Rabu, April 07, 2010

ayuh...hentikan lamunanmu...

Ternyata… Allah menghendaki kita untuk berjaya, untuk hidup senang dan bahagia.

Bacalah doa di bawah dengan penuh kesedaran dan kejiwaan. Bagaimana? Bacalah satu persatu dengan bersuara perlahan (cukup sendiri mendengarinya. Tidak berkesan jika hanya membaca di dalam hati). Sedari bahawa Allah itu sedang mendengar apa yang saudara rintihkan dan perkataan ‘aku’ di dalam doa di bawah adalah saudara sendiri. InshaAllah, sedikit-sedikit saudara akan berasa dekat dengan Allah.



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang...

ya Allah maafkan aku kerana selama ini aku selalu mendahuluiMu dan menentangMu dengan selalu mengutamakan usahaku ya Allah. Aku sering mendahului fikiran dan kemahuan serta kekuatanku ya Allah. Selalu merungut sehingga kekadang aku merasakan Engkau tidak mahu mengikut segala kehendakku ya Allah. Kekadang aku kecewa dengan ketentuanMu ya Allah.

ya Allah…. (panggillah Allah dengan perlahan kemudian pejamkan mata dan diam seketika dan rasailah respon daripada Allah SWT).

Ya Allah, ampuni aku kerana aku seringkali melupakan diriMu ketika aku membuat pilihan di dalam kehidupan ini ya Allah. Aku membuat pilihan hanya menggunakan nafsuku tanpa meminta petunjuk daripadaMu ya Allah. Aku terlupa bahawa setiap apa yang berlaku adalah datangnya dari diriMu ya Allah.

ya Allah…. (panggillah Allah dengan perlahan kemudian pejamkan mata dan diam seketika dan rasailah respon daripada Allah SWT).

Ya Allah, maafkan aku kerana aku sentiasa mencintai yang lain lebih daripada mencintaiMu ya Allah. Aku berasakan mencintai yang lain lebih utama daripadaMu ya Allah. Aku berasa sedih jika aku tidak memiliki cinta daripada yang lain lebih daripada memiliki cintaMu ya Allah.

ya Allah…. (panggillah Allah dengan perlahan kemudian pejamkan mata dan diam seketika dan rasailah respon daripada Allah SWT).

Ya Allah, maafkan aku kerana aku seringkali berasakan akulah yang berusaha di dalam kejayaan yang aku miliki ini ya Allah. Aku berasakan pencapaian aku pada hari ini adalah kerana hasil penat lelah usaha aku ya Allah. Aku berasakan bahawa kehebatan diri akulah penyebab kepada apa yang aku miliki pada hari ini ya Allah.

ya Allah…. (panggillah Allah dengan perlahan kemudian pejamkan mata dan diam seketika dan rasailah respon daripada Allah SWT).

Ya Allah, maafkan aku ya Allah. Aku sekarang sedar bahawa semua kekuatanku akan aku padamkan dan akan aku ganti dengan kekuatanMu yang menghendaki aku untuk hidup lebih baik dan lebih baik.

Ya Allah, maafkan aku ya Allah. Aku sekarang sedar bahawa semua cintaku kepada yang lain akan aku letakkan di kemudian dan akan aku mencintaiMu lebih daripada apa pun juga ya Allah.

Ya Allah, ampuni diriku ya Allah. Aku kini sedar bahawa semua kehendakku akan aku padamkan dan akan aku gantikan dengan kehendakMu yang menghendaki aku untuk menerima segala ketentuanMu ya Allah.

Ya Allah, maafkan aku ya Allah. Aku telah sedar bahawa semua usaha aku ini adalah di atas kehendak diriMu ya Allah. Aku tidak berdaya untuk memiliki apa-apa usaha pun ya Allah.

ya Allah…. (panggillah Allah dengan perlahan kemudian pejamkan mata dan diam seketika dan rasailah respon daripada Allah SWT).

Aku akan mengikuti kehendakMu untuk berjaya ya Allah, untuk hidup senang dan untuk hidup yang lebih baik. Aku sangat sedar ya Allah, selama ini aku memilih untuk hidup miskin sedangkan Engkau menyatakan bahawa Tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah.

Aku akan mengikuti kehendakMu untuk aku terus bernafas ya Allah. Engkau menghendaki jantung aku terus berdegup ya Allah. Engkau terus menghendaki mata aku untuk terus melihat ya Allah. Engkau tetap menghendaki telinga aku untuk terus mendengar ya Allah. Engkau sentiasa menghendaki mulut aku untuk terus bercakap, makan dan merasa makanan ya Allah.

ya Allah…. (panggillah Allah dengan perlahan kemudian pejamkan mata dan diam seketika dan rasailah respon daripada Allah SWT).

Engkau menghendaki aku mampu bersolat, Engkau menghendaki agar aku bersedekah, berzakat, melakukan kebaikan kepada semua orang. Engkau mengkehendaki aku bekerja, bersahabat, berkongsi ilmu, berkeluarga dan segala-galanya ya Allah.

Engkau mengkehendaki aku memiliki kereta, rumah, kerja, isteri, anak dan banyak lagi nikmat yang Engkau berikan ya Allah. Engkau mengkehendaki untuk aku mencari ilmuMu sehingga ke tahap yang lebih tinggi ya Allah.

Engkau mengkehendaki untuk aku berkongsi tentang kebesaranMu ya Allah. Engkau mengkehendaki untuk aku memiliki rasa cinta dan berada dekat dengan diriMu semakin hari semakin dekat ya Allah. Engkau mengkehendaki aku hidup penuh dengan ketenangan ya Allah.

ya Allah…. (panggillah Allah dengan perlahan kemudian pejamkan mata dan diam seketika dan rasailah respon daripada Allah SWT).

ya Allah Aku RELA untuk hidup senang ya Allah. Aku RELA untuk hidup dengan penuh kejayaan ya Allah. Aku RELA mengikuti apa sahaja kehendakMu ya Allah. Aku PASRAH untuk hidup tenang ya Allah. Aku REDHA untuk terus mencari ilmuMu ya Allah. Aku redha, pasrah dan rela untuk terus bernafas ya Allah.

Untuk itu ya Allah senangkanlah aku ya Allah, berjayakanlah aku ya Allah dan baikkanlah hidup aku Ya Allah..amin ya Allah ya rabbbal a’lamin.


sumber:http://www.fuadlatip.com/v1/2009/07/memiliki-kesedaran-tertinggi-3/

Selasa, April 06, 2010

Pesanan Imam Al-Ghazali:



jagalah hati...kerana akan rosak jika dihinggapi penyakit...hati yang aku bicarakan ialah hati nurani...



”Sepatutnya janganlah engkau melihat kepada seseorang kecuali engkau melihat bahawa ia adalah lebih baik di sisi Allah daripada engkau dan ia mempunyai beberapa kelebihan atas dirimu.



Maka jikalau engkau melihat orang yang lebih muda daripadamu maka hendaklah engkau berkata (di dalam hati),
”Budak ini belum pernah lagi membuat maksiat kepada Allah sedangkan aku sudah banyak berbuat maksiat maka tidak syak lagi bahawa ia lebih baik daripadaku.”



Dan apabila engkau melihat orang yang lebih tua daripadamu maka hendaklah engkau berkata,

”Orang yang ini menyembah Allah lebih dahulu daripadaku maka tidak syak lagi bahawa ia lebih baik daripadaku.”



Dan apabila engkau melihat orang yang alim maka hendaklah engkau berkata,

”Orang alim ini telah dikurniakan kepadanya bermacam-macam pemberian yang tidak dikurniakan kepadaku dan ia telah sampai ke martabat yang aku tidak sampai kepadanya dan ia mengetahui perkara yang tidak aku ketahui maka betapa aku sama dengannya.(maksudnya ia lebih baik dibandingkan dengan aku)”



Dan apabila engkau melihat orang yang jahil maka hendaklah engkau berkata,

”Orang yang jahil ini berbuat maksiat akan Allah dengan kejahilannya tetapi aku mengerjakan maksiat beserta dengan ilmuku maka Allah SWT akan berhujah ke atas diriku dan aku belum tahu lagi bagaimana aku akan mengakhiri kehidupanku ini.”




Dan apabila engkau melihat orang yang kafir maka hendaklah engkau berkata,

”Aku belum tahu lagi boleh jadi nanti ia masuk Islam lalu ia mengakhiri hidupnya dengan ”husnul khatimah”(mati dalam keadaan yang baik atau beriman) dan dengan sebab dia masuk Islam ia telah keluar daripada dosa-dosanya seperti keluarnya sehelai rambut daripada bancuhan (adunan) roti sedangkan aku-wal iya zubillah(mudah-mudahan Allah memelihara kita) boleh jadi berubah menjadi sesat setelah mendapat petunjuk maka aku menjadi kafir dan kehidupanku akan diakhiri dengan ”su-ul khatimah” (mati dalam keadaan kafir) maka orang kafir ini pada hari kiamat nanti akan dikumpulkan bersama dengan orang-orang yang muqarrabin sedangkan aku kana diseksa di dalam api neraka.”

Nauzubillahi min zalik.

wallahu'alam...

Isnin, April 05, 2010

Ucapan Dasar Presiden





alhamdulillah....aku sudah bergelar mantan YDP....oh...mantan....ini ucapan dasar...yang dibaca sebentar tadi...mohon sangat-sangat komen atau bahaskan....mohon sangat teguran seandainya ada ketidakjelasan....atau apa-apa kekurangan....




shaima'(anak kak cik dan ustaz zayd) pun nak bagi usul....kan shaima'...comel...sape sebelah shaima' tu ya?



Bermula kata, pembuka bicara


Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillahi Rabbil A-lamin, was-salatu was-salamu ala Rasulillah. Rabbi ish-rah-li sadri wa-yassir-li amri wahlul uq-datan min-lisani yaf-qohu qauli. Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.


Yang berusaha, ayahanda, Dr. Hj. Mohamad Hashim bin Othman, Penasihat Kelab Pembimbing Rakan Sebaya, Universiti Sains Malaysia.


Yang berbahagia, barisan mantan Kelab Pembimbing Rakan Sebaya.


Yang disegani, barisan pemimpin Kelab Pembimbing Rakan Sebaya, Universiti Sains Malaysia sidang akademik 2009/2010.


Yang dikasihi, ahli Kelab Pembimbing Rakan Sebaya.


Dan, hadirin-hadirat yang sudi mengorbankan masa lapang untuk hadir ke majlis yang penuh takzim ini. Sesungguhnya, kehadiran setiap daripada kalian amat dialu-alukan bagi memeriahkan lagi majlis yang serba sederhana pada hari ini.


Di sini, saya ingin menyeru sidang hadirin sekalian, marilah sama-sama kita menjadikan mesyuarat kali ini sebagai medium untuk kita bertukar-tukar fikiran dan sebagai medan muhasabah untuk menilai segala aktiviti yang telah kita jalankan sepanjang sidang ini. Semoga hadirin dapat memberikan teguran membina demi penambahbaikan dan juga sebagai persediaan kepada pimpinan baru yang bakal menerajui, meneruskan perjuangan dan mengemudi bahtera yang sedang berlayar di samudera lautan yang begitu mencabar ini.


Firman Allah SWT dalam surah as-Saff ayat 4 yang berbunyi,

"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang di jalan-Nya, dalam
barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti satu 'bun-ya-nun-marsus'
yakni bangunan yang tersusun kukuh."


Hadirin-hadirat yang dirahmati Allah sekalian.

Pertama sekali, marilah kita sama-sama memanjatkan setinggi-tinggi rasa syukur kepada Allah SWT kerana hanya dengan keizinanNya dan belas ihsanNya dapat kita bersama-sama berkumpul di Dewan Utama Pelajar B, dewan yang menyimpan beribu kenangan, yang mewarnai kehidupan setiap daripada kita, suka mahupun duka, berlainan bagi setiap individu yang mengalaminya, dalam sidang Mesyuarat Agung Tahunan(AGM) Kelab Pembimbing Rakan Sebaya(KPRSUSM) sidang akademik 2009/2010. Alhamdulillahi Rabbul ’Alamin. Segala puji selayaknya hanya bagi Allah, Tuhan sekalian alam.



Impian dan Cita-cita


Sedar ataupun tidak, sidang akademik 2009/2010 kian melabuhkan tirainya. Seiring berjalannya waktu, warna-warna pelangi yang kita kutip untuk mewarnai arca keluarga kita untuk sidang ini kian lengkap warnanya. Bahtera yang kita bawa juga masih belayar menuju haluannya, walaupun berhempas pulas dengan gelombang lautan yang kadang-kadang memaksa untuk kita mencari persinggahan sementara, berhenti di perairan cetek seketika untuk membaiki bahtera yang penuh dengan harta yakni pengalaman dan kenangan yang dikutip oleh setiap daripada kita, sebelum meneruskan perjalanannya memenuhi impian kita, mencapai cita-cita.


Apabila membicarakan tentang cita-cita, ingin saya mengajak sahabat-sahabat sekalian merenungkan kembali Visi, Misi dan objektif Kelab Pembimbing Rakan Sebaya USM, muhasabah sejauh mana kita telah pergi dan apakah yang telah kita capai sepanjang sidang ini.


Visi:

Membentuk generasi berfikrah dan menghayati Islam sebagai cara hidup”.


Misi:

Membentuk jiwa yang bersifat hamba dan khalifah


Objektif:

1. membentuk mahasiswa yang berbudaya ilmu dan berakhlak mulia

2. melahirkan mahasiswa yang berfikiran terbuka dan peka terhadap isu semasa

3. membina mahasiswa yang seimbang JERIS (jasmani, emosi, rohani, intelak dan sosial).

4. menerapkan semangat kerjasama dalam kalangan mahasiswa



Sidang mesyuarat yang dihormati.


Izinkan juga saya menyentuh tujuh budaya yang ditekankan oleh Kelab Pembimbing Rakan Sebaya sepanjang sidang ini.

  1. Memugar budaya ilmu dan berakhlak mulia.
  2. Bersedia untuk belajar, mengajar dan diajar
  3. Penghayatan amalan kerohanian
  4. Memperkasa semangat ukhwah
  5. Menghayati amalan syura, amal jama’iy dan budaya kerja terancang
  6. Prihatin dan iltizam dengan isu semasa
  7. menghayati ruh al-jihad fi sabilillah


Perjalanan itu bermula…


Bermula dengan Hari Gema, Hari Interaksi dan Rekreasi, Bengkel Fasilitator, Training of Trainers, Kem Jati Diri dan juga saat ini, sidang akademik 2009/2010 telah menyaksikan naik turun KPRS di dalam perjuangannya di alam kampus ini. Saya percaya, setiap daripada kita mempunyai perspektif yang berbeza berkenaan hal ini. Manusia mungkin bijak yang merancang, tetapi kita tidak boleh lupa bahawa Allah jua yang menentukan. Pelbagai aktiviti telah dirancang oleh barisan pimpinan namun, tidak semua dapat dijalankan dan saya akui, di atas kelemahan saya juga, beberapa aktiviti yang dijalankan tidak bergerak dengan sempurna dan tidak memuaskan hati sama ada ahli jawatankuasa pelaksana mahupun peserta.


Sahabat sekalian,


Dalam melaksanakan sesuatu yang baik, kita harus memempuh kesukaran. Semoga kita semua diberi kelapangan dada oleh Allah SWT dan juga keterbukaan untuk menerima bahawa kegagalan itu adalah sebagai bukti, kelemahan kita sebagai seorang hamba. Kita juga harus ingat, bahawa kegagalan itu adalah permulaan kepada kejayaan. Ketahuilah bahawa jalan menuju Allah bukanlah satu jalan yang indah, penuh dengan warna-warni pantulan cahaya pelangi, wangi-wangian atau bunga-bungaan, sebaliknya ia diselubungi oleh ranjau dan duri.


Sabda Rasulullah SAW:

”Neraka tertutup dengan berbagai syahwat hawa nafsu sedangkan syurga tertutup dengan kesukaran keberatan.”

(Bukhari, Muslim)


Sahabat-sahabat sekalian, kesukaran dalam menempuhi jalan inilah yang menyebabkan jarang sekali orang yang melaluinya. Ramai orang yang berhenti disekerat jalan. Ada yang terhenti di situ, mencari haluan lain dan tak kurang juga yang berhenti, gugur begitu sahaja. Bagi yang meneruskan pula, tak semua yang melaluinya benar-benar menempuhinya, dan tak semua yang benar-benar menempuhinya sampai kepada tujuannya dan tak semua yang sampai ketujuannya mencapai matlamat dan cita-citanya. Dan sangat beruntunglah orang yang melaluinya, benar-benar menempuhinya, sampai kepada tujuannya dan mencapai matlamat dan cita-citanya kerana mereka inilah insan-insan yang menjadi pilihan Allah untuk mengenal dan mencintaiNya. Semoga Allah memasukkan kita dalam golongan yang beruntung dan mendapat rahmatNya.


Izinkan saya memetik kata-kata Ibnu Qayyim al-Jauziyah, ”Bergeraklah, kerana diam bisa mematikan. Sebesar-besar keuntungan di dunia adalah menyibukkan dirimu setiap saat pada aktiviti yang memberikan manfaat paling banyak di akhirat. Menyia-nyiakan waktu lebih bahaya daripada kematian kerana ia memutuskanmu dari Allah dan akhirat. Sedangkan kematian hanya memutuskanmu dengan dunia dan penghuninya.”


Jadikanlah kelemahan yang lepas sebagai medium untuk muhasabah dan memperbaiki diri. Sesungguhnya perjalanan ini baru bermula, walaupun dirimu merasakan sudah begitu jauh engkau melangkah. Dan perjalanan ini, hanya yang melaluinya merasai kepahitan, keperitan dan ingatlah, selepas kesusahan itu ada kemudahan. Firman Allah:


Bukankah Kami telah melapangkan untukmu dadamu?,

Dan Kami telah menghilangkan dari padamu bebanmu,

yang memberatkan punggungmu?

Dan Kami tinggikan bagimu sebutan (nama)mu.

Karena sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan,

sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.

Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain,

dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap.

(al-insyirah:1-8)



Carilah makna diri...


Hadirin-hadirat sekalian,

Sejenak saya ingin mengajak kita semua untuk merenungkan lima persoalan hidup, yang kita selalu dengar dan mungkin ada di antara kita sudah mahir menghafal jawapan-jawapan kepada persoalan tersebut. Namun, mungkin ada di antara kita yang terlupa, dan mungkin ada yang masih kabur tentang siapa kita, dari mana kita berasal, kenapa kita dilahirkan, kemana kita selepas ini dan bagaimana cara hidup yang sebenar.


Imam al-Ghazali ada menyatakan bahawa usaha mencari Tuhan harus bermula dengan mencari diri. Menjernihkan an-Nafs, membuang keburukan padanya dan menghias dengan kemuliaan. Sayyid Hawwa’ juga bersetuju dengan ini.


Allah SWT menjadikan manusia di muka bumi ini sebagai hamba dan juga sebagai khalifah. Kekhalifahan tidak melahirkan rasa hamba namun, kekhalifahan adalah lahir dari rasa kehambaan.Firman Allah s.w.t dalam surah Al-An'am ayat 165,


"Dan Dialah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa (khalifah) di bumi. Dia meninggikan sebagian kamu atas sebagian yang lain beberapa derajat, karena Dia hendak mengujimu tentang apa yang diberikanNya kepadamu, sesungguhnya Tuhanmu amat cepat siksaNya, dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang".


Allah ada berfirman di dalam Al Quran yang bermaksud: "Tidak aku jadikan jin dan manusia kecuali untuk mengabdikan diri kepada Ku." Mengabdikan diri di sini bermaksud memperhambakan diri iaitu membuat segala sesuatu hanya kerana Allah SWT. Sahabat-sahabat sekalian, sekiranya tugas yang kita lakukan dalam persatuan ini,diniatkan dan dilakukan untuk mencari dan mengenal Allah, kita juga sebenarnya telah mengabdikan diri kepada Allah.



Rabitah hati


Pengembaraan kita sepanjang sidang ini menyaksikan perjalanan yang hebat. Kita tidak dapat lari daripada hempasan ombak dugaanNya yang kadang-kadang hampir memecahkan bahtera yang kita bawa. Namun, ikatan hati yang sentiasa dijaga oleh setiap daripada kita, berjaya mengukuhkan bahtera dan sampai disini pada hari ini.


Kadangkala dalam kepayahan itulah baru kita tersedar, apakah niat masih lurus mencari keredhaanNya atau sudah terpesong mencari redha makhlukNya. Sahabat-sahabat yang dikasihi, dalam kepayahan menempuhi jalanNya baru kita sedar siapa kawan dan siapa lawan. Dalam kepayahan ini juga kita baru tersedar bahawa masih ada tanggungjawab kita yang belum selesai.


Allah ada berfirman: "Akan ditimpa kehinaan di mana sahaja kamu berada melainkan kamu menegakkan dua hubungan iaitu hubungan dengan Allah (hablumminallah) dan hubungan sesama manusia (hablumminannas)."


Sekiranya kita menyemak kembali, bilangan ahli yang mendaftar sangat ramai, namun di atas beberapa sebab tertentu, semakin lama KPRS yang pada awalnya seperti mendapat tempat dihati masyarakat kampus ini, seakan semakin hambar, semakin kurang mendapat sambutan. Saya akui, mungkin ini berlaku di atas kelemahan kami barisan pemimpin terutamanya saya sebagai ketua, dalam mengemudi bahtera ini. Kelemahan yang berlaku dalam dan semasa menguruskan projek menyebabkan ahli hilang keyakinan dan patah semangat untuk meneruskan perjuangan dalam KPRS.


Namun, saya ingin mengingatkan, bahawa kesalahan ini tidak boleh sepenuhnya diletakkan kepada barisan pimpinan yang begitu bertungkus-lumus, bekerja keras, sanggup mengorbankan masa dan tenaga, bersama-sama bermandikan airmata dalam menjaga kelestarian persatuan kita. Walaupun saya akui terdapat beberapa kelemahan daripada pihak kami, terdapat juga faktor lain yang perlu kita lihat termasuk persaingan dengan persatuan lain, aktiviti wajib universiti dan lain-lain tanggungjawab ahli yang menyebabkan mereka tidak dapat memberikan komitmen yang penuh.


Walaubagaimanapun, syabas saya ucapkan kepada barisan pimpinan yang telah melakukan apa yang terdaya untuk mengikat hati dan menjaga kebajikan ahli, semoga Allah membalas usaha kalian. Firman Allah:

“Sesungguhnya engkau Muhammad tidak berkuasa memberi hidayah iaitu petujuk kepada sesiapa yang engkau kasihi supaya dia menerima Islam tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah iaitu petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya iaitu menurut undang-undang peraturanNya”(Al-Qasas:56)



Perjalanan masih jauh...


Hadirin yang dihormati, kadang-kadang apabila diri merasakan terlalu lemah untuk meneruskan perjalanan, kita rasakan mahu berhenti di situ kerena tidak sanggup lagi. Namun ingatlah apabila kita diuji,


"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta."

(Al-Ankabut:2-3)



Apabila kita tidak mendapat apa yang kita inginkan,


"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."

(Al-baqarah:216)



Apabila kita rasakan ujian itu terlalu berat,


"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya." (Surah Al-Baqarah:286)



Apabila kita rasa sedih dan kecewa,


"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman."

(Surah Ali-Imran:139)



Apabila kita rasa hilang sabar dan putus asa,

"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan)."

(Surah Ali-Imran:200)



".dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir." (Surah Yusuf:12)



Apabila kita rasa buntu dan putus harapan,


"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk"

(Al-Baqarahayat:45)


"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dariNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal."

Surah At-Taubah ayat 129


"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka...... "

Surah At-Taubah ayat 111



Sesungguhnya, perjalanan masih jauh. Apa yang patah lagikan tumbuh, apa yang hilang datang gantinya. Pimpinan lama gantinya pimpinan yang baru.
Namun, sudah tentunya, tunas baru berbeda dengan dahan lama, gubahan pertama tak akan sama dengan gubahan kedua. Tetapi harapan kami, pimpinan yang bakal mengganti akan membawa sinar baru dalam meneruskan pelayaran yang penuh liku ini. Kajilah sejarah kita, belajar dari kesilapan lalu, perbaiki untuk menjadi yang lebih baik. Semoga KPRS akan terus hidup dan mendapat tempat dihati kita dan juga dihati mereka yang berada disekeliling kita. Di kesempatan ini juga saya, yang juga mewakili sahabat-sahabat barisan pimpinan KPSRUSM sidang akademik 2009/2010 ingin meminta maaf di atas segala kekurangan dan kelemahan kami, juga memohon maaf kerana tidak dapat menjadi pemimpin yang baik untuk anda pada sidang ini. Semoga Allah SWT mengampuni dosa kami dan meredhai apa yang telah kami lakukan.


Buat bakal pemimpin, pesanku,


Jika engkau burung,

Jangan sekali takut terbang tinggi,

Benar,

andainya jatuh…lukanya parah…

Makin tinggi terbang,

makin parah lukanya andai jatuh,

Tapi tidak rugi mencuba..

Kerana kalau terbang rendah pun mungkin jatuh juga,

Namun,

engkau yang berani terbang tinggi,

akan dapat melihat sesuatu yang luar biasa,

yang tidak pernah dilihat oleh yang lain,

tidak mustahil juga engkau akan mencapai,

sesuatu yang luar biasa yang tidak pernah dicapai oleh yang lain,

seandainya,

sewaktu kau cuba untu terbang tinggi,

kau jatuh,

engkau akan sakit,

mungkin parah lukamu,

namun aku percaya sakitmu tak akan seberapa,

jika dibandingkan dengan manisnya terbang tinggi itu,

hanya engkau merasainya,

sebaliknya jika engkau tidak berani,

lebih baik engkau menjadi ayam,

yang hanya melihat tanah dan pandai bertelagah.



Akhir bicara, mohon maaf di atas keterlanjuran bicara, tersalah kata. Segala yang baik itu datang dari Allah dan segala kelemahan itu adalah bukti bahawa saya adalah hambaNya yang tidak sempurna. Wallahu’alam, terima kasih.




disediakan oleh:


Tuan Fariza binti Tuan Roslli

Mantan Yang Di Pertua,

Kelab Pembimbing Rakan Sebaya,

Universiti Sains Malaysia.


*kiranya sampaikanlah teguran buatku...walaupun satu ayat....

Sabtu, April 03, 2010

fikirkan....

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh…


….sekadar untuk renungan….jom kita sama-sama fikir dan risaukan....hmmm....


Baru-baru ini, saya ke kedai tempat mak angkat saya kerja(sebuah kedai bakery)....

..apa yang berlaku?...ada beberapa wanita sedang membincangkan tentang sesuatu…(cuba bersangka baik...nak jauhkan diri tapi...tak dapat elak...sebab mak cik saya pun tengah bincang skali...hu..)

...saya cuba tanya...apa yang berlaku?

Jawab salah seorang daripada mereka...
”Ni ha...kenai dok ******? Tu la...artis kacukan oghang putih hak baru tu! Pompuan ni dok main dengan anjing, haram tau dok...tak tau pasai apa laa dok main....dia upload kat dia punya facebook sendighi, dok buat anjing macam kucing....hmmmm...pasai pa laaa?...heran betoi aku...huih...pelik...ada ka patut?...harap la suami dia dapat bimbing ngan elok...”(bercakap dalam slang utara)
Mencebikkan bibir...sambil pegang surat khabar..sementara yang lain ada yang mengangguk…dan ada yang macam tak puas hati…

Saya terkedu…ops…tak kena soalan kot…oh…ghibah…saya yang tak de dalil nak bagi masa tu cuba menyejukkan keadaan…rasa berdosa jika dibiarkan…cuba tukar topik...ok...tak nak sambung kesudahan cerita tadi...kita berbalik kepada apa yang nak dibincangkan...


Lihatlah umat hari ini...bila timbul isu sentuh anjing...ramai yang melenting...ramai yang keluarkan fatwa...mengutuk sana dan sini....ghibah...Ya Allah...tidak pula sama-sama duduk dengan bertenang...buka majlis dan sama-sama bincang cara nak menangani masalah...atau pergi tegur terus individu yang melakukan kesalahan terbabit....sebaliknya...mengata dan mengata...istighfar semua, istighfar...


Firman Allah:

Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu menggunjing sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima tobat lagi Maha Penyayang.
Al-hujurat:12


Berbalik kepada bab sentuh anjing tadi...semasa usrah minggu lepas tak silap...kami ada juga bincang bab ni...ini sedikit perkongsian yang dipetik daripada beberapa sumber...kalau ada penambahbaikan di alu-alukan ya...



touch me not...




Yang ini dipetik daripada laman baheis.islam.gov.my/

Soalan : Apa hukum sentuh anjing & babi ? ada yang mengatakan tak salah sekadar menyentuh, yang haram makan dagingnya.! .

Jawapan
: Hukum sengaja menyentuh tanpa ada apa-apa tujuan dengan tujuan suka-suka (hobi) adalah dilarang kecuali dengan tujuan membuat kajian terhadap haiwan tersebut dari segi perubatan dan sebagainya.Sekiranya kita menyentuh haiwan babi, maka kita wajib menyamak anggota yang terkena haiwan berkenaan dan sebaliknya jika tersentuh haiwan anjing kering sama kering, maka kita tidak wajib menyamak anggota kita yang terkenanya, tetapi jika haiwan berkenaan basah dan diri kita kering atau sebaliknya, maka wajib kita menyamak anggota yang terkena haiwan berkenaan..

Nota:
Jawapan kepada soalan disediakan oleh Panel Kemusykilan Agama, JAKIM
mengikut mazhab shafe'i



Yang ni lagi menarik,

Babi Diqiaskan Kepada Anjing
oleh: Almarhum Ustaz Abdul Qadir Hassan (*)


buka sendiri ye...klik pada link tu...kalau copy n paste jadi panjang sangat...nanti malas pula nak baca..(^_^)


maaf ya....sebenarnya....nukilan kali ni di tulis dalam kedaan kelam kabut...bahasa macam tak tersusun...”kalu ghoyak dale bahasa klate lain, sene sikit nak jjelah”...tapi rasa tak senang duduk kalau tak sampaikan...nak g ulangkaji ekonomi...insyaAllah akan dikemaskini nanti...

Persoalan yang berlegar dalam kepala semenjak isu itu timbul...kenapa ek?

Anjing bukanlah haram kalau disentuh...haram dimakan...nak sentuh boleh...nak pelihara pun boleh...tak berdosa...cuma ada syaratnya, kena samak...tak tahu nak samak macam mana? Hmm...buka balik nota fardhu ’ain masa sekolah rendah dulu ye..

Kenapa...kita bising-bising, pening-pening, fikir-fikir, risau-risau, kutuk-kutuk, maki-maki, dan macam-macam lagi benda yang berbentuk ghibah berlaku bila timbul isu sentuh dan main dengan anjing? Walhal, sentuh anjing bukanlah sesuatu perbuatan yang haram...hairan lagi...ada juga yang kutuk makhluk comel ciptaan Allah ni....sikit-sikit "nn*t* a***ng!" la(maaf...kasar benar perkataan tu)...dan macam-macam lagi yang saya tak sanggup sebut...kesian makhluk Allah ni...dia berzikir pada Allah setiap masa...kita? mengutuk makhluk yang berzikir! Dah la bibir kita yang sepatutnya basah dengan kalimah ziktullah...kita basahi dengan kalimah kotor dan dosa...! Ya Allah..ampunkan kami...


cian anjing ni...



Pelik...bila kita tidak bising-bising, pening-pening, fikir-fikir, risau-risau. kutuk-kutuk, maki-maki, dan macam-macam lagi benda yang berbentuk ghibah bila tiada lagi batasan pergaulan antara lelaki dan wanita islam dalam kalangan kita...



Bebas sentuh berlaku dalam kalangan pemimpin yang mengaku Islam, artis-artis yang mengaku Islam...dan sahabat-sahabat kita yang mengaku Islam...tapi tidak pula mereka dipandang hina...dipandang salah...bukan suruh hina tapi...kita tidak risau akan perkara ini...malah...lebih menyedihkan apabila mereka ini dipandang tinggi dalam masyarakat...dijadikan idola...Ya Allah sakitnya ummat ini...



ajnabi?



Ingin mengajak sahabat renungkan beberapa hadith:


Diriwayatkan dari Ma’qil bin Yasar r.a, ia berkata, Rasulullah saw. bersabda,
“Lebih baik kepala seseorang ditusuk dengan jarum besi daripada ia menyentuh wanita yang tidak halal baginya,” (Hasan, HR ath-Thabrani dalam al-Kabir (174).


Diriwayatkan dari Umaimah binti Ruqaiqah r.a, ia berkata, Rasulullah saw. bersabda, “Sesungguhnya aku tidak akan menjabat tangan wanita. Sesungguhnya ucapanku untuk seratus wanita sama seperti ucapanku untuk satu orang wanita (yakni dalam membaiat mereka),” (Shahih, HR Malik [II/982], at-Tirmidzi [1597], Ibnu Majah [2874] dan Ibnu Hibban [4553]).


Diriwayatkan dari Abdullah bin Amru r.a, bahwasanya Rasulullah saw. tidak pernah menjabat tangan wanita ketika mengambil baiat wanita (dari para wanita),” (Shahih lighairihi, HR Ahmad [II/213]) dan al-Humaidi [368]).


Diriwayatkan dari Aisyah r.a, ia berkata,
“Demi Allah, tangan Rasulullah saw. tidak pernah menyentuh tangan wanita ketika membaiat. Beliau membaiat mereka hanya dengan ucapan, “Aku telah membaiatmu untuk ini dan ini,” (HR Bukhari [4891]).


Atau hadits yang berbunyi:


“Lebih baik memegang bara api yang panas dari pada menyentuh wanita yang bukan mahram.”

anda berani? ingin mencuba?


memetik kata dari blog junior...

"Perempuan yang suci adalah
perempuan yang dijaga oleh Allah
tidak sedikit pun Allah
membenarkan
mana-mana lelaki menyentuh
dirinya
walaupun hatinya..."


....pendapat anda?...

Jumaat, April 02, 2010

Tinggalkan Diriku, Demi Cinta itu…



******

“Wahai abang, adakah abang hendak meninggalkan kami berdua di lembah yang sunyi ini?” tanya isteri.

Walaupun beliau berkali-kali bertanya namun suaminya tidak menjawab.

******

Cabaran hidup datang dalam keadaan misteri. Cabaran seolah-olah seperti si berjubah hitam tanpa wajah yang pasti meresahkan orang melihat. Di sebaliknya cabaran adalah pintu kepada ketenangan dan kepuasan diri. Sama ada mahu melangkah masuk ataupun kekal berdiri diluar sebagai pemerhati. Ditinggalkan tidak bermaksud dibenci. Ditinggalkan tidak bererti dijauhi.

Ingin berkongsi satu kisah yang menyentuh hati....tatkala membacanya...meskipun berulang kali...pengorbanan seorang wanita kerana cintanya keranaNya, cintanya kepadaNya...pengorbanannya disaat cintaNya berbicara...



******
Hajar adalah salah seorang daripada dayang kepada puteri Mesir yang dihadiahkan oleh Raja Mesir kepada isteri pertama Nabi Ibrahim yang bernama Sarah.

Waktu itu Sarah sudah berusia lebih kurang 70 tahun. Dia merasakan dirinya sudah tua dan tidak boleh beranak lagi. Oleh itu, dia meminang Hajar bagi menjadi isteri kedua buat suaminya.

Hajar melahirkan anak lelaki bernama Ismail. Kemudian Nabi Ibrahim diperintahkan oleh Allah dibawa ke suatu tempat. Pada suatu pagi beliau dikejutkan Hajar bagi satu perjalanan panjang bersama-sama Ismail yang masih bayi.

Nabi Ibrahim membawa Hajar dan anaknya keluar dari Palestin menuju ke arah selatan. Mereka berhenti di suatu tempat yang kini dikenali sebagai Mekah. Waktu itu Mekah hanya kawasan padang pasir kering yang tandus tanpa penghuni menusia, kecuali daripada kalangan Arab puak Badwi yang hidup sebagai nomad yang sering berpindah randah.

Nabi Ibrahim meninggalkan Hajar bersama bayinya yang masih menyusu badan di padang pasir itu beserta satu bungkusan kurma dan satu pundi berisi air. Nabi Ibrahim berpesan kepada Hajar supaya membuat teduhan di situ. Kemudian beliau berpatah balik menuju ke Palestin semula.

Hajar melihat suasana keliling yang hening dan sunyi itu dengan rasa hairan mengapa suaminya meninggalkan dia sendirian dengan anaknya yang masih menyusu di situ dengan hanya berbekalkan sebungkus kurma dan satu pundi air.

Beliau bertanya suaminya, ”Wahai abang, adakah abang hendak meninggalkan kami berdua di lembah yang sunyi ini?”

Beliau berkali-kali bertanya namun suaminya tidak menjawab.



Hajar bertanya, ”Adakah Tuhan yang memerintahkan abang meninggalkan saya dan anak kecil ini di tempat yang tandus dan sunyi ini?”

”Ya benar, Tuhan memerintahkan begitu,” jawab Nabi Ibrahim tanpa menoleh.

Selepas mendengar jawapan itu barulah Hajar terdiam. Dia pasrah dan berkata bagi menenangkan hatinya, ”Sekiranya begitu, tentunya Tuhan tidak mensia-siakan kami!”

Ibrahim berdoa, ”Wahai Tuhan kami. Sesungguhnya aku meninggalkan anak daripada keturunanku di lembah yang tiada tanaman berhampiran dengan rumahmu. Wahai Tuhan kami. Berikanlah ingatan kepada mereka supaya mengerjakan sembahyang dan jadikanlah hati manusia tertarik kepada mereka. Berilah mereka rezeki daripada buah-buahan. Semoga mereka bersyukur.”

”Wahai Tuhan kami, sesungguhnya engkau mengetahui apa yang kami sembunyikan dan apa yang kami tunjukkan. Tidak ada perkara tersembnyi daripada Tuhan sesuatu sama ada di bumi dan di langit,” sambung doa Ibrahim.

Selepas selesai berdoa, Nabi Ibrahim meneruskan perjalanannya balik ke Palestin, meninggalkan isterinya sendirian bersama anaknya yang masih bayi itu.

Apabila bekalan yang ditinggalkan suaminya sudah habis, waktu itu pula air susunya sudah tidak mengalir lagi, Hajar merasa bimbang. Bayinya menangis kerana mahu menyusu. Hajar keluar dari khemahnya bagi mencari air.
Hajar berasa serba salah kerana terpaksa meninggalkan anaknya keseorangan di dalam khemah. Jika tidak keluar mencari air, anaknya tetap menangis kerana kelaparan. Dalam keadaan serba salah dan cemas, Hajar berlari ke Bukit Safa. Dia mendaki ke puncak mencari-cari air dan meninjau mungkin ada manusia yang dapat membantu.

Apabila tiada menjumpai air dan tiada manusia untuk diminta bantuan, dia berlari-lari pula ke arah Bukit Marwa. Hajar mendaki bukit itu dan meninjau sekelilingnya.

Hajar berulang-alik dan berlari-lari dari Bukit Marwa sebanyak tujuh kali. Dia berheti kerana kepenatan.

Pada masa itulah datangnya pertolongan Tuhan. Bayinya yang ditinggalkan tadi menghentak-hentakkan kakinya ke bumi. Dengan rahmat Tuhan, daripada hentakan kaki anak kecil itu terpancut air yang jernih dan dingin. Hajar menerpa ke arah pancutan itu, serta menadahnya bagi diberikan kepada Ismail.

Semasa menadah air itulah terpacul daripada mulut Hajar perkataan ’zami, zami, zami’ yang bermaksud berkumpullah. Melalui perkataan itulah lahir perkataan zamzam yang hingga sekarang dikenali sebagai air zamzam.



Bayi itu berhenti menangis apabila hausnya hilang selepas meminum air itu. Hajar pula merasa tenaganya pulih apabila meminum air itu.

Tempat air terpancut keluar dibuatkan takungan bagi mengumpul lebih banyak air. Takungan yang dibina itu bukan sahaja dijadikan sumber air minum Hajar dan anaknya. Apabila sumber air dikesan oleh burung-burung yang berterbangan, burung-burung datang ke situ bagi mendapatkan air.

Satu rombongan kabilah melalui kawasan itu mengesan tempat itu ada bekalan air apabila mereka nampak pergerakan burung yang melalui kawasan itu. Mereka menjumpai sumber air tempat Hajar dan anaknya itu.

Buat pertama kalinya semenjak ditinggalkan oleh suaminya di situ Hajar bertemu dengan kumpulan manusia. Walaupun ada kabilah yang menawarkan mahu membawa Hajar meninggalkan tempat itu, dia tetap tinggal di situ kerana memegang setia kepada perintah suaminya supaya dia tinggal di situ.

Semenjak dari penemuan kabilah mengenai tempat air itu, maka banyak kabilah lain yang lalu di situ singgah bagi mendapatkan bekalan air.

Setiap kali air diambil dari takungan itu, semakinbanyak pula air yang keluar. Lebih menghairankan lagi, rasa dan khasiat air itu elok dan lebih istimewa berbanding air biasa.

Oleh kerana bekalan air di situ terjamin, ada orang yang terus menetap di situ kerana mereka percaya tempat itu tempat yang diberkati. Maka pada masa yang singkat, bilangan penduduk Mekah bertambah ramai.

******

gambar Bukit Safa

begitu tega dan redha Siti Hajar...subhanallah...sungguh bukan mudah...namun ini bukan kisah dongeng...rasanya lagi tersentuh bila membaca kisah Siti Hajar hasil tulisan Ustaz Pahrol dalam BUKAN CINTA BIASA

moga bermanfaat buat diri dan sesiapa sahaja yang sudi membaca....insyaAllah...

Rujukan; Bagaikan Khadijah Di Hati Rasulullah, Zamri Mohamad, Imran Yusof.