Isnin, April 18, 2011

Mengapa manusia di uji?




Manusia di uji untuk menyerlahkan nilai dirinya di sisi Tuhan. Khususnya bagi orang yang beriman, ujian didatangkan untuk menilai dan mengukur semula sejauh mana keimanan kita. Iman dan ujian saling berkaitan. Apabila di uji baruah diketahui apakah hati kita telah yakin (beriman) atau masih ragu-ragu.

Firman Allah S.W.T:
“Apakah manusia mengira, ia akan dibiarkan sahaja, mengatakan kami telah beriman, sedangkan mereka belum di uji?” (Al-Ankabut ayat 2)

Sungguhpun begitu Tuhan menguji manusia atas sebab-sebab yang berbeza. Berdasarkan sebab-sebab itulah letaknya kemuliaan atau kehinaan seseorang manusia. Dalam konteks ini Rasulullah s.a.w telah bersabda:
“Ujian yang berlaku kepada menusia sama ada memuliakannya atau menghinakannya.”



Tiga sebab mengapa Allah menguji manusia:


KIFARAH

Kifarah adalah ujian ke atas orang yang baik tetapi terlanjur melakukan kejahatan. Maka ketika itulah dia di uji. Allah jadikan kesusahan dalam ujian itu sebagai ‘tebusan’ untuk menghapuskan dosa dan keterlanjurannya. Ertinya, Allah membalas kesalahannya didunia untuk melepaskannya daripada balasan di akhirat(neraka). Ini adalah lebih baik kerana azab di dunia adalah lebih ringan berbading azab di akhirat. Dengan kifarah, ‘orang baik’ itu akan mendapat peringatan dan amaran atas kelalaian dan keterlanjurannya lalu bertaubat kepada Allah.

Firman Allah SWT;
“Dan Kami (Allah) timpakan kepada mereka azab supaya mereka kembali ke jalan yang benar.” (Az-Zukhruf ayat 48)


BALA

Yakni ujian ke atas orang jahat yang sedang melakukan kejahatan. Allah jadikan ujian itu sebagai hukuman di dunia sebelum dihukum di akhirat dengan hukuman yang lebih hebat dan dasyat. Dengan kemurkaan-Nya Allah turunkan kepedihan di dunia lagi sebelum di azab di neraka. Mereka akan di azab dua kali, pertama di dunia, kedua di akhirat. Ringkasnya, bala ialah bentuk ujian ke atas ‘orang jahat yang sedang melakukan kejahatan’. Umat Nabi Nuh ditenggelamkan banjir, Firaun yang ditelan laut Merah, Qarun ditelan bumi, kaum Add, Tsamud oleh hujan batu dan bencana alam yang lain.

Firman Allah SWT;
“Dan jika mereka berpaling, nescaya Allah akan mengazab mereka dengan azab yang pedih di dunia dan di akhirat.” (At-Taubah ayat 74)


IBTILA’

Ini ujian ke atas orang baik ketika mereka sedang melakukan kebaikan. Ia adalah tanda kasih sayang Allah kepada hamba-Nya yang taat. Justeru dengan ibtila’ hamba itu akan mendapat pahala dan di tinggikan pula darjatnya di sisi Allah. Jika tidak di uji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, redha, pemaaf, qanaah dari Allah? Maka dengan ujian bentuk inilah ada kalangan pada Ulul Azmi-yakni mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung ujian.

Ringkasnya, ibtila’ ialah ujian ke atas ‘orang baik yang sedang melakukan kebaikan’. Golongan para Nabi, siddiqin, syuhada’ dan solehin adalah mereka yang sentiasa di uji dalam bentuk ibtila’ ini.

Firman Allah SWT;
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). (Al-Baqarah ayat 214)



Penutup: Lihatlah dengan mata hati

"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." (Al-Baqarah ayat 155 dan 156)

Ujian Allah, hanya orang-orang beriman yang sempurna akal dan penelitiannya sahaja dapat menjangkau hikmah yang terkandung di sebalik ujian yang menimpa itu. Berkata seorang ahli hikmah, Ibnu Ataillah Askandari, “Barangsiapa yang menjangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdirNya, maka itu adalah kerana pendeknya penglihatan akal dan mata hati seseorang.”

Yakinlah ujian itu sebagai satu sunnatullah(peraturan Allah) yang tiada sesiapapun dapat menghindarkannya. Hidup ini hakikatnya adalah satu ujian. Firman Allah;
“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)” (Al-Mulk ayat 2)

Oleh itu, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negative kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebaliknya. Bila di uji, sedarlah, insaflah… sekurang, kurangnya kita mesti merasakan kita sedang di uji dengan kifarah. Dengan itu, kembalilah kepada Allah… segerakan taubat pada-Nya.

Lihat sikap Rasulullah SAW, walaupun Baginda tidak berdosa, tetapi oleh kerana gentarnya terhadap seksaan dari Allah, baginda akan bergegas ke masjid setiap kali hujan rebut atau angin kuat melanda. Di masjid Baginda akan bersembahyang dan berdoa untuk keselamatan diri dan umatnya daripada bala bencana yang mungkin datang bersama rebut dan angin kuat itu.

Bila di uji, sabarlah… renungkan… lihatlah dengan mata hati…

"Sesungguhnya sangat mengkagumkan seorang mukmin, sebab segala keadaannya
adalah baik, dan mungkin tidak terjadi yang demikiankecuali bagi seorang
mukminyang jika dia mendapat nikmat dia bersyukur, maka syukur itu sangat baik
baginya dan bila menderita kesusahan dia bersabar, maka sabar itu sangat baik
baginya". (Hadith riwayat Muslim)

Ujian Allah, bagi yang berdosa, ia merupakan kifarah untuk mengingatkan kelalaian. Bagi yang taat, mendapat ibtila’ itu meningkatkan darjat. Yang penting bukanlah apa yang telah berlaku, tetapi apa yang harus kita lakukan(bertindakbalas) terhadap ujian itu.

Allah sering mengingatkan manusia dengan ‘melontarkan’ batu-batu kecil, tetapi jika peringatan itu diabaikan, Allah akan mula ‘melontar’ dengan batu-betu besar. Dan jangan tunggu dihempap gunung, baru hendak berubah. Semoga takdir-Nya(ujian Allah) itu akan menyebabkan tadbir kita lebih bijaksana. 

Sabda Rasulullah SAW;
“Perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya(tahu besi) dan tinggallah yang baik sahaja.”

 moga hatimu semekar bunga itu...


Wallahua’lam…




* di sunting daripada artikel Ustaz Pahrol Mohamad Juoi dalam Majalah i Febuari 2005.

1 ulasan:

  1. Bila aku menjejaki tapak-tapak Yassir

    Ikutlah seiringku sebagai Sumayyah

    Bila kukatakan padamu:

    Perjuangan itu pahit

    Kau sahutlah kembali:

    Kerna syurga itu pasti manis

    BalasPadam

Jejak anda...