Rabu, Mac 03, 2010

Parlimen Mahasiswa di Setiap IPT

GEORGETOWN - Pembentukan Parlimen Mahasiswa di setiap institusi pengajian tinggi (IPT) perlu mampu mengetengahkan imej tersendiri IPT tanpa ada pengaruh luar, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

Katanya, pelajar boleh mengemukakan pelbagai pendapat melalui Parlimen Mahasiswa sebelum diketengahkan kepada universiti dan kerajaan untuk pelaksanaan bagi kebaikan sejagat.

Menurutnya, mereka bebas membincangkan apa sahaja isu yang berkaitan pelajar, universiti atau orang ramai sebagai landasan mencetuskan idea melalui konsep kebebasan bersuara.

“Kita beri kebebasan kepada mereka termasuk untuk membincangkan soal politik kerana yakin dengan tahap kematangan sebagai sebahagian daripada proses pendidikan. Kita beri ruang dan peluang untuk mereka mengasah bakat dan kepimpinan.

“Tetapi kita tidak mahu ia menjadi medan yang membawa kepada keburukan seperti menyemarakkan budaya surat layang atau maki hamun,” katanya kepada media selepas menerima kertas cadangan penubuhan Parlimen Mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, semalam.

Ia disampaikan oleh Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USM, Syafiq Aziz. Turut hadir ialah Naib Canselor USM, Tan Sri Prof Dzulkifli Abdul Razak.

Menurutnya, USM adalah universiti pertama yang mencetuskan idea penubuhan Parlimen Mahasiswa hasil perbincangan antara pelajar dan pengurusannya.

“Saya bangsa kerana idea ini dicetuskan oleh pelajar sendiri yang kemudian mendapat sokongan pentadbir universiti. Sebagai menghargai komitmen mereka, saya turun padang berjumpa pelajar terlibat untuk mendapat gambaran lebih jelas mengenainya,” katanya.

Saifuddin berkata, beberapa universiti lain sudah menunjukkan minat ke arah itu dan menyerahkan kepada mereka untuk menentukan konsep dan pelaksanaan Parlimen Mahasiswa masing-masing.

Sebelum itu, Saifuddin turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persetujuan (MoA) antara USM dan Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk meneruskan kerjasama dalam bidang kimia, terutama sains forensik.

USM diwakili Dr Dzulkifli manakala JKM oleh Ketua Pengarahnya, N Hithaya Jeevan.

sumber:http://www.sinarharian.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jejak anda...