"Dan orang yang berusaha (berjihad) dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama kami, sesungguhnya kami akan memimpin mereka ke jalan kami, dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya" Al-Ankabut (29:69)
Sabtu, Julai 31, 2010
Indahnya Tawakkal
“Tawakal adalah kunci syurga, oleh itu raihlah ia dengan istiqamah dan perjuangan yang tidak pernah tamat tempohnya”
YAKIN SEPENUHNYA
Dalam surah at-Talaq ayat 3 Allah berfirman, “Sesiapa yang bertawakal kepada Allah maka Allah mencukupkan keperluannya.”
Untuk mencapai kecemerlangan, selepas setiap perancangan, usaha dan jihad dilakukan, kita perlulah bertawakal kepada Allah. Dalam kitab Dalilul Falihin dinukilkan makna dari kitab Al-Hikmat yang mengertikan tawakal sebagai “yakin sepenuhnya kepada dia yang memberikan jaminan(iaitu Allah).”
Imam Abu Uthman Al-Hairi pula mendefinisikan tawakal sebagai “berasa cukup dengan Allah dan bergantung kepadanya.”
Kita bertawakal kerana secara dasarnya kita tidak memiliki apa-apa pun tanpa keizinan Allah. Usaha yang kita lakukan pun berlaku dengan izinnya. Justeru dalam sebuah hadis oleh Imam Al-Hakim, Nabi menggalakkan umat Islam berkata, “Lahaula wala quwwata illa bilah.” Ia bermaksud, “Tidak ada sebarang daya dan kekuatan malainkan di sisi Allah.”
Mereka yang bertawakal akan mendapat keuntungan yang besar. Imam Tirmizi meriwayatkan sabda Nabi yang bermaksud, “Jika kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal kamu akan dikurniakan rezeki sebagaimana burung-burung dikurniakan rezeki, berpagi-pagi ia keluar dengan perut kosong dan berpetang-petang ia kembali kekenyangan.”
TAWAKAL DAN USAHA
Tawakal memerlukan usaha. Dalam Dalilul Falihin dinukilkan perkataan Imam Qusyairi, “Ketahuilah tempat bagi tawakal ialah di hati. Adapun pergerakan zahir(iaitu usaha), ia tidak membatalkan tawakal yang di hati kerana si hamba telah meyakini bahawa apa yang akan berlaku adalah mengikut ketetapan Allah. Jika dipermudahkan usahanya maka ia berlaku dengan kehendak Allah demikianlah juga sebaliknya.”
Dalam berusaha hukum sebab musabab tidak boleh dilupakan. Mengikut Bukhari dan Muslim, Nabi menyimpan untuk keluarga baginda makanan untuk setahun. Dalam konteks yang sama, Nabi telah menegur seorang Arab Badwi yang membiarkan untanya merayau-rayau dengan berkata, “Ikatlah ia dan kemudian hendaklah kamu bertawakal.” (Hadith Riwayat Tirmizi)
Demikian juga dalam aspek pengubatan. Apabila kita mendapat sakit kita disuruh berubat. Berhubung dengan ini Imam Tirmizi dan Ibn Majah meriwayatkan sabda Nabi yang bermaksud, “Berubatlah wahai hamba Allah. Sesungguhnya Allah telah menjadikan penyakit dan ubat.”
Imam Al-Ghazali telah merumuskan konsep ini dalam kitab Ihya Ulumuddin dengan berkata, ”Tidaklah mengurangkan tawakal dengan mengunci rumah ketika keluar dari rumah atau ketika menambat unta (kenderaan), kerana kesemua ini dikenal sebagai sunah Allah.”
ADAB-ADAB TAWAKAL
Tawakal dan usaha berhubung harta benda mempunyai adab-adabnya. Imam Al-Ghazali menggariskan enam adab dalam kitab Ihya Ulumuddin:
1. Mengunci pintu rumah untuk memelihara harta. Malik bin Dinar mengikat pintu rumahnya dengan tali.
2. Tidak ditinggalkan di dalam rumah benda-benda berharga yang dapat menarik perhatian pencuri untuk mencuri.
3. Ketika keluar rumah hendaklah seseorang itu serahkan keselamatan rumah itu kepada Allah dan dia reda dengan ketetapan Allah. Jika berlaku kecurian dia tetap reda dengan Allah.
4. Tidak bergundah gulana jika harta bendanya dicuri. Sebaiknya hendaklah ia bergembira dan berkata, “Jika ada kebaikan harta ini pasti ia tidak akan dicuri.” Unta sahabat Abdullah ibn Umar pernah dicuri orang. Beliau mencari unta itu sehingga kepanatan dan akhirnya beliau berkata, “(Unta itu aku serahkan) pad jalan Allah.”
5. Tidak didoakan kemelaratan dan musibah bagi pencuri itu kerana perbuatan itu membatalkan tawakal.
6. Dia berdukacita bagi pencuri itu kerana pencuri itu telah melakukan maksiat dan maksiat mendekatkan seseorang pada azab Allah. Dia bersyukur kepada Allah kerana dia berada di pihak yang teraniaya dan bukan yang menganiaya.
Sumber: 30 Wasiat Imam Bukhari, Abu Ahmad Yasin.
Hanya Allah Yang Maha Mengetahui…
.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Jejak anda...