Jumaat, Oktober 29, 2010

Belajarlah MenyintaiNya



Bismillahirrahmanirrahim.




Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. 
(A-li'Imraan 3:31)


Firman Allah dalam ayat di atas menceritakan bahawa sekiranya kita benar-benar mengasihi Allah, maka apa sahaja yang dilakukan oleh Rasulullah, kita laksanakan dan kita ikut tanpa sebarang masalah, tanpa mempersoalkan balik apa yang dilakukan oleh junjungan besar kita, Nabi Muhammad s.a.w. Tiap-tiap apa yang diperintahkan, walaupun mungkin pada zahirnya nampak susah, sebenarnya mudah.


Mengapa menjadi susah?


Biasanya sesuatu itu susah untuk dilaksanakan apabila hati menolak atau hati kita sendiri yang tidak mahu melaksanakan perintah itu. Apabila hati mahu, segala yang susah itu akan menjadi mudah dan tidak mustahil untuk dilaksanakan dan dicapai. Hal ini adalah kerana, segala hukum itu adalah diciptakan oleh Allah sendiri dan tidak mungkin dan sangat mustahil sekiranya Allah yang mencipta tidak tahu mengenai kemampuan hambaNya. 




Apabila kita menyintai Allah


Saya ingin kongsikan kata-kata seorang penceramah yang menyatakan bahawa, apabila kita menyintai Allah, Allah akan hadirkan orang yang menyintai dan dicintai Allah untuk menyintai kita. Apabila kita menyintai Allah juga, kita akan cenderung untuk menyintai orang yang menyintai Allah. Apabila kita menyintai seseorang yang menyintai Allah, maka kita akan menyintai apa-apa sahaja yang dicintai oleh orang yang dicintai dan menyintai Allah itu. Emm... ada faham? Kalau tak faham dipersilakan untuk mengulangi bacaan anda.


Sebagai contohnya, apabila kita menyintai seseorang yang alim(iaitu orang yang menyintai Allah), orang alim tersebut gemar melakukan ibadat malam kepada Allah. Di sini, kita akan automatik cenderung sekali untuk menyintai amalan itu yakni bangun solat malam dan apabila menyintai amalan itu, maka kita akan selalu melakukannya. Amalan bangun solat pada waktu malam atau qiamullail ini, seperti yang kita tahu, merupakan amalan yang disukai oleh Allah. Jadi, apabila kita suka untuk melakukan sesuatu yang disukai oleh Allah,  bukankah bermaksud kita telah menyayangi Allah, dan tidak lupa, Allah yang masih memberi kesempatan untuk kita bangun malam itu juga menyintai kita. Begitulah juga jika sebaliknya. Betulkan?

Renungkan sebuah hadith yang berbunyi;


Dari Abu Hurairah ra, dari Nabi saw, sabdanya: “Apabila Allah hendak membahagiakan seseorang hambaNya, Allah Ta`ala menyeru Jibril dengan firmanNya: ‘Sesungguhnya Allah kasihkan si anu maka hendaklah engkau mengasihinya.’; Jibril pun mengasihinya; kemudian Jibril mengisytiharkan kepada sekelian penduduk langit, katanya: ‘Sesungguhnya Allah kasihkan si anu maka hendaklah kamu sekelian mengasihinya.’; dengan itu penduduk langit pun mengasihinya; setelah itu orang yang tersebut dikasihi dan diberi sambutan di bumi. Dan apabila Allah Ta`ala bencikan seseorang hambaNya, Allah memanggil Jibril serta berfirman: ‘Sesungguhnya Aku bencikan si anu maka hendaklah engkau bencikan dia.’; Jibril pun membencinya; kemudian Jibril mengisytiharkan kepada sekelian penduduk langit, katanya: ‘Sesungguhnya Allah bencikan si anu maka hendaklah kamu sekelian membencinya.’; dengan itu penduduk langit pun membencinya; setelah itu orang yang tersebut dibenci dan dipulaukan di bumi.”  
(Bukhari dan Muslim) 




Oleh yang demikian, kita sebagai hamba, wajib berusaha untuk mendapatkan cinta Allah, kerana apabila Allah s.w.t menyintai kita, mustahil jika tidak diampuni dosa-dosanya.




Persoalan: Apabila kita menyintai Allah, bolehkah atau salahkah jika kita menyintai yang selainNya?


Benar, kadang-kadang kita keliru bila didatangkan dengan persoalan seumpama di atas. Sebelum tu, mari kita  lihat, apa kata Allah melalui kalamNya, Al-Quran.



Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)


Ingin mengajak sahabat-sahabat melihat asbab penurunan ayat tersebut.
Al-Kaliby berkata: Ketika Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) menyuruh para sahabat agar berhijrah ke Madinah, maka mereka pun menyampaikan berita tersebut kepada bapa-bapa, anak-anak dan isteri-isteri mereka. Sebahagian mereka menerima seruan tersebut dengan segera dan perasaan gembira, dan ada pula yang merasa keberatan meninggalkan keluarga tersayang, dan akhirnya mereka enggan berhijrah. Lalu Allah SWT menegor sikap mereka dengan menurunkan ayat ini.

Ini bermakna, Allah tidak melarang hambaNya untuk menyintai kaum keluarga, harta benda, perniagaan dan sebagainya. Namun, hendaklah kecintaan terhadap kesemua itu hendaklah tidak melebihi kecintaan terhadap Allah. Bahkan Allah mengangkat darjat mereka yang mati kerana mempertahankan harta, agama, nyawa dan ahli keluarga kepada darjat mati syahid. Sabda Nabi Muhammad SAW didalam hadith riwayat Ahmad, Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasaa-i:

Maksudnya: Barangsiapa yang mati kerana mempertahankan hartanya maka dia syahid, barangsiapa yang mati kerana mempertahankan Agamanya maka dia syahid, barangsiapa yang mati kerana mempertahankan darahnya (nyawanya) dia syahid dan barangsiapa yang mati kerana mempertahankan ahli keluarganya dia syahid.


Jadi, tidak salah atau berdosa sekiranya seseorang hamba itu menyintai perkara lain, asalkan kecintaannya terhadap perkara lain itu didasarkan kepada Allah. Allah ada menyebut bahawa hambaNya yang beriman menyintai Allah lebih daripada segala-galanya sebagaimana dalam firmanNya;



(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah. Dan kalaulah orang-orang yang melakukan kezaliman (syirik) itu mengetahui ketika mereka melihat azab pada hari akhirat kelak, bahawa sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu semuanya tertentu bagi Allah, dan bahawa sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya, (nescaya mereka tidak melakukan kezaliman itu)
(Al-Baqarah 2:165




Bagaimana untuk mengukur tahap kecintaan Allah kepada kita?

Tahap kecintaan Allah terhadap kita boleh diukur dengan cara muhasabah diri sendiri, mengukur sendiri tahap kecintaan kita terhadap Allah. Sebanyak mana kita menyintai Allah, lebih daripada itu Allah menyintai kita. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:


Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman: ‘Aku menurut prasangka hambaKu tentang Aku; Aku bersamanya bila ia mengingatiKu. Bila ia mengingatKu dalam jiwanya, maka Aku mengingatnya dalam diriKu. Bila ia mengingatKu di tengah khalayak maka Aku akan mengingatnya di tengah khalayak yang lebih baik.”
(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Malah Allah memberikan ketenangan kepada hamba-hamba yang mengingatinya sebagaimana dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Muslim disebutkan:

Tidaklah duduk suatu kaum untuk berzikir kepada Allah, kecuali malaikat mengelilingi mereka, rahmat menyelubungi mereka, ketenangan turun kepada mereka, dan Allah menyebut mereka di kalangan malaikat yang ada disisiNya.


Oleh yang demikian, untuk mendapatkan cinta Allah, kita terlebih dahulu yang perlu belajar untuk menyintai Allah dan mengingatinya. Jangan ditanyakan sebanyak manakah cinta Allah kepada kita, sebaliknya tanyakanlah sebanyak manakah kita menyintai Allah. 




Cinta dan ujian


Hatta sekecil mana atau sebesar mana nilai sesebuah cinta itu, sudah menjadi adat, cinta itu tidak terlepas daripada ujian.


Diriwayatkan daripada At Tarmizi,maksudnya :

Seorang lelaki berkata kepada Rasulullah saw “Aku menyintaimu” Bersabda Rasulullah saw: “Bersedialah kamu untuk menanggung kemiskinan” . Lelaki itu berkata lagi : “Aku menyintai Allah swt”. Rasulullahsaw bersabda : “Bersedialah untuk menerima ujian”.



Oleh itu, ingatlah apabila kita diuji, Allah sedang menarik kita untuk kembali dan mendekatkan diri kepada Dia. Apabila diuji, katakanlah kepada diri, "Ya Allah, beruntungnya aku diuji sebegini,sedangkan dalam masa yang sama, ramai lagi orang-orang sekelilingku yang dilalaikan." 


Ujian Allah, terutamanya bagi hambaNya yang beriman, semakin tinggi tahap keimanan, semakin berat ujian yang diberikan kepada hamba itu. Firman Allah s.w.t;

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta. 

Melalui ujian dan cubaan yang diberikan inilah, baru dapat dinilai tahap keimanan dan kebertanggungan seseorang terhadap Allah. Sebagaimana Sabda Rasulullah,

“Sesungguhnya Allah akan menguji dan mencuba salah seorang di antara kamu dengan cubaan sebagaimana salah seorang kamu menguji kadar emasnya dengan api. Maka sebahagian mereka akan keluar dari ujian itu bagaikan emas kuning berkilat; maka itulah orang yang dipelihara Allah daripada bermacam syubhat. Dan sebahagian mereka akan keluar bagaikan emas hitam, dan itulah orang yang tergoda fitnah.” 
Hadis riwayat Thobrani
Jangan resah bila diuji dengan kesusahan. Kerana dengan kesusahan itulah biasanya mengikut fitrah manusia, ia akan menyebabkan manusia kembali mencari jalan menghampirkan diri dengan Penciptanya.  Sebab itu, kebanyakan sahabat-sahabat Rasulullah suka mereka diuji dengan kesusahan hidup berbanding diuji dengan kesenangan. Lebih baik diuji dengan kesusahan daripada diulit dengan kesenangan dan kemewahan hidup.




Penutup: Contohilah kecintaan Mus'ab bin Umair r.a


Saidina Umar ra menceritakan bahawa : Rasulullah saw melihat Mus`ab bin Umair ra, padanya tali pinggang yang diperbuat dari kulit kibasy, maka bersabda Rasulullah saw: “Lihatlah lelaki ini, Allah telah mencampakkan nur di dalam hatinya , aku telah melihat dia bersama ibubapanya menikmati kehidupan yang mewah dengan makanan yang amat lazat. Tetapi beliau sanggup meninggalkan segala kemewahan yang dinikmatinya itu semata-mata kerana cintakan Allah” .

Mus’ab bin Umair sanggup menghadapi segala mehnah dalam kehidupan dan dia redho dengan Allah swt. Inilah dia hakikat ibadat dalam Islam, akur dan tunduk kepada Allah diiringi dengan matlamat kecintaan yang mendalam ke hadrat Ilahi.

Khabab berkata : Kami berhijrah bersama Rasulullah .saw, Allah .swt adalah harapan kami, dengan itu maka wajarlah kami mendapat ganjaran dari Allah. Dari kalangan kami, usaha mereka membuahkan hasil dan dituai di dunia lagi. Sebahagian yang lain tidak berkesempatan, peluang menikmati hasil di dunia berlalu begitu sahaja, ia adalah Mas`ab bin Umair. Terkorban syahid dalam peperangan Uhud. Tiada padanya, melainkan baju yang basah. Apabila kami menutup kepalanya bahagian kaki terbuka. Apabila kami menutup kakinya, terbuka pula bahagian kepalanya. Maka bersabda Rasullullah saw: “Tutuplah kepalanya, letakkan di atas kakinya azkhar ( sejenis tumbuhan dari padang pasir )” .

Para sahabat yang menongkah arus menempuh gelombang hidup bersama Rasullullah saw, sentiasa mendampingi Baginda, menyintai Baginda sehingga sanggup bersusah-payah. Mereka juga melebihkan kemaslahatan Rasulullah dari segala-galanya. Tahap kecintaan mereka sampai ke darjat itu kerana mereka dapat melihat pada diri Rasulullah .saw segala contoh teladan yang tidak didapati diri orang lain. Itulah cinta untuk mengikut dan menurut segala perilaku Baginda. Cinta Rasul yang hakiki menjelma menerusi amal ketaatan kepada Allah swt . Begitu juga cinta pada Allah yang hakiki adalah dengan mengikut jejak sunnah Rasulullah .saw . Benarlah Firman Allah yang bermaksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad) : “ Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”

[Ali- Imran : 31 ]





Sesungguhnya cinta kepada makhluk tidak semestinya mendatangkan cinta kepada Allah namun, apabila menyintai Allah, akan datang perasaan cinta kepada seluruh makhlukNya. Allah, sama ada hambaNya cinta dan taat atau benci dan derhaka, tidak sedikitpun perbendaharaanNya terjejas. Cinta kepada Allah itu akan memberi faedah kepada hamba itu sendiri, namun jika dia gagal menyintai Pencipta yakni Allah, malang itu akan datang menghimpit hamba berkenaan juga. 


Oleh itu, belajarlah menyintai Allah... Semoga kalian dan saya jatuh cinta pada Allah dan merasai nikmat cinta itu...



Wallahu'alam...






p/s: I love Allah


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jejak anda...