Selasa, Ogos 10, 2010

nota terakhir sempena Ramadhan...

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh…



Apa khabar iman kalian?

Bagaimana persiapan kalian untuk Ramadhan ini?



Terimalah sedikit buah tangan…sempena Ramadhan al-Mubarak…



1. IKTIBAR KISAH

Daripada Amir bin Saad, daripada bapanya (Saad bin Abi Waqas) katanya: “Sesungguhnya Nabi s.a.w memerintahkan supaya membunuh cicak dan baginda menamakannya sebagai ‘si penjahat kecil.’”(Hadis riwayat Muslim)


Berlaku kisah di zaman Nabi Ibrahim semasa baginda dibakar oleh kaumnya, seekor burung kecil terbang berulang alik mengisi air dalam paruhnya lalu menyiram ke atas api yang membakar: Itulah yang dilakukan berulang kali.


Tingkah lakunya diperhatikan makhluk Allah yang lain lalu bertanya kepada burung kecil itu: “Untuk apa kau berpenat lelah mengambil air berulang alik, sedangkan api yang membakar Nabi Ibrahim tidak akan terpadam dengan air yang kau siramkan itu.


Lalu dijawab oleh burung berkenaan: “Memang ia tidak akan dapat memadamkan api itu, tetapi aku lebih takut kepada Allah kerana Allah akan menyoal aku nanti, apakah yang aku sudah lakukan untuk agama Allah, dan Allah tidak akan bertanya sama ada aku Berjaya memadamkan api ataupun tidak.”


Berlainan pula dengan cicak yang bertindak jahat dengan menghembus kepada api yang membakar Nabi Ibrahim dengan harapan api akan terus membakar Nabi Ibrahim (walaupun sebanarnya hembusan itu tidak membawa kesan ke atas api berkenaan).
Sumber : Jabatan kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)




*lakukanlah apa sahaja yang mampu untuk agama Allah, usah dihiraukan apa kata mereka....kerana kata mereka tidak mengubah pandangan Allah terhadapmu...Allah tidak menilai apa hasil usahamu, namun Dia akan memberikan bayaran untuk setiap usahamu...biar seribu atau seorang manusiapun tidak melihat apa yang dilakukan, kerana mata yang menilai itu bukan manusia, tetapi Allah...tidak penting pandangan manusia terhadap kita, pandangan Dia yang menentukan sama ada layak ke syurga atau ke neraka....






2. SEDIKIT RENUNGAN



Kita selalu katakan bahawa kita redha dengan apa yang telah Allah takdirkan kepada kita, namun, kadang-kadang tindakan kita menunjukkan bahawa kita tidak redha dan tidak bersyukur. Kita sedih, marah, geram dan macam-macam perasaan negative yang kita rasa sebaik-sahaja menerima ujian daripada Allah. Padahal,sesungguhnya tiada yang menyayangi diri kita lebih daripada Allah menyayangi kita. Tidak mungkin seseorang yang menyayangi seseorang itu sanggup untuk melukai dan menyakiti, apalagi melihat orang yang disayangi menderita, inikan pula Allah. Tidak mungkin Dia mahu menganiayai hambaNya. Kita tahu, namun mengapa selalu sahaja kita mengeluh dan bertindak seolah-olah kita tidak bersyukur dengan apa yang Allah berikan kepada kita.




3. MUTIARA HADITH BUAT DIRI




Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: “Orang mukmin sama ada lelaki ataupun perempuan akan sentiasa diuji oleh Allah s.w.t, sama ada dirinya, anaknya ataupun hartanya sehinggalah dia menghadap Allah s.w.t tanpa dia membawa dosa sedikitpun.” – Hadith riwayat Imam Tirmizi


Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda di dalam Hadis Qudsi: Allah s.w.t berfirman: “Tidak ada balasan kecuali syurga bagi hambaku yang beriman yang telah Aku ambil kembali kekasihnya (Aku mematikan seseorang yang disayanginya seperti anak, adik-beradik dan sesiapa sahaja yang di sayangi oleh seseorang) dari kalangan penghuni dunia dan dia hanya mengharapkan pahala daripadaKu (dengan bersabar). ” - Hadis riwayat Imam Bukhari


Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “ Dunia itu adalah penjara bagi orang mukmin, dan syurga bagi orang kafir”. – Hadith riwayat Muslim


“Sungguh mengagumkan urusan seorang mukmin. Sesungguhnya seluruh perkara adalah baik baginya. Dan tidak lah didapati seorang pun hal tersebut melainkan pada diri seorang mukmin. Jika dia merasakan kesenangan maka dia bersyukur. Dan itu lebih baik baginya. Jika kesusahan menerpanya maka dia bersabar. Dan itu lebih baik baginya.” - Hadith riwayat Muslim


“Sesungguhnya Allah akan menguji dan mencuba salah seorang di antara kamu dengan cubaan sebagaimana salah seorang kamu menguji kadar emasnya dengan api. Maka sebahagian mereka akan keluar dari ujian itu bagaikan emas kuning berkilat; maka itulah orang yang dipelihara Allah daripada bermacam syubhat. Dan sebahagian mereka akan keluar bagaikan emas hitam, dan itulah orang yang tergoda fitnah.” – Hadis riwayat Thobrani


“Tiada seorang Muslim yang menderita kelelahan atau penyakit, atau kesusahan hati, bahkan gangguan yang berupa duri melainkan semua kejadian itu akan berupa penebus dosanya.” – Hadis riwayat Bukhari dan Muslim


“Ujian yang paling berat adalah bagi para nabi, kemudian berikutnya dan berikutnya, seseorang diuji (oleh Allah) sesuai dengan kadar agamanya. Maka tidaklah musibah menimpa seseorang sehingga ia berjalan di atas bumi dan tidak ada dosa padanya.” – Hadith riwayat Bukhari


“Apabila Allah kasihkan seseorang, Allah mengenakan dengan suatu ujian sehingga Allah mendengar rengekan permintaan yang bersungguh-sungguh.” (Dari Musnad Firdaus oleh Dailami)


“Bukan ukuran kekuatan seseorang itu dengan bergusti tetapi orang yang kuat itu adalah orang yang mampu mengawal hawa nafsu ketika marah.” - Hadis riwayat Bukhari


“Sabar yang sebenarnya ialah sabar pada saat bermula (pertama kali) tertimpa musibah.” – Hadith riwayat Bukhari


Dalam hadith qudsi Allah berfirman : “Siapa yang tak rela menerima ketentuanKu, silakan keluar dari bumiKu!”




4. TENTANG UKHWAH


Teringat kata-kata seorang tokoh, tentang seburuk-buruk ukhwah.


“Seburuk-buruk ukhuwah adalah tidak mengumpat atau mengata sesuatu yang buruk terhadap sahabat dibelakangnya”


Seandainya masih sukar untuk menahan diri untuk membicarakan tentang keburukan seseorang, maknanya ada sesuatu masalah di dalam hati yang perlu diperbaiki.


Ukhuwah biar kerana Allah…namun jangan kotori ukhwah dengan ikhtilat yang tidak dijaga.


Kadang-kadang kita terlalu mengharapkan sahabat yang sempurna. Sukar untuk kita menerima kelemahan yang ada. Dalam mengukur kelemahan sahabat, kita lupa untuk mengukur dan melihat kelemahan yang ada pada diri. Kadang-kadang kita terlupa untuk memberikan ruang untuk sahabat memperbaiki diri, kerana kita lebih mudah untuk meluahkan kepada orang lain tentang kelemahan, kesilapan dan keburukan sahabat tanpa mendapatkan penjelasan atau memberikan teguran buat sahabat itu sendiri.



jangan juga suka untuk mempersoalkan tentang urusan peribadi sahabat...itu akan membuatkan dia semakin menjauh...


Ukhuwah…ia soal hati…soal ikatan hati…antara manusia dengan Allah melalui perantaraan antara manusia dengan manusia…




Andai sahabatmu tersilap, tegurlah ia…maafkan dia…

Andai sahabat jatuh, berilah dia ruang untuk bangun..

Jauhilah prasangka…ia dapat merosakkan ukhwah…bersangkalah baik…




5. RAMADHAN…HADIAH BUAT DIRI…




Sempena ramadhan, diri ingin meminta maaf…atas segala silap dan salah…rasanya inilah pengisian terakhir yang akan di paparkan didalam blog ini…cukup disini dahulu insyaAllah ketemu lagi Syawal ini…bersama kita mujahadah, muhasabah diri….tingkatkan iman dan amal…


andainya Dia masih memberikan nafas lagi, kesempatan untuk menghirup udara ciptaanNya di Ramadhan ini, terimalah ia…terimalah ia sebagai hadiah dari Dia…jangan sia-siakan hadiah itu…semoga Ramadhan ini lebih bermakna daripada yang sebelumnya...






seterusnya, selamat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan dan selamat menyambut Hari Raya Aidulfitri…







Dan Hanya Dia Yang Maha Mengetahui…



Ya Allah…yang memberikan rasa ini…semakin hampir Ramadhan ini Ya Allah, semakin sayu…rasanya seperti tidak kering mata ini…sering tumpah airnya…sebak…tidak tergambar dengan kata-kata…kadang-kadang rasanya tidak mampu untuk bertahan…rasanya berat sungguh ujianMu Ya Allah…Ya Allah, berikan kekuatan, maafkan diri ini Ya Allah…maafkan diri ini kerana lemah…berikan sedikit kekuatan…kekuatan untuk mujahadah di jalanMu Ya Allah…kerana tidak lain ku harapkan, melainkan untuk mendapat redhaMu, bertemu denganMu Ya Allah…Ya Allah, dunia ini selalu menarik aku Ya Allah…beri kekuatan Ya Allah...beri kekuatan...

Jumaat, Ogos 06, 2010

saat lebur keegoannya...

.






Suatu hari Umar, seorang pahlawan yang sering panas baran mendengar yang adiknya telah memeluk Islam, mengikuti ajaran yang dibawa oleh Muhammad yang melepasi jiwa hamba seorang manusia kepada mengabdikan kepada Allah. Seorang lelaki menemui Umar, katanya, “Aku hendak beritahu saru berita yang mengejutkan. Adikmu, Fatimah dan suaminya, Said bin Zaid, sudah memeluk Islam.”


Umar al-Khattab terkejut besar mendengar berita itu. Dia menjadi malu, sedih dan marah. Tanpa bersuara sepatahpun, dia meluru ke rumah Fatimah. Ketika itu, Fatimah dan suaminya sedang belajar mengaji al-Quran bersama-sama dengan seorang lagi sahabat mereka, Khabbab al-Arati. Dia mengetuk pintu dengan keras sehingga menimbulkan kebimbangan kepada seisi rumah.


“Aku Umar. Buka pintu!!” kata Umar dengan keras.


Khabbab ialah orang pertama yang lari menyambunyikan diri. Fatimah dan Said menjadi pucat. Mereka amat memahami sikap Umar yang amat memusuhi Islam ketika itu. Dia sanggup melakukan apa sahaja untuk menghukum orang yang mengkhianati agama nenek moyang mereka. Walau bagaimanapun, Fatimah memberanikan diri membuka pintu. Umar menerpa dengan muka garang.


“Aku mendengar kamu membaca sesuatu.”


“Apa yang kamu dengar? Kami tidak membaca apa-apa,” kata Fatimah.dia sudah menyembunyikan masyaf yang mengandungi tulisan-tulisan ayat al-Quran. Dia bimbang jika abangnya itu berjaya menemui mushaf itu.


“Aku dengar apa yang kamu baca. Aku tahu kamu sudah menganut agama Muhammad,” herdik Umar.


Lantas Umar mencekak leher Said dan mahu memukulnya. Fatimah cuba mempertahankan suaminya. Pukulan tidak mengena Said, sebaliknya tersasar kea rah Fatimah sehingga terkoyak kulit dahinya.


“Ya, kami sudah memeluk Islam. Kami percaya kepada Allah dan Rasul-Nya. Apa yang kamu nak buat, buatlah!!” jerit Fatimah dengan darah yang bercucuran di dahi. Melihat keadaan itu, Umar diserang perasaan kesal. Dia berasa kasihan kepada adiknya. Secara tiba-tiba dia berubah menjadi lembut.


“Berikan kepadaku mashaf yang kamu baca. Aku berjanji tidak melakukan apa-apa. Aku hanya ingin mengetahui apa yang dibawa oleh Muhammad.” Fatimah teragak-agak tetapi Umar cuba meyakinkan. “Jangan takut, aku bersumpah dengan Tuhan Muhammad. Aku akan kembalikan mashaf itu selepas membacanya.”


Fatimah berasa terharu dengan keikhlasan Umar. Dia amat mengenali sikap abangnya sendiri dan jauh disudut hati, dia tahu Umar akan mengotakan janjinya. Fatimah menjawab, “Saudaraku Umar, kau masih najis kerana syirikmu. Al-Quran itu tidak boleh disentuh melainkan oleh orang yang suci.”


Fatimah menyuruh Umar mandi. Selepas itu, barulah mushaf itu diserahkan kepadanya. Umar menerimanya dengan penuh minat, lantas membaca ayat dari Surah Taha. Selepas menghabiskan bacaanya, spontan terkeluar dari bibir Umar, “Alangkah indahnya ayat ini!”


Khabbab yang masih menyembunyikan diri dalam kediaman Fatimah keluar ketika mendengar pengakuan Umar. “Umar, demi Allah, aku pernah mendengar Muhammad berdoa, “Ya Allah, bantulah Islam dengan Abul Hakam Hisyam atau mar al-Khattab.” Cepatlah Umar, segera dapatkan Muhammad!”


Umar mendesak Khabbab membawanya bertemu dengan Muhammad. Fatimah mendengar dengan hati penuh syukur. Dia tidak menyangka abangnya yang keras hati itu akan terbuka menerima Islam. Khabbab membawa Umar ke sebuah rumah berdekatan Bukit Saffa, tampat Nabi Muhammad mengajar agama kepada rakan-rakannya. Seorang sahabat di dalam rumah itu mengintai di lubang pintu ketika mendengar ketukan. Dia sangat terperanjat apabila melihat Umar berdiri di depan pintu dengan sebilah pedang. Sahabat itu segera memberitahu Muhammad, tetapi bapa saudara Nabi, Hamzah Abdul Mutalib menjawab, “Wahai Muhammad, biarkan Umar masuk. Kalau dia mahukan yang baik, kita berikan yang baik. Kalau niatnya jahat, kami akan membunuhnya dengan pedang sendiri.”


Nabi Muhammad sangat tenang. Dalam hatinya, terdetik doa yang pernah dipohonnya dahulu. Kini, Umar datang sendiri tanpa perlu sesiapa pun memujuknya. Dia menyuruh orang membuka pintu dan Umar dipelawa masuk. Sebaik sahaja Umar masuk, Nabi Muhammad bangun menyambutnya lantas menuju ke sebuah bilik. Nabi melepaskan kain serbannya ke tubuh Umar dan merentapnya dengan kuat.


“Apakah yang menyebabkan kamu ke sini? Demi Allah, aku takut kamu tidak insaf sehinggalah Allah menurunkan bencana ke atasmu!”


“Wahai Muhammad, aku datang untuk beriman kepada Allah dan RasulNya,” Umar mambalas.
Muhammad terus bertakbir sebaik sahaja mendengar pengakuan itu. Doanya sebelum ini akhirnya termakbul. Seluruh masyarakat Islam yang masih kecil bilangannya ketika itu, bersyukur dan sangat mengalu-alukan kedatangan Umar ke dalam Islam. Pengislaman Umar bermakna Islam yang baru mendapat tempat, akan bertambah kukuh dan gagah.


Seluruh masyarakat Islam menyanjungi Fatimah sebagai orang yang bertanggungjawab membawa nur Islam ke dalam diri Umar. Dia terus diingati sebagai srikandi yang cekal, pendakwah yang berani, yang Berjaya menundukkan kedegilan, keegoan dan hati batu Umar al-Khattab.


Sahabat-sahabatku…renungilah kisah ini…betapa apabila seorang hamba yang tidak pernah tunduk dan takut kepada manusia menemui cahaya daripada Penciptanya, tunduk dan lebur keegoannya kepada Pencipta…dan bersujud dia kepada yang selayaknya…segala puji bagi Allah…


Umar…seorang manusia yang memiliki hati yang keras dan cukup keras penentangannya terhadap dakwah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w boleh menjadi lembut jiwanya apabila membaca kalamullah. Di saat itu, mashaf al-Quran bukannya senang untuk diperolehi, malah terpaksa bersembunyi untuk mempelajari dan membacanya. Cuba kita bandingkan dengan keadaan kita sekarang, yang sangat keras hati untuk mencapai mushaf yang sudah sedia ada di atas meja, apalagi untuk membaca dan mentadabburnya. Astaghfirullahal’azim.


Semoga Allah mengampuni dan melembutkan hati kita.


Wallahu’alam. Wassalam.


Rujukan: Buku Jiwa Hamba karangan Azizi Hj. Abdullah.



“Thaahaa.
Kami tidak menurunkan Al Qur'an ini kepadamu agar kamu menjadi susah;
tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut (kepada Allah),
yaitu diturunkan dari Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi.
(Yaitu) Tuhan Yang Maha Pemurah, Yang bersemayam di atas 'Arsy.
Kepunyaan-Nya-lah semua yang ada di langit, semua yang di bumi, semua yang di antara keduanya dan semua yang di bawah tanah.
Dan jika kamu mengeraskan ucapanmu, maka sesungguhnya Dia mengetahui rahasia dan yang lebih tersembunyi.
[Dialah Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Dia mempunyai al asmaulhusna (nama-nama yang baik)….”


Surah thaahaa ayat 1-8.




.

Isnin, Ogos 02, 2010

...comelnya Syifa'...




kalau nak tengok lagi Syifa'...(klik sini)





.