(KISAH SATU) Kisah Sedekah Yang Makbul
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Dahulu ada seorang lelaki yang telah bernazar, ‘Aku akan bersedekah dengan suatu sedekah.’ Kemudian dia keluar dari rumah membawa sesuatu dan menyerahkannya ke tangan seorang pencuri. Melihatkan hal itu, orang-orang disekelilingnya mencemuh perbuatannya itu. Dengan sinis mereka berkata kepadanya, “Malam ini engkau bersedekah kepada seorang pencuri.’
Namun orang itu berkata dengan tenang, “Ya Allah, segala puji bagiMu kerana aku mampu bersedekah walaupun kepada seorang pencuri. Aku akan bersedekah lagi dengan sedekah yang lain.”
Keesokan harinya dia keluar dari rumahnya membawa sedekah dan menyerahkannya kepada seorang pelacur. Orang-orang di sekelilingnya mencemuh. Mereka berkata dengan sinis, “Malam ini engkau bersedekah kepada seorang pelacur.”
Namun lelaki itu dengan tenang berkata, Ya Allah, segala puji bagiMu kerana aku boleh bersedekah lagi dengan sedekah yang lain.”
Esoknya, dia keluar dari rumahnya membawa sedekahnya dan menyerahkannya ke tangan seorang yang kaya. Orang-orang disekelilingnya mencemuh perbuatannya itu. Mereka berkata, “Malam ini engkau bersedekah kepada seorang yang kaya.”
Lelaki itu berkata dengan tenang, “Ya Allah, segala puji bagiMu kerana aku boleh bersedekah kepada seorang pencuri, pelacur dan kepada orang yang kaya.”
Pada malam harinya, lelaki itu bermimpi mendengar suara yang menyatakan:
“Adapun sedekahmu itu kepada pencuri, medah-mudahan dengan sedekahmu itu akan menjauhkan dirinya daripada perbuatan mencuri. Manakala sedekahmu itu akan menyebabkan dia mencuri. Manakala sedekahmu kepada pelacur, mudah-mudahan sedekahmu itu akan menyebabkan dia menjauhkan dirinya daripada zina. Begitu juga sedekahmu kepada orang kaya, mudah-mudahan orang itu mendapat pengajaran daripada sedekahmu, sehingga dia mahu menafkahkan harta yang dianugerahkan Allah SWT kepadanya kepada orang lain,”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
(KISAH DUA)Kisah Umar bin Abdul Aziz RA
Umar Abdul Aziz RA adalah seorang hafiz, mujtahid dan zuhud. Beliau adalah khalifah Umar Abdul Aziz menyampaikan khutbah terakhirnya. Dalam khutbah itu beliau berkata, “Di tangan kalian terdapat harta rampasan. Kelak harta-harta ini akan ditinggalkan kepada keturunanmu sebagaimana yang dilakukan oleh orang-orang terdahulu yang telah mewariskannya kepada kita. Tidakkah kalian menyedari bahawa setiap hari bermula daripada terbit matahari hingga matahari terbenam, kalian menghantar jasad yang beku dan kebumikannya ke dalam perut bumi yang gelap tanpa tikar dan bantal. Jasad ini meninggalkan segala kemewahan dan perhiasan dunia seperti harta, takhta, isteri yang jelita, sanak-saudara yang ramai serta pangkat dan darjat. Kini jasad ini terbaring tidak berdaya. Dia ditinggalkan keseorangan tanpa sesiapa yang menemani. Akan datang kepadanya malaikat Allah SWT untuk menghitung amal perbuatannya semasa di dunia. Ketika ini, apa sahaja yang dimiliki semasa di dunia sudah tidak berguna lagi. Dia Cuma boleh bergantung harap pada simpanan amal kebajikan yang pernah dikerjakannya dahulu. Demi Allah SWT! Aku bukan berniat untuk menakut-nakutkan kalian, kerana aku tidak tahu apa yang terkandung dalam hati kalian.”
Kemudian Umar bin Abdul Aziz menarik hujung bajunya dan menyapu kedua-dua matanya, kemudian beliau menangis tersedu-sedu dan terus meninggalkan mimbar masjid. Sejak itu, beliau tidak lagi meninggalkan kediamannya sehingga menjelang wafatnya.
Sumber:
Tundukkan Hati: Rahsia Keikhlasan Hidup di Dunia Fana, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Annual Bakri Haron.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Jejak anda...