Isnin, April 05, 2010

Ucapan Dasar Presiden





alhamdulillah....aku sudah bergelar mantan YDP....oh...mantan....ini ucapan dasar...yang dibaca sebentar tadi...mohon sangat-sangat komen atau bahaskan....mohon sangat teguran seandainya ada ketidakjelasan....atau apa-apa kekurangan....




shaima'(anak kak cik dan ustaz zayd) pun nak bagi usul....kan shaima'...comel...sape sebelah shaima' tu ya?



Bermula kata, pembuka bicara


Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillahi Rabbil A-lamin, was-salatu was-salamu ala Rasulillah. Rabbi ish-rah-li sadri wa-yassir-li amri wahlul uq-datan min-lisani yaf-qohu qauli. Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.


Yang berusaha, ayahanda, Dr. Hj. Mohamad Hashim bin Othman, Penasihat Kelab Pembimbing Rakan Sebaya, Universiti Sains Malaysia.


Yang berbahagia, barisan mantan Kelab Pembimbing Rakan Sebaya.


Yang disegani, barisan pemimpin Kelab Pembimbing Rakan Sebaya, Universiti Sains Malaysia sidang akademik 2009/2010.


Yang dikasihi, ahli Kelab Pembimbing Rakan Sebaya.


Dan, hadirin-hadirat yang sudi mengorbankan masa lapang untuk hadir ke majlis yang penuh takzim ini. Sesungguhnya, kehadiran setiap daripada kalian amat dialu-alukan bagi memeriahkan lagi majlis yang serba sederhana pada hari ini.


Di sini, saya ingin menyeru sidang hadirin sekalian, marilah sama-sama kita menjadikan mesyuarat kali ini sebagai medium untuk kita bertukar-tukar fikiran dan sebagai medan muhasabah untuk menilai segala aktiviti yang telah kita jalankan sepanjang sidang ini. Semoga hadirin dapat memberikan teguran membina demi penambahbaikan dan juga sebagai persediaan kepada pimpinan baru yang bakal menerajui, meneruskan perjuangan dan mengemudi bahtera yang sedang berlayar di samudera lautan yang begitu mencabar ini.


Firman Allah SWT dalam surah as-Saff ayat 4 yang berbunyi,

"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang di jalan-Nya, dalam
barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti satu 'bun-ya-nun-marsus'
yakni bangunan yang tersusun kukuh."


Hadirin-hadirat yang dirahmati Allah sekalian.

Pertama sekali, marilah kita sama-sama memanjatkan setinggi-tinggi rasa syukur kepada Allah SWT kerana hanya dengan keizinanNya dan belas ihsanNya dapat kita bersama-sama berkumpul di Dewan Utama Pelajar B, dewan yang menyimpan beribu kenangan, yang mewarnai kehidupan setiap daripada kita, suka mahupun duka, berlainan bagi setiap individu yang mengalaminya, dalam sidang Mesyuarat Agung Tahunan(AGM) Kelab Pembimbing Rakan Sebaya(KPRSUSM) sidang akademik 2009/2010. Alhamdulillahi Rabbul ’Alamin. Segala puji selayaknya hanya bagi Allah, Tuhan sekalian alam.



Impian dan Cita-cita


Sedar ataupun tidak, sidang akademik 2009/2010 kian melabuhkan tirainya. Seiring berjalannya waktu, warna-warna pelangi yang kita kutip untuk mewarnai arca keluarga kita untuk sidang ini kian lengkap warnanya. Bahtera yang kita bawa juga masih belayar menuju haluannya, walaupun berhempas pulas dengan gelombang lautan yang kadang-kadang memaksa untuk kita mencari persinggahan sementara, berhenti di perairan cetek seketika untuk membaiki bahtera yang penuh dengan harta yakni pengalaman dan kenangan yang dikutip oleh setiap daripada kita, sebelum meneruskan perjalanannya memenuhi impian kita, mencapai cita-cita.


Apabila membicarakan tentang cita-cita, ingin saya mengajak sahabat-sahabat sekalian merenungkan kembali Visi, Misi dan objektif Kelab Pembimbing Rakan Sebaya USM, muhasabah sejauh mana kita telah pergi dan apakah yang telah kita capai sepanjang sidang ini.


Visi:

Membentuk generasi berfikrah dan menghayati Islam sebagai cara hidup”.


Misi:

Membentuk jiwa yang bersifat hamba dan khalifah


Objektif:

1. membentuk mahasiswa yang berbudaya ilmu dan berakhlak mulia

2. melahirkan mahasiswa yang berfikiran terbuka dan peka terhadap isu semasa

3. membina mahasiswa yang seimbang JERIS (jasmani, emosi, rohani, intelak dan sosial).

4. menerapkan semangat kerjasama dalam kalangan mahasiswa



Sidang mesyuarat yang dihormati.


Izinkan juga saya menyentuh tujuh budaya yang ditekankan oleh Kelab Pembimbing Rakan Sebaya sepanjang sidang ini.

  1. Memugar budaya ilmu dan berakhlak mulia.
  2. Bersedia untuk belajar, mengajar dan diajar
  3. Penghayatan amalan kerohanian
  4. Memperkasa semangat ukhwah
  5. Menghayati amalan syura, amal jama’iy dan budaya kerja terancang
  6. Prihatin dan iltizam dengan isu semasa
  7. menghayati ruh al-jihad fi sabilillah


Perjalanan itu bermula…


Bermula dengan Hari Gema, Hari Interaksi dan Rekreasi, Bengkel Fasilitator, Training of Trainers, Kem Jati Diri dan juga saat ini, sidang akademik 2009/2010 telah menyaksikan naik turun KPRS di dalam perjuangannya di alam kampus ini. Saya percaya, setiap daripada kita mempunyai perspektif yang berbeza berkenaan hal ini. Manusia mungkin bijak yang merancang, tetapi kita tidak boleh lupa bahawa Allah jua yang menentukan. Pelbagai aktiviti telah dirancang oleh barisan pimpinan namun, tidak semua dapat dijalankan dan saya akui, di atas kelemahan saya juga, beberapa aktiviti yang dijalankan tidak bergerak dengan sempurna dan tidak memuaskan hati sama ada ahli jawatankuasa pelaksana mahupun peserta.


Sahabat sekalian,


Dalam melaksanakan sesuatu yang baik, kita harus memempuh kesukaran. Semoga kita semua diberi kelapangan dada oleh Allah SWT dan juga keterbukaan untuk menerima bahawa kegagalan itu adalah sebagai bukti, kelemahan kita sebagai seorang hamba. Kita juga harus ingat, bahawa kegagalan itu adalah permulaan kepada kejayaan. Ketahuilah bahawa jalan menuju Allah bukanlah satu jalan yang indah, penuh dengan warna-warni pantulan cahaya pelangi, wangi-wangian atau bunga-bungaan, sebaliknya ia diselubungi oleh ranjau dan duri.


Sabda Rasulullah SAW:

”Neraka tertutup dengan berbagai syahwat hawa nafsu sedangkan syurga tertutup dengan kesukaran keberatan.”

(Bukhari, Muslim)


Sahabat-sahabat sekalian, kesukaran dalam menempuhi jalan inilah yang menyebabkan jarang sekali orang yang melaluinya. Ramai orang yang berhenti disekerat jalan. Ada yang terhenti di situ, mencari haluan lain dan tak kurang juga yang berhenti, gugur begitu sahaja. Bagi yang meneruskan pula, tak semua yang melaluinya benar-benar menempuhinya, dan tak semua yang benar-benar menempuhinya sampai kepada tujuannya dan tak semua yang sampai ketujuannya mencapai matlamat dan cita-citanya. Dan sangat beruntunglah orang yang melaluinya, benar-benar menempuhinya, sampai kepada tujuannya dan mencapai matlamat dan cita-citanya kerana mereka inilah insan-insan yang menjadi pilihan Allah untuk mengenal dan mencintaiNya. Semoga Allah memasukkan kita dalam golongan yang beruntung dan mendapat rahmatNya.


Izinkan saya memetik kata-kata Ibnu Qayyim al-Jauziyah, ”Bergeraklah, kerana diam bisa mematikan. Sebesar-besar keuntungan di dunia adalah menyibukkan dirimu setiap saat pada aktiviti yang memberikan manfaat paling banyak di akhirat. Menyia-nyiakan waktu lebih bahaya daripada kematian kerana ia memutuskanmu dari Allah dan akhirat. Sedangkan kematian hanya memutuskanmu dengan dunia dan penghuninya.”


Jadikanlah kelemahan yang lepas sebagai medium untuk muhasabah dan memperbaiki diri. Sesungguhnya perjalanan ini baru bermula, walaupun dirimu merasakan sudah begitu jauh engkau melangkah. Dan perjalanan ini, hanya yang melaluinya merasai kepahitan, keperitan dan ingatlah, selepas kesusahan itu ada kemudahan. Firman Allah:


Bukankah Kami telah melapangkan untukmu dadamu?,

Dan Kami telah menghilangkan dari padamu bebanmu,

yang memberatkan punggungmu?

Dan Kami tinggikan bagimu sebutan (nama)mu.

Karena sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan,

sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.

Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain,

dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap.

(al-insyirah:1-8)



Carilah makna diri...


Hadirin-hadirat sekalian,

Sejenak saya ingin mengajak kita semua untuk merenungkan lima persoalan hidup, yang kita selalu dengar dan mungkin ada di antara kita sudah mahir menghafal jawapan-jawapan kepada persoalan tersebut. Namun, mungkin ada di antara kita yang terlupa, dan mungkin ada yang masih kabur tentang siapa kita, dari mana kita berasal, kenapa kita dilahirkan, kemana kita selepas ini dan bagaimana cara hidup yang sebenar.


Imam al-Ghazali ada menyatakan bahawa usaha mencari Tuhan harus bermula dengan mencari diri. Menjernihkan an-Nafs, membuang keburukan padanya dan menghias dengan kemuliaan. Sayyid Hawwa’ juga bersetuju dengan ini.


Allah SWT menjadikan manusia di muka bumi ini sebagai hamba dan juga sebagai khalifah. Kekhalifahan tidak melahirkan rasa hamba namun, kekhalifahan adalah lahir dari rasa kehambaan.Firman Allah s.w.t dalam surah Al-An'am ayat 165,


"Dan Dialah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa (khalifah) di bumi. Dia meninggikan sebagian kamu atas sebagian yang lain beberapa derajat, karena Dia hendak mengujimu tentang apa yang diberikanNya kepadamu, sesungguhnya Tuhanmu amat cepat siksaNya, dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang".


Allah ada berfirman di dalam Al Quran yang bermaksud: "Tidak aku jadikan jin dan manusia kecuali untuk mengabdikan diri kepada Ku." Mengabdikan diri di sini bermaksud memperhambakan diri iaitu membuat segala sesuatu hanya kerana Allah SWT. Sahabat-sahabat sekalian, sekiranya tugas yang kita lakukan dalam persatuan ini,diniatkan dan dilakukan untuk mencari dan mengenal Allah, kita juga sebenarnya telah mengabdikan diri kepada Allah.



Rabitah hati


Pengembaraan kita sepanjang sidang ini menyaksikan perjalanan yang hebat. Kita tidak dapat lari daripada hempasan ombak dugaanNya yang kadang-kadang hampir memecahkan bahtera yang kita bawa. Namun, ikatan hati yang sentiasa dijaga oleh setiap daripada kita, berjaya mengukuhkan bahtera dan sampai disini pada hari ini.


Kadangkala dalam kepayahan itulah baru kita tersedar, apakah niat masih lurus mencari keredhaanNya atau sudah terpesong mencari redha makhlukNya. Sahabat-sahabat yang dikasihi, dalam kepayahan menempuhi jalanNya baru kita sedar siapa kawan dan siapa lawan. Dalam kepayahan ini juga kita baru tersedar bahawa masih ada tanggungjawab kita yang belum selesai.


Allah ada berfirman: "Akan ditimpa kehinaan di mana sahaja kamu berada melainkan kamu menegakkan dua hubungan iaitu hubungan dengan Allah (hablumminallah) dan hubungan sesama manusia (hablumminannas)."


Sekiranya kita menyemak kembali, bilangan ahli yang mendaftar sangat ramai, namun di atas beberapa sebab tertentu, semakin lama KPRS yang pada awalnya seperti mendapat tempat dihati masyarakat kampus ini, seakan semakin hambar, semakin kurang mendapat sambutan. Saya akui, mungkin ini berlaku di atas kelemahan kami barisan pemimpin terutamanya saya sebagai ketua, dalam mengemudi bahtera ini. Kelemahan yang berlaku dalam dan semasa menguruskan projek menyebabkan ahli hilang keyakinan dan patah semangat untuk meneruskan perjuangan dalam KPRS.


Namun, saya ingin mengingatkan, bahawa kesalahan ini tidak boleh sepenuhnya diletakkan kepada barisan pimpinan yang begitu bertungkus-lumus, bekerja keras, sanggup mengorbankan masa dan tenaga, bersama-sama bermandikan airmata dalam menjaga kelestarian persatuan kita. Walaupun saya akui terdapat beberapa kelemahan daripada pihak kami, terdapat juga faktor lain yang perlu kita lihat termasuk persaingan dengan persatuan lain, aktiviti wajib universiti dan lain-lain tanggungjawab ahli yang menyebabkan mereka tidak dapat memberikan komitmen yang penuh.


Walaubagaimanapun, syabas saya ucapkan kepada barisan pimpinan yang telah melakukan apa yang terdaya untuk mengikat hati dan menjaga kebajikan ahli, semoga Allah membalas usaha kalian. Firman Allah:

“Sesungguhnya engkau Muhammad tidak berkuasa memberi hidayah iaitu petujuk kepada sesiapa yang engkau kasihi supaya dia menerima Islam tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah iaitu petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya iaitu menurut undang-undang peraturanNya”(Al-Qasas:56)



Perjalanan masih jauh...


Hadirin yang dihormati, kadang-kadang apabila diri merasakan terlalu lemah untuk meneruskan perjalanan, kita rasakan mahu berhenti di situ kerena tidak sanggup lagi. Namun ingatlah apabila kita diuji,


"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta."

(Al-Ankabut:2-3)



Apabila kita tidak mendapat apa yang kita inginkan,


"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."

(Al-baqarah:216)



Apabila kita rasakan ujian itu terlalu berat,


"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya." (Surah Al-Baqarah:286)



Apabila kita rasa sedih dan kecewa,


"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman."

(Surah Ali-Imran:139)



Apabila kita rasa hilang sabar dan putus asa,

"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan)."

(Surah Ali-Imran:200)



".dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir." (Surah Yusuf:12)



Apabila kita rasa buntu dan putus harapan,


"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk"

(Al-Baqarahayat:45)


"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dariNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal."

Surah At-Taubah ayat 129


"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka...... "

Surah At-Taubah ayat 111



Sesungguhnya, perjalanan masih jauh. Apa yang patah lagikan tumbuh, apa yang hilang datang gantinya. Pimpinan lama gantinya pimpinan yang baru.
Namun, sudah tentunya, tunas baru berbeda dengan dahan lama, gubahan pertama tak akan sama dengan gubahan kedua. Tetapi harapan kami, pimpinan yang bakal mengganti akan membawa sinar baru dalam meneruskan pelayaran yang penuh liku ini. Kajilah sejarah kita, belajar dari kesilapan lalu, perbaiki untuk menjadi yang lebih baik. Semoga KPRS akan terus hidup dan mendapat tempat dihati kita dan juga dihati mereka yang berada disekeliling kita. Di kesempatan ini juga saya, yang juga mewakili sahabat-sahabat barisan pimpinan KPSRUSM sidang akademik 2009/2010 ingin meminta maaf di atas segala kekurangan dan kelemahan kami, juga memohon maaf kerana tidak dapat menjadi pemimpin yang baik untuk anda pada sidang ini. Semoga Allah SWT mengampuni dosa kami dan meredhai apa yang telah kami lakukan.


Buat bakal pemimpin, pesanku,


Jika engkau burung,

Jangan sekali takut terbang tinggi,

Benar,

andainya jatuh…lukanya parah…

Makin tinggi terbang,

makin parah lukanya andai jatuh,

Tapi tidak rugi mencuba..

Kerana kalau terbang rendah pun mungkin jatuh juga,

Namun,

engkau yang berani terbang tinggi,

akan dapat melihat sesuatu yang luar biasa,

yang tidak pernah dilihat oleh yang lain,

tidak mustahil juga engkau akan mencapai,

sesuatu yang luar biasa yang tidak pernah dicapai oleh yang lain,

seandainya,

sewaktu kau cuba untu terbang tinggi,

kau jatuh,

engkau akan sakit,

mungkin parah lukamu,

namun aku percaya sakitmu tak akan seberapa,

jika dibandingkan dengan manisnya terbang tinggi itu,

hanya engkau merasainya,

sebaliknya jika engkau tidak berani,

lebih baik engkau menjadi ayam,

yang hanya melihat tanah dan pandai bertelagah.



Akhir bicara, mohon maaf di atas keterlanjuran bicara, tersalah kata. Segala yang baik itu datang dari Allah dan segala kelemahan itu adalah bukti bahawa saya adalah hambaNya yang tidak sempurna. Wallahu’alam, terima kasih.




disediakan oleh:


Tuan Fariza binti Tuan Roslli

Mantan Yang Di Pertua,

Kelab Pembimbing Rakan Sebaya,

Universiti Sains Malaysia.


*kiranya sampaikanlah teguran buatku...walaupun satu ayat....

4 ulasan:

  1. salam...

    Entah la kak...tak tau nak komen apa..best plk bila baca teks akak..tahniah la untuk akak, adik ucapkan(hehehee) ..panjang giler, tapi nasib baik semalam baca sekali dengan akak baca..Alhamdulillah , habis jugak akhirnya..bagus jer teks akak tu, banyak yang bleh di ambil point dan isinya.

    BalasPadam
  2. Saharuddin Yusoff1:11 PTG, April 05, 2010

    salam...

    sebenarnye din tak pehe sgt tentang bahas usul nie...nak bahas camne ye...bagi din semua dah disentuh...pasal hati..dan byk lagilah dan din akan simpan usul ydp sidang 2009/2010(takut tak berkesempatan dah lepas nie bersama kprs)...menarik even berjela2 tak putus semangat nak membacanya.. .tahniah buat kak fariza(nak panggil akak juga lah)...semoga next ucapan usul sidang 2010/2011 lebih mantap(so abg ammar jgn lupa pk wat usul awal2...hehehe) ...papepun keje nydp nie takde ape sgt pun..duk depan je....dun wori bagi nydp 1..safwan... hehehe... .cuma din tak berkesempatan untuk memohon maaf di atas segala kekurangn din sepanjang berada dalam pimpinan kprs sidang 2009/2010...

    even byk kepayahan dilalui..tapi bila tengok movie maker yang tak siap publish created by cik fira....lupa semua kepayahan malah datang syg plak kat kprs nie..

    All the best for pimpinan baru...i love u all by the name of Allah...

    wallahua'lam. ..

    BalasPadam
  3. salam....smua org komen ye....nk komen jgak...ucapan dasar ydp......rumate dy la org y 1st bce,heeee... ..erm,byk bnda lg y nk dsampaikan,tp ble ditambah,ditolak, dibahagi, didarab n so on.....2 jer y dpt diluahkan...

    ...bhasa y mngandungi makna y mndalam(renung- renungkan dan selamat beramal).... .tahniah na my rumate...hehe. ..

    mse mlm kjadian plak,erm walaupn nmpak kelam-kabut tp bnyak bnda y dpt kte blajar,kan?x tau nk ckap cam ne tp y pasti best,hehe... .smua ajk pn sporting n mdah bekerjasama. ....tahniah n terima kasih...

    BalasPadam
  4. tengok gmbar je dulu..baca kat rumah... huhu
    comel adik tu.. chiness look

    BalasPadam

Jejak anda...