muhasabah




Abu Dzar Al-Ghifari ra. Menerangkan bahawa Nabi saw.bersabda tentang apa yang beliau riwayatkan dari Rabbnya ‘Azza wa Jalla, sesungguhnya Dia berfirman,

“’Wahai hamba-Ku, sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman kepada diri-Ku dan Aku menjadikan kezaliman itu haram di antara kamu. Oleh kerana itu, janganlah kamu saling menzalimi.’

‘Wahai hamba-Ku, kamu semua tersesat, kecuali yang Ku-beri petunjuk. Oleh kerana itu, mintalah petunjuk kepada-Ku, niscaya Aku memberikannya kepadamu.’

‘Wahai hamba-Ku, kamu semua lapar, kecuali yang Ku-beri makan. Oleh itu, mintalah makan kepada-Ku, niscaya Aku memberikannya kepadamu.’

‘Wahai hamba-Ku, kamu semua telanjang, kecuali yang Ku-beri pakaian. Oleh itu, mintalah pakaian kepada-Ku, niscaya Aku memberikannya kepadamu.’

‘Wahai hamba-Ku, sesungguhnya kamu semua berbuat salah di malam dan siang hari. Sedangkan Aku mengampuni semua dosa. Oleh kerana itu, mohonlah ampun kepada-Ku, niscaya Aku mengampunimu.’

‘Wahai hamba-Ku, kamu tidak akan mampu memberi mudharat untuk-Ku sehingga bisa menimpakan mudharat kepada-Ku. Dan kamu tidak akan mampu member manfaat untuk-Ku sehingga bias member manfaat kepada-Ku.’

‘Wahai hamba-Ku, meskipun yang pertama dan terakhir, baik jin mahupun manusia di antara kamu berada pada hati orang yang paling bertakwa di antara kamu, maka hal itu tidak akan menambah apapun terhadap kekuasaan-Ku.’

‘Wahai hamba-Ku, meskipunyang pertama dan terakhir, baik jin mahupun manusia berada pada hati orang yang paling jahat di antara kamu, maka hal itu tidak akan mengurangi apapun dari kekuasaan-Ku.’

‘Wahai hamba-Ku, meskipun yang pertama dan terakhir, baik jin mahupun manusia, berkumpul di sebuah bukit dan mohon kepada-Ku. Lalu Aku mengabulkan permohonan mereka masing-masing, maka hal itu tidak mengurangi sedikitpun apa-apa yang ada pada-Ku, kecuali seperti jarum yang dicelupkan ke laut dan diangkat lagi.’

‘Wahai hamba-Ku, sesungguhnya Aku mencatat amalmu dan membalasnya. Oleh kerana itu, barangsiapa mendapatkan kebaikan, maka hendaklah ia memuji Allah. Dan barangsiapa mendapatkan selain itu, maka janganlah mencela, selain dirinya sendiri.’”

Sabtu, Januari 22, 2011

secebis renungan...








buat diriku...
"Let action speaks louder than words"


hidup,
ada kalanya membuatmu resah,
ada kalanya mambuatmu terduduk seketika dan menangis sendiri,
ada kalanya membuatmu merasakan terlalu sukar untuk menempuhinya sendiri,
ada kalanya mahu sahaja engkau menyerah...kerana merasakan diri selalu kalah...

namun...ingatlah...
bahawa duka itu datangnya diiringi bahagia,
tangis itu diiringi tawa,
maka...bersabarlah...
carilah bahagia dalam dukamu,
berilah senyuman redha di saat kau diuji...
moga air mata yang kau alirkan disaat duka itu,
menjadi penyejukmu di 'sana'...




 Abu Abbas Abdillah bin Abbas r.a. berkata, Suatu hari aku berada di belakang Rasulullah saw., lalu beliau bersabda,

"Wahai pemuda! Aku hendak mengajarimu beberapa kalimat: 'Jagalah Allah maka ia akan menjagamu; jagalah Allah nescaya engkau akan mendapati-Nya bersamamu; bila engka memohon sesuatu, mohonlah kepadanya; bila engkau meminta pertolongan, minta tolonglah kepada Allah.

Ketahuilah bahawa seandainya seluruh umat ini berkumpul untuk memberikan sesuatu yang bermanfaat bagimu, maka mereka tidak akan bisa memberi manfaat kepadamu kecuali sesuatu yang telah ditetapkan Allah kepadamu. Dan seandainya seluruh umat ini berkumpul untuk memberikan sesuatu yang merugikanmu, maka mereka tidak akan bisa merugikanmu kecuali dengan sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah terhadapmu. Pena-pena telah diangkat dan lembaran-lembaran telah mengering tintanya.' "

(Hadith riwayat Tirmidzi)



Menurut riwayat selain Tirmidzi dijelaskan, 

"Jagalah Allah,nescaya engkau akan bersamaNya. Kenalilah Allah di waktu lapang, nescaya Ia mengenalimu di waktu susah. Ketahuilah bahawa segala perbuatan salahmu belum tentu mencelakaimu dan musibah yang menimpamu belum tentu akibat kesalahanmu. Ketahuilah bahawa kemenangan beserta kesabaran, kebahagiaan beserta kedukaan, dan setiap kesulitan ada kemudahan."


Wallahua'lam...



Ukhtiza li


Sabtu, Januari 15, 2011

Buat jiwa yang resah


"Cukuplah seorang hamba dikatakan sudah memberontak kepada Tuhannya apabila dia menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya."
~Imam Ghazali~

**********


Di ceritakan dalam sebuah kisah,pada suatu ketika datang seorang lelaki berjumpa dengan sahabat Rasulullah s.a.w. bernama Ibnu Mas'ud untuk meminta nasihat daripadanya.


Lelaki tersebut berkata;

"Wahai Ibnu Mas'ud, berilah nasihat yang dapat ku jadikan ubat bagi jiwa aku yang sedang gelisah. Dalam beberapa hari ini aku merasa tidak tenteram, jiwa aku terlalu gelisah dan fikiranku menjadi kusut, tidak lalu makan dan tidurku pula tidak nyenyak."

Maka Ibnu Mas'ud pun menasihatinya dengan berkata:

"Kala penyakit itu yang menimpamu, maka bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat iaitu tempat orang membaca al-Quran, di sana engkau baca al-Quran atau engkau dengar baik-baik ayat al-Quran yang dibaca oleh orang lain atau engkau pergi ke kelas pengajian yang mengingatkan kita kepada Allah s.w.t. , atau engkau cari waktu dan tempat yang sunyi, di sana engkau berkhalwat (mengasingkan diri untuk beribadat kepada Allah s.w.t), umpama ditengah waktu malam buta di saat orang sedang tidur nyenyak, engkau mengerjakan solat malam meminta dan memohon kepada Allah s.w.t. akan ketenangan jiwa, ketenteraman fikiran dan kemurnian hati. Seandainya jiwamu masih belum terubat jiwa dengan cara ini engkau mintalah kepada Allah agar diberinya hati yang lain, sebab hati yang ada padamu, bukan lagi hatimu."


Kemudian orang itu kembali ke rumahnya, lalu terus diamalkannya nasihat Ibnu Mas'ud itu. Dia pergi berwudhuk dan kemudian membaca al-Quran dengan hati yang khusyuk. Selesai membaca al-Quran, berubahlah kembali hatinya menjadi jiwa yang aman dan tenteram, fikirannya tenang dan kegelisahannya hilang sama sekali.



 **********



"Kerehatan badan bergantung kepada kurangnya makan. Kerehatan jiwa bergantung kepada kurangnya melakukan dosa. Kerehatan lidah bergantung kepada kurangnya bercakap. Dosa bagi hati umpama racun bagi badan. Justeru itu, dosa yang dilakukan seseorang umpama meminum racun. Jika dosa itu tidak membinasakan jiwa secara menyeluruh, maka ia akan melemahkan jiwa (seperti racun, walaupun ia mungkin tidak memusnahkan badan tetapi ia tetap melemahkan badan). Jiwa yag lemah tidaklagi mampu melawan penyakit, sama seperti badan yang lemah tidak mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik."
~Thabit ibn Qurrah~


"Saya dapati dosa itu mematikan jiwa manakala melakukan dosa hingga sampai ke peringkat ketagih akan mewarisi kehinaan. Meninggalkan dosa bermakna menghidupkan hati. Oleh itu adalah baik bagi kamu agar menderhakai dosa."
~Abu Abdurrahman Abdullah bin Al-Mubarak Al-Hanzhali Al-Marwazi~





Ya Allah... sedarkan aku di saat aku terlena dibuai cinta dunia... teguhkan kaki ini untuk terus berdiri di bumiMU... kuatkan hati ini untuk terus istiqamah di jalanMu... jadikanlah aku diantara hamba-hambaMu yang sabar dan bersyukur... tenangkan jiwaku... redhai kehidupanku.... Ya Allah... 




Ukhtiza li

Sabtu, November 20, 2010

Di sebalik I'tiraaf itu...tahukah kamu?


Dalam satu riwayat, diceritakan mengenai kisah seorang lelaki separuh umur yang bernama Abu Nawas sedang duduk bersendirian. Dia sedang memerhatikan suasana matahari yang sedang tenggelam di ufuk barat. Indah... suasana itu sungguh indah, tidak terlafaz dengan kata-kata betapa indahnya suasana itu. Di saat langit dihiasi biasan warna kuning jingga keemasan, dia terus dan terus memerhati dengan penuh saksama hinggalah akhirnya suasana itu hilang seiring tenggelamnya mentari di ufuk barat.

Di saat tenggelamnya mentari dan pudarnya keindahan suasana tadi, dia yang tidak dapat menahan sebak yang bergelora dalam diri, akhirnya tidak dapat membendung air matanya...dia menangis. Entah mengapa, sebak meruntun jiwanya. Isakannya semakin kencang, dia tersedu-sedu lalu menadah kedua tangannya;

Wahai Tuhan ku tak layak ke Syurga-Mu 
Namun Aku tidak sanggup ke neraka-Mu  
Terimalah taubatku dan ampuni segala dosaku
Sesungguhnya Engkaulah pengampun dosa-dosa besar

Dosa-dosaku bagaikan pepasir di pantai,
Terimalah taubatku Wahai Tuhan yang Maha Tinggi
Dan usiaku berkurang setiap hari,
Dan dosaku pula bertambah setiap masa

Tuhanku, hamba-Mu yang sering melakukan maksiat telah datang kepada-Mu
Senantiasa berbuat dosa, dan sesungguhnya telah berdoa kepada-Mu
Jika Kau ampunikan, maka itu hak-Mu
Dan jika Kau tinggalkan, maka siapa lagi yang hendak kami harapkan seperti-Mu 




I'tiraf adalah sebuah pengakuan. Pengakuan lelaki ini di saat dia menyedari bahawa usianya kian senja, sudah pasti panggilan Allah untuk menghadapNya itu boleh terjadi bila-bila masa sahaja. Di saat Allah memanggil, di saat itu juga Izra'il akan menjemput. Duhai, alangkah dekatnya kematian itu...


Di saat mentari kian tenggelam, dia sedar bahawa hidupnya di dunia adalah seperti itu juga. Namun kita, jarang sekali terdetik untuk renungkan tanda-tanda kebesaran Allah s.w.t, apatah lagi mengambil ibrah daripada setiap apa yang berlaku di sekeliling kita. Alangkah malangnya diri...


Lihatlah, di saat hampir tanggelamnya matahari...suasana yang begitu indah dan memukau, begitu juga dunia...pesonanya begitu menguji hingga menjadikan kita begitu asyik, terlalai dan tertipu sehingga sampai kepada detik terakhir hidup. Dunia ini terlalu indah, sehingga ramai manusia yang terlena kerana keindahannya. Di saat terlalu asyik menikmati keindahan itu, kita terlupa bahawa sebentar lagi mentari yang membawa biasan cahaya indah itu akan tenggelam dan kegelapan malam akan segera menyelubunginya. Kecuali mereka yang sedar dan gigih mempersiapkan diri membina pelita yang akan meneranginya di saat malam tiba.




"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya siang malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka."
(al-imran 3:190-191)




Sahabatku, diberitakan ketika surah Ali ‘Imran 191 itu diturunkan, Rasulullah saw telah menangis. Ketika Sayidina Bilal bertanya, “mengapa kau menangis ya Rasulullah?”Rasulullah saw bersabda yang mafhumnya. “celakalah wahai Bilal mereka yang membaca ayat ini tetapi tidak memikirkan makna dan tuntutannya.”




Duhai diri...belumkah engkau mengerti? Mengertilah...mengertilah...mengertilah...







Wahai Tuhan, ku tak layak ke syurgaMu

Namun tak pula aku sanggup ke nerakaMu

Ampunkan dosaku, terimalah taubatku
Sesungguhnya Engkaulah pengampun dosa-dosa besar



Ilahi lastu lil firdausi ahlaa

Wa laa aqwa 'alaa naaril jahiimi
Fahabli taubataw waghfir dzunuubi
Fa innaka ghofirudz dzam bil 'adhiimi



Dosa-dosaku bagaikan pepasir di pantai

Dengan rahmatMu ampunkan daku oh Tuhanku



Wahai Tuhan selamatkan kami ini

Dari segala kejahatan dan kecelakaan
Kami takut, kami harap kepadaMu
Suburkanlah cinta kami kepadaMu



Kamilah hamba yang mengharap belas dariMu


Munsyid: Raihan dan Yasin



Ya Tuhan kami, sesungguhnya barang siapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka, maka sungguh telah Engkau hinakan ia, dan tidak ada bagi orang-orang yang zalim seorang penolongpun.

Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami mendengar (seruan) yang menyeru kepada iman (yaitu): "Berimanlah kamu kepada Tuhan-mu", maka kami pun beriman. Ya Tuhan kami ampunilah bagi kami dosa-dosa kami dan hapuskanlah dari kami kesalahan-kesalahan kami, dan wafatkanlah kami beserta orang-orang yang berbakti.

Ya Tuhan kami, berilah kami apa yang telah Engkau janjikan kepada kami dengan perantaraan rasul-rasul Engkau. Dan janganlah Engkau hinakan kami di hari kiamat. Sesungguhnya Engkau tidak menyalahi janji."

Maka Tuhan mereka memperkenankan permohonannya (dengan berfirman), "Sesungguhnya Aku tidak menyia-nyiakan amal orang-orang yang beramal di antara kamu, baik laki-laki atau perempuan, (karena) sebagian kamu adalah turunan dari sebagian yang lain. Maka orang-orang yang berhijrah, yang diusir dari kampung halamannya, yang disakiti pada jalan-Ku, yang berperang dan yang dibunuh, pastilah akan Ku-hapuskan kesalahan-kesalahan mereka dan pastilah Aku masukkan mereka ke dalam surga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya sebagai pahala di sisi Allah. Dan Allah pada sisi-Nya pahala yang baik."

Janganlah sekali-kali kamu terperdaya oleh kebebasan orang-orang kafir bergerak di dalam negeri.

Itu hanyalah kesenangan sementara, kemudian tempat tinggal mereka ialah Jahanam; dan Jahanam itu adalah tempat yang seburuk-buruknya.

Akan tetapi orang-orang yang bertakwa kepada Tuhan-nya bagi mereka surga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya, sedang mereka kekal di dalamnya sebagai tempat tinggal (anugerah) dari sisi Allah. Dan apa yang di sisi Allah adalah lebih baik bagi orang-orang yang berbakti.

Dan sesungguhnya di antara ahli kitab ada orang yang beriman kepada Allah dan kepada apa yang diturunkan kepada kamu dan yang diturunkan kepada mereka sedang mereka berendah hati kepada Allah dan mereka tidak menukarkan ayat-ayat Allah dengan harga yang sedikit. Mereka memperoleh pahala di sisi Tuhan-nya. Sesungguhnya Allah amat cepat perhitungan-Nya.

Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung.

(al-imran 2:192-200)



Di sebalik I'tiraaf itu...tahukah kamu?


Ya Allah...Ya Allah...Ya Allah...ampunkan daku Ya Allah...selamatkan daku Ya Allah...





Wallahu 'Alam...