Jumaat, Ogos 06, 2010

saat lebur keegoannya...

.






Suatu hari Umar, seorang pahlawan yang sering panas baran mendengar yang adiknya telah memeluk Islam, mengikuti ajaran yang dibawa oleh Muhammad yang melepasi jiwa hamba seorang manusia kepada mengabdikan kepada Allah. Seorang lelaki menemui Umar, katanya, “Aku hendak beritahu saru berita yang mengejutkan. Adikmu, Fatimah dan suaminya, Said bin Zaid, sudah memeluk Islam.”


Umar al-Khattab terkejut besar mendengar berita itu. Dia menjadi malu, sedih dan marah. Tanpa bersuara sepatahpun, dia meluru ke rumah Fatimah. Ketika itu, Fatimah dan suaminya sedang belajar mengaji al-Quran bersama-sama dengan seorang lagi sahabat mereka, Khabbab al-Arati. Dia mengetuk pintu dengan keras sehingga menimbulkan kebimbangan kepada seisi rumah.


“Aku Umar. Buka pintu!!” kata Umar dengan keras.


Khabbab ialah orang pertama yang lari menyambunyikan diri. Fatimah dan Said menjadi pucat. Mereka amat memahami sikap Umar yang amat memusuhi Islam ketika itu. Dia sanggup melakukan apa sahaja untuk menghukum orang yang mengkhianati agama nenek moyang mereka. Walau bagaimanapun, Fatimah memberanikan diri membuka pintu. Umar menerpa dengan muka garang.


“Aku mendengar kamu membaca sesuatu.”


“Apa yang kamu dengar? Kami tidak membaca apa-apa,” kata Fatimah.dia sudah menyembunyikan masyaf yang mengandungi tulisan-tulisan ayat al-Quran. Dia bimbang jika abangnya itu berjaya menemui mushaf itu.


“Aku dengar apa yang kamu baca. Aku tahu kamu sudah menganut agama Muhammad,” herdik Umar.


Lantas Umar mencekak leher Said dan mahu memukulnya. Fatimah cuba mempertahankan suaminya. Pukulan tidak mengena Said, sebaliknya tersasar kea rah Fatimah sehingga terkoyak kulit dahinya.


“Ya, kami sudah memeluk Islam. Kami percaya kepada Allah dan Rasul-Nya. Apa yang kamu nak buat, buatlah!!” jerit Fatimah dengan darah yang bercucuran di dahi. Melihat keadaan itu, Umar diserang perasaan kesal. Dia berasa kasihan kepada adiknya. Secara tiba-tiba dia berubah menjadi lembut.


“Berikan kepadaku mashaf yang kamu baca. Aku berjanji tidak melakukan apa-apa. Aku hanya ingin mengetahui apa yang dibawa oleh Muhammad.” Fatimah teragak-agak tetapi Umar cuba meyakinkan. “Jangan takut, aku bersumpah dengan Tuhan Muhammad. Aku akan kembalikan mashaf itu selepas membacanya.”


Fatimah berasa terharu dengan keikhlasan Umar. Dia amat mengenali sikap abangnya sendiri dan jauh disudut hati, dia tahu Umar akan mengotakan janjinya. Fatimah menjawab, “Saudaraku Umar, kau masih najis kerana syirikmu. Al-Quran itu tidak boleh disentuh melainkan oleh orang yang suci.”


Fatimah menyuruh Umar mandi. Selepas itu, barulah mushaf itu diserahkan kepadanya. Umar menerimanya dengan penuh minat, lantas membaca ayat dari Surah Taha. Selepas menghabiskan bacaanya, spontan terkeluar dari bibir Umar, “Alangkah indahnya ayat ini!”


Khabbab yang masih menyembunyikan diri dalam kediaman Fatimah keluar ketika mendengar pengakuan Umar. “Umar, demi Allah, aku pernah mendengar Muhammad berdoa, “Ya Allah, bantulah Islam dengan Abul Hakam Hisyam atau mar al-Khattab.” Cepatlah Umar, segera dapatkan Muhammad!”


Umar mendesak Khabbab membawanya bertemu dengan Muhammad. Fatimah mendengar dengan hati penuh syukur. Dia tidak menyangka abangnya yang keras hati itu akan terbuka menerima Islam. Khabbab membawa Umar ke sebuah rumah berdekatan Bukit Saffa, tampat Nabi Muhammad mengajar agama kepada rakan-rakannya. Seorang sahabat di dalam rumah itu mengintai di lubang pintu ketika mendengar ketukan. Dia sangat terperanjat apabila melihat Umar berdiri di depan pintu dengan sebilah pedang. Sahabat itu segera memberitahu Muhammad, tetapi bapa saudara Nabi, Hamzah Abdul Mutalib menjawab, “Wahai Muhammad, biarkan Umar masuk. Kalau dia mahukan yang baik, kita berikan yang baik. Kalau niatnya jahat, kami akan membunuhnya dengan pedang sendiri.”


Nabi Muhammad sangat tenang. Dalam hatinya, terdetik doa yang pernah dipohonnya dahulu. Kini, Umar datang sendiri tanpa perlu sesiapa pun memujuknya. Dia menyuruh orang membuka pintu dan Umar dipelawa masuk. Sebaik sahaja Umar masuk, Nabi Muhammad bangun menyambutnya lantas menuju ke sebuah bilik. Nabi melepaskan kain serbannya ke tubuh Umar dan merentapnya dengan kuat.


“Apakah yang menyebabkan kamu ke sini? Demi Allah, aku takut kamu tidak insaf sehinggalah Allah menurunkan bencana ke atasmu!”


“Wahai Muhammad, aku datang untuk beriman kepada Allah dan RasulNya,” Umar mambalas.
Muhammad terus bertakbir sebaik sahaja mendengar pengakuan itu. Doanya sebelum ini akhirnya termakbul. Seluruh masyarakat Islam yang masih kecil bilangannya ketika itu, bersyukur dan sangat mengalu-alukan kedatangan Umar ke dalam Islam. Pengislaman Umar bermakna Islam yang baru mendapat tempat, akan bertambah kukuh dan gagah.


Seluruh masyarakat Islam menyanjungi Fatimah sebagai orang yang bertanggungjawab membawa nur Islam ke dalam diri Umar. Dia terus diingati sebagai srikandi yang cekal, pendakwah yang berani, yang Berjaya menundukkan kedegilan, keegoan dan hati batu Umar al-Khattab.


Sahabat-sahabatku…renungilah kisah ini…betapa apabila seorang hamba yang tidak pernah tunduk dan takut kepada manusia menemui cahaya daripada Penciptanya, tunduk dan lebur keegoannya kepada Pencipta…dan bersujud dia kepada yang selayaknya…segala puji bagi Allah…


Umar…seorang manusia yang memiliki hati yang keras dan cukup keras penentangannya terhadap dakwah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w boleh menjadi lembut jiwanya apabila membaca kalamullah. Di saat itu, mashaf al-Quran bukannya senang untuk diperolehi, malah terpaksa bersembunyi untuk mempelajari dan membacanya. Cuba kita bandingkan dengan keadaan kita sekarang, yang sangat keras hati untuk mencapai mushaf yang sudah sedia ada di atas meja, apalagi untuk membaca dan mentadabburnya. Astaghfirullahal’azim.


Semoga Allah mengampuni dan melembutkan hati kita.


Wallahu’alam. Wassalam.


Rujukan: Buku Jiwa Hamba karangan Azizi Hj. Abdullah.



“Thaahaa.
Kami tidak menurunkan Al Qur'an ini kepadamu agar kamu menjadi susah;
tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut (kepada Allah),
yaitu diturunkan dari Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi.
(Yaitu) Tuhan Yang Maha Pemurah, Yang bersemayam di atas 'Arsy.
Kepunyaan-Nya-lah semua yang ada di langit, semua yang di bumi, semua yang di antara keduanya dan semua yang di bawah tanah.
Dan jika kamu mengeraskan ucapanmu, maka sesungguhnya Dia mengetahui rahasia dan yang lebih tersembunyi.
[Dialah Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Dia mempunyai al asmaulhusna (nama-nama yang baik)….”


Surah thaahaa ayat 1-8.




.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jejak anda...