Memaparkan catatan dengan label mutiara hikmah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label mutiara hikmah. Papar semua catatan

Ahad, Julai 03, 2011

Cinta Kepada Allah

Pada satu musim haji, beberapa orang ahli sufi telah berkumpul di Mekkah termasuk Abu Bakar Al-Kattani dan Al-Junaid Al-Bagdadi. Waktu itu Junaid masih lagi muda tetapi merupakan ahli sufi, yang demikian beliau merupakan kalangan ahli sufi yang termuda di dalam majlis tersebut.


Mereka sedang membahaskan konsep cinta kepada Allah khususnya menurut ahli sufi. Masing-masing mengemukakan pendapat masing-masing di dalam majlis tersebut. Setelah itu mereka yang lain merasa ingin mendengar pula pendapat ahli sufi muda ini dalam hal tersebut.

"Sila kemukakan pendapatmu wahai pemuda Iraq." kata mereka kepada Al-Junaid. Maka tertunduklah kepala Al-Junaid dan bersertalah air matanya mengalir dipipinya yang kemudian mengangkat kembali kepalanya seraya berkata,

"Orang yang asyik Cinta kepada Allah ialah orang yang membebaskan dirinya dari segala nafsunya, dan sebagai akibat daripada itu, dia hanya menyibukkan dirinya berzikir kepada Allah subhanahu wa ta`ala. Dia sentiasa melaksanakan segala tugas-tugas yang Allah suruhkan kepadanya, dia melihat kebesaran Allah dengan mata hatinya. Nur Allah dan kebesaran-Nya menguasai dan menghiasi seluruh jiwanya, sehingga kosong hatinya dari apa saja melainkan Allah. Dia telah minum air cinta yang jernih daripada-Nya. Tersingkaplah segala Hijab sehingga jelas baginya. Maka jika ia bercakap, dia tidak bercakap melainkan bersama Allah. Dari mulutnya tidak keluar satu perkataan melainkan Allah. Demikian jua jika ia bergerak, maka gerak itu atas perintah Allah, dan jika ia mendiamkan diri, dia bersama Allah. Pokoknya segala apa saja gerakan, perkataan dan fikirannya hanyalah kerana Allah dan bersama Allah.
"

Mendengar keterangan yang sangat menakjubkan itu, maka menangislah kesemua ahli sufi yang hadir dan syeikh yang hadir, lalu berkata "Tidak ada penjelasan yang lebih baik dan terang selain itu." Mereka tersangat kagum kepada Junaid kerana masih terlalu muda dan berupaya mengeluarkan perkataan itu. "Semoga Allah tetap membimbingmu wahai mahkota kerohanian," kata mereka lagi.

Firman Allah kepada Nabi Daud;
"HambaKu yang aku cintai adalah mereka yang mencari Aku, bukan kerana takutkan hukumanKu atau hendakkan kurniaanKu, tetapi semata-mata Aku ini Tuhan"

"Tidak beriman seorang kamu sebelum Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya daripada yang lain-lain." (Bukhari & Muslim)

Tersebut dalam Kitab Zabur:
"Siapakah yang lebih zalim daripada orang yang beribadah kepadaKu kerana syurga atau neraka, kalaulah Aku tidak menciptakan syurga atau neraka, apakah aku tidak layak untuk ditaati?"

Abu Sulaiman berkata;
"Siapa yang hari ini (ketika hidup) sibuk dengan dirinya, maka dia itu nanti (setelah mati) akan sibuklah dengan dirinya sendiri. Siapa hari ini sibuk dengan Tuhannya, maka dia itu esok akan sibuk juga dengan Tuhannya."
Wahyu Allah s.w.t kepada Nabi Isa a.s.;
"Bahawasanya Aku apabila Aku lihat pada hati hambaKu, lantas Aku tidak mendapatkan dalam hatinya cinta pada dunia dan cinta pada akhirat, nescaya Aku penuhkan hatinya itu dari 'cintaKu' (padanya)."

Kata Junaid;
"Tanda cinta itu ialah berterusan rajin dan bersungguh-sungguh dengan kerinduan."

Antara bukti kecintaan hamba kepada Khaliq:

1. Cinta untuk bertemu Tuhannya
2. Membanyakkan sujud
3. Sanggup mencari syahid dan berjuang di jalan Allah
4. Tidak akan berbuat maksiat
5. Cinta untuk berzikir kepada-Nya
6. Cinta kepada Al Quran
7. Rajin bertahajjud
8. Berasa nikmat apabila mentaati perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya
9. Tidak terpengaruh dengan celaan orang.
10. Takut- iaitu takut pada tempatnya.
11. Menyembunyikan kecintaan.


Sumber: http://cahayamukmin.blogspot.com/

Ahad, Jun 26, 2011

Ini...

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamu'alaikum...

Apa khabar diri? apa khabar iman? apa khabar amal?

Semoga semua baik-baik sahaja...

"Ini"...ermm...saya tak pasti kenapa saya memilih tajuk ni...sebenarnya saya rindu pada blog ni... rindu untuk mencoret sesuatu untuk diri di ruangan ini, sebagai sebuah peringatan untuk rujukan diri...

Alhamdulillah... hampir sebulan di ijab kabulkan dengan suami tercinta... terasa benar, masa itu sangat cepat berlalu...

Bukan mudah melalui sebuah transisi... tapi insyaAllah... kena selalu berusaha... dan usaha lagi... untuk sentiasa menjadi yang terbaik, supaya dapat memberi yang terbaik... banyakkan muhasabah diri... koreksi hati...

Terima kasih Allah... Terima kasih Allah... Terima kasih Allah... saya bahagia... sangat-sangat bahagia...

Mahu mencoretkan sesuatu 'tentang itu'... tapi saya dahulukan dengan sedikit coretan ini... sedikit perkongsian daripada kata-kata suami... sebagai peringatan untuk diri...




…manusia sering keliru dan tersalah membuat pilihan dalam mengejar matlamat hidup…
…antara dunia dan akhirat, nilai usaha dan ganjarannya berbeza….

…kita hanya mampu melihat hasil yang sedikit daripada usaha yang besar untuk mendapatkan ganjaran dunia…
…berbanding ganjaran akhirat, kita mampu mendapatkan hasil yang besar daripada usaha yang kecil…

…ganjaran dunia itu sukar diperolehi tetapi itu yang sering dikejar bermati-matian ….
…ganjaran akhirat itu senang diperolehi tetapi itu yang sering diabaikan…

…sedangkan ganjaran di dunia akan musnah pada bila-bila masa sahaja…
…manakala ganjaran akhirat…itu yang kekal selama-lamanya…

…sungguh…
…Allah tidak jadikan syurga itu sia-sia melainkan untuk diberikan kepada hambaNya…




wallahu'alam... sekian...


p/s: abang... terima kasih ya... ini coretan pertama sayang di BUZ selepas bergelar isteri abang...

Selasa, Mac 08, 2011

Nasihat Ibnul Qayyim : Tentang Hati

 (ulangan)


Di dalam hati manusia ada kekusutan dan tidak akan terurai kecuali menerima kehendak Allah SWT.


Di dalam hati manusia ada keganasan dan tidak akan hilang kecuali berjinak dengan Allah SWT.


Di dalam hati manusia ada kesedihan dan tidak akan hilang kecuali seronok mengenali Allah SWT.


Di dalam hati manusia ada kegelisahan dan tidak akan tenang damai kecuali berlindung, bertemu dan berjumpa denganNya.


Di dalam hati manusia ada penyesalan dan tidak akan padam kecuali redha dengan suruhan dan laranganNya serta qadha dan qadarnya serta kesenantiasaan sabar hingga menemuiNya.


Di dalam hati manusia ada hajat dan tidak akan terbendung kecuali kecintaan kepadaNya dan bermohon kepadaNya.


Kesentiasaan berzikir kepadaNya adalah keikhlasan sebenar kepadaNya...andai dunia dan isinya diberikan kepada manusia masih tidak lagi dapat membendung hajat hati si hamba itu.





Ya Allah... ampuni kami...

Khamis, Mac 03, 2011

Mutiara: Hakikat Cinta

Hakikat cinta adalah bahawa ia takkan berkurang tatkala seseorang mengalami kesulitan, tidak pula bertambah (hanya) jika dihadiahkan kebaikan (yakni, inilah kecintaan tanpa syarat kepada Tuhannya). Orang yang mendakwa diri mencintai Tuhan adalah pendusta jika dia mengabaikan batas-batas yang ditetapkan-Nya.
Yahya bin Mu'adz 



"Rasa cinta seorang hamba kepada Allah tidaklah boleh menyerupai cinta seorang makhluk kepada makhluk yang lainnya. Kerana, cinta (kepada makhluk) seperti itu merupakan kecenderungan untuk menguasai dan mendapatkan sang kekasih. Hal ini merupakan ciri-ciri cinta jasmaniah.

Para pencinta Allah s.w.t. adalah orang-orang yang bersungguh-sungguh dalam mendekati-Nya, bukan orang-orang yang menuntut mesti bersama-Nya (yakni, memaksa-Nya - Maha Suci Allah dari kehendak makhluk, Kehendak-Nya atas segalanya).

Orang yang menuntut itu berdiri sendiri dengan rasa cintanya (dengan sangkaan semata-mata), sementara orang yang bersungguh-sungguh itu turut larut dengan Kekasihnya. Orang-orang yang paling jujur dalam medan cinta adalah mereka yang bersungguh-sungguh meraih cinta yang ditakluki olehnya."
 
Al-Hakim Al-Tirmidzi



"Cinta adalah sentiasa berpaling kepada Sang Kekasih dengan hati yang merasa kerana cinta. Cinta bererti mengutamakan sang Kekasih di atas semua yang dikasihi. Cinta bererti bahawa si pencinta menyesuaikan diri dengan keinginan Sang Kekasih, baik dia hadir di sisi-Nya ataupun berada jauh dari-Nya." 
Imam Al-Qusyairi




" Demi Allah yang jiwaku ditangannya ! Tidaklah Allah memutuskan sesuatu ketentuan bagi seorang mukmin melainkan mengandungi kebaikan baginya. Dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi mukmin . Jika ia memperolehi kegembiraan dia berterima kasih bererti kebaikan baginya , dan jika ia ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan baginya ".
Riwayat Muslim 






p/s: 

...bersangka baiklah terhadapNya... kerana Dia selalu mahukan yang terbaik buatmu... 

...cintailah Dia dengan cinta yang sebenar-benarnya... kerana Dia terlalu menyintaimu... 

...ingatilah Dia dengan ingatan yang sebenar-benarnya... kerana Dia tidak pernah melupaimu...

...rinduilah Dia dengan rindu yang sebenar-benarnya... kerana Dia selalu merindui hamba yang merindui-Nya...

...abdikan dirimu dengan pengabdian yang sebenar-benarnya... walaupun itu tidak cukup untuk membayar belas dan kasihNya padamu yang tidak putus-putus sedari engkau belum dilahirkan...

...supaya engkau menjadi manusia yang sedar diri dan tahu bersyukur...




...terima kasih Allah...terima kasih Allah...terima kasih Allah...

Sabtu, Januari 15, 2011

Buat jiwa yang resah


"Cukuplah seorang hamba dikatakan sudah memberontak kepada Tuhannya apabila dia menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya."
~Imam Ghazali~

**********


Di ceritakan dalam sebuah kisah,pada suatu ketika datang seorang lelaki berjumpa dengan sahabat Rasulullah s.a.w. bernama Ibnu Mas'ud untuk meminta nasihat daripadanya.


Lelaki tersebut berkata;

"Wahai Ibnu Mas'ud, berilah nasihat yang dapat ku jadikan ubat bagi jiwa aku yang sedang gelisah. Dalam beberapa hari ini aku merasa tidak tenteram, jiwa aku terlalu gelisah dan fikiranku menjadi kusut, tidak lalu makan dan tidurku pula tidak nyenyak."

Maka Ibnu Mas'ud pun menasihatinya dengan berkata:

"Kala penyakit itu yang menimpamu, maka bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat iaitu tempat orang membaca al-Quran, di sana engkau baca al-Quran atau engkau dengar baik-baik ayat al-Quran yang dibaca oleh orang lain atau engkau pergi ke kelas pengajian yang mengingatkan kita kepada Allah s.w.t. , atau engkau cari waktu dan tempat yang sunyi, di sana engkau berkhalwat (mengasingkan diri untuk beribadat kepada Allah s.w.t), umpama ditengah waktu malam buta di saat orang sedang tidur nyenyak, engkau mengerjakan solat malam meminta dan memohon kepada Allah s.w.t. akan ketenangan jiwa, ketenteraman fikiran dan kemurnian hati. Seandainya jiwamu masih belum terubat jiwa dengan cara ini engkau mintalah kepada Allah agar diberinya hati yang lain, sebab hati yang ada padamu, bukan lagi hatimu."


Kemudian orang itu kembali ke rumahnya, lalu terus diamalkannya nasihat Ibnu Mas'ud itu. Dia pergi berwudhuk dan kemudian membaca al-Quran dengan hati yang khusyuk. Selesai membaca al-Quran, berubahlah kembali hatinya menjadi jiwa yang aman dan tenteram, fikirannya tenang dan kegelisahannya hilang sama sekali.



 **********



"Kerehatan badan bergantung kepada kurangnya makan. Kerehatan jiwa bergantung kepada kurangnya melakukan dosa. Kerehatan lidah bergantung kepada kurangnya bercakap. Dosa bagi hati umpama racun bagi badan. Justeru itu, dosa yang dilakukan seseorang umpama meminum racun. Jika dosa itu tidak membinasakan jiwa secara menyeluruh, maka ia akan melemahkan jiwa (seperti racun, walaupun ia mungkin tidak memusnahkan badan tetapi ia tetap melemahkan badan). Jiwa yag lemah tidaklagi mampu melawan penyakit, sama seperti badan yang lemah tidak mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik."
~Thabit ibn Qurrah~


"Saya dapati dosa itu mematikan jiwa manakala melakukan dosa hingga sampai ke peringkat ketagih akan mewarisi kehinaan. Meninggalkan dosa bermakna menghidupkan hati. Oleh itu adalah baik bagi kamu agar menderhakai dosa."
~Abu Abdurrahman Abdullah bin Al-Mubarak Al-Hanzhali Al-Marwazi~





Ya Allah... sedarkan aku di saat aku terlena dibuai cinta dunia... teguhkan kaki ini untuk terus berdiri di bumiMU... kuatkan hati ini untuk terus istiqamah di jalanMu... jadikanlah aku diantara hamba-hambaMu yang sabar dan bersyukur... tenangkan jiwaku... redhai kehidupanku.... Ya Allah... 




Ukhtiza li

Rabu, Disember 22, 2010

Ambillah waktu


 

Ambillah waktu untuk berfikir,

Itu adalah sumber kekuatan.



Ambillah waktu untuk berdoa,

Itu adalah sumber ketenangan.



Ambillah waktu untuk belajar,

Itu adalah sumber kebijaksanaan.



Ambillah waktu untuk bersahabat,

Itu adalah jalan menuju kebahagiaan.



Ambillah waktu untuk tertawa,

Itu adalah muzik yang menggetarkan hati.



Ambillah waktu untuk bekerja,

Itu adalah nilai keberhasilan.



Ambillah waktu untuk beramal,

Itu adalah kunci kejayaan.

Khamis, November 11, 2010

Syurga Dunia


"Sesungguhnya dalam dunia ini ada syurga, siapa yang tidak masuk syurga ini nescaya tidak akan masuk syurga akhirat"
(maksud syurga dunia ini ialah cintakan Allah)

Ibn Taymiyyah



Selasa, Ogos 10, 2010

nota terakhir sempena Ramadhan...

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh…



Apa khabar iman kalian?

Bagaimana persiapan kalian untuk Ramadhan ini?



Terimalah sedikit buah tangan…sempena Ramadhan al-Mubarak…



1. IKTIBAR KISAH

Daripada Amir bin Saad, daripada bapanya (Saad bin Abi Waqas) katanya: “Sesungguhnya Nabi s.a.w memerintahkan supaya membunuh cicak dan baginda menamakannya sebagai ‘si penjahat kecil.’”(Hadis riwayat Muslim)


Berlaku kisah di zaman Nabi Ibrahim semasa baginda dibakar oleh kaumnya, seekor burung kecil terbang berulang alik mengisi air dalam paruhnya lalu menyiram ke atas api yang membakar: Itulah yang dilakukan berulang kali.


Tingkah lakunya diperhatikan makhluk Allah yang lain lalu bertanya kepada burung kecil itu: “Untuk apa kau berpenat lelah mengambil air berulang alik, sedangkan api yang membakar Nabi Ibrahim tidak akan terpadam dengan air yang kau siramkan itu.


Lalu dijawab oleh burung berkenaan: “Memang ia tidak akan dapat memadamkan api itu, tetapi aku lebih takut kepada Allah kerana Allah akan menyoal aku nanti, apakah yang aku sudah lakukan untuk agama Allah, dan Allah tidak akan bertanya sama ada aku Berjaya memadamkan api ataupun tidak.”


Berlainan pula dengan cicak yang bertindak jahat dengan menghembus kepada api yang membakar Nabi Ibrahim dengan harapan api akan terus membakar Nabi Ibrahim (walaupun sebanarnya hembusan itu tidak membawa kesan ke atas api berkenaan).
Sumber : Jabatan kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)




*lakukanlah apa sahaja yang mampu untuk agama Allah, usah dihiraukan apa kata mereka....kerana kata mereka tidak mengubah pandangan Allah terhadapmu...Allah tidak menilai apa hasil usahamu, namun Dia akan memberikan bayaran untuk setiap usahamu...biar seribu atau seorang manusiapun tidak melihat apa yang dilakukan, kerana mata yang menilai itu bukan manusia, tetapi Allah...tidak penting pandangan manusia terhadap kita, pandangan Dia yang menentukan sama ada layak ke syurga atau ke neraka....






2. SEDIKIT RENUNGAN



Kita selalu katakan bahawa kita redha dengan apa yang telah Allah takdirkan kepada kita, namun, kadang-kadang tindakan kita menunjukkan bahawa kita tidak redha dan tidak bersyukur. Kita sedih, marah, geram dan macam-macam perasaan negative yang kita rasa sebaik-sahaja menerima ujian daripada Allah. Padahal,sesungguhnya tiada yang menyayangi diri kita lebih daripada Allah menyayangi kita. Tidak mungkin seseorang yang menyayangi seseorang itu sanggup untuk melukai dan menyakiti, apalagi melihat orang yang disayangi menderita, inikan pula Allah. Tidak mungkin Dia mahu menganiayai hambaNya. Kita tahu, namun mengapa selalu sahaja kita mengeluh dan bertindak seolah-olah kita tidak bersyukur dengan apa yang Allah berikan kepada kita.




3. MUTIARA HADITH BUAT DIRI




Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: “Orang mukmin sama ada lelaki ataupun perempuan akan sentiasa diuji oleh Allah s.w.t, sama ada dirinya, anaknya ataupun hartanya sehinggalah dia menghadap Allah s.w.t tanpa dia membawa dosa sedikitpun.” – Hadith riwayat Imam Tirmizi


Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda di dalam Hadis Qudsi: Allah s.w.t berfirman: “Tidak ada balasan kecuali syurga bagi hambaku yang beriman yang telah Aku ambil kembali kekasihnya (Aku mematikan seseorang yang disayanginya seperti anak, adik-beradik dan sesiapa sahaja yang di sayangi oleh seseorang) dari kalangan penghuni dunia dan dia hanya mengharapkan pahala daripadaKu (dengan bersabar). ” - Hadis riwayat Imam Bukhari


Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “ Dunia itu adalah penjara bagi orang mukmin, dan syurga bagi orang kafir”. – Hadith riwayat Muslim


“Sungguh mengagumkan urusan seorang mukmin. Sesungguhnya seluruh perkara adalah baik baginya. Dan tidak lah didapati seorang pun hal tersebut melainkan pada diri seorang mukmin. Jika dia merasakan kesenangan maka dia bersyukur. Dan itu lebih baik baginya. Jika kesusahan menerpanya maka dia bersabar. Dan itu lebih baik baginya.” - Hadith riwayat Muslim


“Sesungguhnya Allah akan menguji dan mencuba salah seorang di antara kamu dengan cubaan sebagaimana salah seorang kamu menguji kadar emasnya dengan api. Maka sebahagian mereka akan keluar dari ujian itu bagaikan emas kuning berkilat; maka itulah orang yang dipelihara Allah daripada bermacam syubhat. Dan sebahagian mereka akan keluar bagaikan emas hitam, dan itulah orang yang tergoda fitnah.” – Hadis riwayat Thobrani


“Tiada seorang Muslim yang menderita kelelahan atau penyakit, atau kesusahan hati, bahkan gangguan yang berupa duri melainkan semua kejadian itu akan berupa penebus dosanya.” – Hadis riwayat Bukhari dan Muslim


“Ujian yang paling berat adalah bagi para nabi, kemudian berikutnya dan berikutnya, seseorang diuji (oleh Allah) sesuai dengan kadar agamanya. Maka tidaklah musibah menimpa seseorang sehingga ia berjalan di atas bumi dan tidak ada dosa padanya.” – Hadith riwayat Bukhari


“Apabila Allah kasihkan seseorang, Allah mengenakan dengan suatu ujian sehingga Allah mendengar rengekan permintaan yang bersungguh-sungguh.” (Dari Musnad Firdaus oleh Dailami)


“Bukan ukuran kekuatan seseorang itu dengan bergusti tetapi orang yang kuat itu adalah orang yang mampu mengawal hawa nafsu ketika marah.” - Hadis riwayat Bukhari


“Sabar yang sebenarnya ialah sabar pada saat bermula (pertama kali) tertimpa musibah.” – Hadith riwayat Bukhari


Dalam hadith qudsi Allah berfirman : “Siapa yang tak rela menerima ketentuanKu, silakan keluar dari bumiKu!”




4. TENTANG UKHWAH


Teringat kata-kata seorang tokoh, tentang seburuk-buruk ukhwah.


“Seburuk-buruk ukhuwah adalah tidak mengumpat atau mengata sesuatu yang buruk terhadap sahabat dibelakangnya”


Seandainya masih sukar untuk menahan diri untuk membicarakan tentang keburukan seseorang, maknanya ada sesuatu masalah di dalam hati yang perlu diperbaiki.


Ukhuwah biar kerana Allah…namun jangan kotori ukhwah dengan ikhtilat yang tidak dijaga.


Kadang-kadang kita terlalu mengharapkan sahabat yang sempurna. Sukar untuk kita menerima kelemahan yang ada. Dalam mengukur kelemahan sahabat, kita lupa untuk mengukur dan melihat kelemahan yang ada pada diri. Kadang-kadang kita terlupa untuk memberikan ruang untuk sahabat memperbaiki diri, kerana kita lebih mudah untuk meluahkan kepada orang lain tentang kelemahan, kesilapan dan keburukan sahabat tanpa mendapatkan penjelasan atau memberikan teguran buat sahabat itu sendiri.



jangan juga suka untuk mempersoalkan tentang urusan peribadi sahabat...itu akan membuatkan dia semakin menjauh...


Ukhuwah…ia soal hati…soal ikatan hati…antara manusia dengan Allah melalui perantaraan antara manusia dengan manusia…




Andai sahabatmu tersilap, tegurlah ia…maafkan dia…

Andai sahabat jatuh, berilah dia ruang untuk bangun..

Jauhilah prasangka…ia dapat merosakkan ukhwah…bersangkalah baik…




5. RAMADHAN…HADIAH BUAT DIRI…




Sempena ramadhan, diri ingin meminta maaf…atas segala silap dan salah…rasanya inilah pengisian terakhir yang akan di paparkan didalam blog ini…cukup disini dahulu insyaAllah ketemu lagi Syawal ini…bersama kita mujahadah, muhasabah diri….tingkatkan iman dan amal…


andainya Dia masih memberikan nafas lagi, kesempatan untuk menghirup udara ciptaanNya di Ramadhan ini, terimalah ia…terimalah ia sebagai hadiah dari Dia…jangan sia-siakan hadiah itu…semoga Ramadhan ini lebih bermakna daripada yang sebelumnya...






seterusnya, selamat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan dan selamat menyambut Hari Raya Aidulfitri…







Dan Hanya Dia Yang Maha Mengetahui…



Ya Allah…yang memberikan rasa ini…semakin hampir Ramadhan ini Ya Allah, semakin sayu…rasanya seperti tidak kering mata ini…sering tumpah airnya…sebak…tidak tergambar dengan kata-kata…kadang-kadang rasanya tidak mampu untuk bertahan…rasanya berat sungguh ujianMu Ya Allah…Ya Allah, berikan kekuatan, maafkan diri ini Ya Allah…maafkan diri ini kerana lemah…berikan sedikit kekuatan…kekuatan untuk mujahadah di jalanMu Ya Allah…kerana tidak lain ku harapkan, melainkan untuk mendapat redhaMu, bertemu denganMu Ya Allah…Ya Allah, dunia ini selalu menarik aku Ya Allah…beri kekuatan Ya Allah...beri kekuatan...

Isnin, Ogos 02, 2010

...comelnya Syifa'...




kalau nak tengok lagi Syifa'...(klik sini)





.