"Dan orang yang berusaha (berjihad) dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama kami, sesungguhnya kami akan memimpin mereka ke jalan kami, dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya" Al-Ankabut (29:69)
Isnin, Oktober 04, 2010
Mengumpat...bila diharuskan?
Umpat menurut kamus dewan bermaksud:
1 kata-kata yg dituturkan utk memburuk-burukkan orang lain.
2 kata-kata yg dituturkan kerana menyesali seseorang yg membuat kesalahan; cercaan. umpat-umpatan segala macam umpat.
mengumpat
1 menceritakan hal yg buruk-buruk atau mencela orang lain (di belakang); mengata-ngatai.
2 memarahi atau mengutuk orang kerana berlaku sesuatu yg tidak baik kpd kita. pengumpat orang yg suka mengumpat.
Firman Allah s.w.t:
"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani."
(Al-Hujuraat 49:12)
Berdasarkan firman di atas, Allah s.w.t telah menyerupakan diri si pengumpat sebagai pemakan bangkai. Perumpamaan ini cukup menggambarkan bahawa perbuatan ghibah atau mengumpat amatlah dibenci oleh Allah s.w.t. Memetik kata-kata Imam Al-Ghazali dalam Kitab Bidayatul Hidayah:
"Cuba engkau lihat pada dirimu sendiri, bukankah dirimu sendiri juga pernah membuat maksiat secara sendiri-sendiri dan juga dengan cara terang-terangan. Maka apabila engkau telah mengetahui bahawa dirimu sendiri banyak mempunyai kelemahan, sehingga engkau melakukan sesuatu maksiat maka ketahuilah bagitu pula halnya saudaramu, ia juga mempunyai kelemahan-kelemahan sehingga ia melakukan maksiat. Maka uzurnya sama dengan uzurmu, tetapi kenapa engkau suka menyebut-nyebut kelemahannya? Tentu ia tidak suka seperti halnya engkau tidak suka disebutkan kelemahanmu.
Dan apabila engkau menutupi keaibannya maka Allah s.w.t pasti akan menutupi keaibanmu tetapi jikalau engkau suka mendedahkan keaibannya maka Allah pasti akan menyediakan lidah-lidah yang lebih tajam untuk mendedahkan keaibanmu di dunia ini kemudian Allah akan mendedahkan pula segala rahsiamu diakhirat kelak di hadapan seluruh makhluk di Padang Mahsyar nanti.
Seandainya engkau melihat dirimu bersih daripada dosa, baik zahir atau batin dan engkau melihat dirimu bersih daripada segala keaiban baik yang berkenaan dengan urusan agamamu ataupun duniamu maka ketahuilah bahawa kejahilanmu terhadap dirimu sendiri itu adalah sejahat-jahat kejahilan. Tidak ada aib yang lebih besar daripada seseorang yang menganggap dirinya bersih dari segala dosa dan kesalahan. sebenarnya ketika itu Allah s.w.t tidak menghendaki kebaikan terhadap dirimu. jikalau Dia menghendaki kebaikan pada dirimu tentu Dia menunjukkan kepadamu akan aib dirimu. Jadi ketika engkau melihat dirimu sebagai seorang yang bersih, maka itu adalah kesudahan daripada segala kejahilan.
Kemudian seandainya engkau memang benar pada sangkamu (bahawa engkau tidak mempunyai keaiban) maka banyak-banyaklah engkau bersyukur kepada Allah dan mengapa engkau mahu memaki orang lain dan mempersendakan kesalahan mereka. Bukankah perbuatan ini juga termasuk di antara keaiban yang besar pula"
Namun, menurut Imam al-Ghazali dalam Ihya Ulumiddin...terdapat beberapa perkara yang mengharuskan seseorang untuk menyebutkan keburukan orang lain.
PERKARA YANG MENGHARUSKAN SESEORANG MENGUMPAT ORANG LAIN:
1. Ketika mengadukan hal kezaliman orang lain terhadap kita di hadapan hakim dan seumpamanya dan maka ketika itu bolehlah kita mendedahkan keaibannya.
2. Ketika bermesyuarat untuk memperbaiki kesalahan seseorang maka bolehlah kita menyebut kesalahannya di hadapan orang yang datang membantu kita memperbaiki kesalahannya.
3. Ketika kita meminta fatwa daripada mufti maka bolehlah kita menyebutkan kesalahan orang yang bersabit dengan soalan kita.
4. Ketika kita memberi amaran kepada orang ramai supaya mereka tidak terikut-ikut dengan seseorang yang melakukan perbuatan yang salah maka terpaksa kitamenyebutkan kesalahan orang yang berkenaan supaya orang ramai jangan tertipu dengannya.
5. Ketika menyebut seseorang yang telah dikenali dengan aibnya seperti kita menyebut seorang yang masyhur dengan nama gelaran tertentu.
6. Menyebut kesalahan seseorang yang sudah tidak malu untuk menzahirkan kefasikkannya seperti orang yang suka meminum arak dihadapan orang ramai.
Jadi, apabila kita nak menyebutkan sesuatu keaiban seseorang, kenal pasti dahulu niat kita...adakah bertepatan dengan syariat ataupun kita melakukan itu untuk membalas kejahatan seseorang terhadap kita, atau untuk menunjukkan kita baik manakala orang lain jahat atau saja-saja mahu menjatuhkan seseorang itu. Juga kenal pasti adakah kesalahan itu terbukti benar-benar dilakukan oleh individu berkenaan atau sekadar khabar angin yang disebarkan. Ingat, Allah mendengar doa orang yang teraniaya....orang yang teraniaya, doanya makbul...
Wallahu'alam...
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
salam.. minta izin yer mau copy :)
BalasPadamsilakan copy...
BalasPadamsyukran ya ukhti syikin